X
Isnin, 17 April 2017 | 10:35am

Pekerja resort dituduh miliki bahan Daesh

MOHD Firdaus (tengah) didakwa memiliki 29 keping imej dan 240 video di dalam telefon bimbit yang ada kaitan dengan Daesh atau unsur perbuatan keganasan. - Foto Mohd Azren Jamaludin
MOHD Firdaus (tengah) didakwa memiliki 29 keping imej dan 240 video di dalam telefon bimbit yang ada kaitan dengan Daesh atau unsur perbuatan keganasan. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KOTA TINGGI: Seorang pekerja am sebuah resort dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memiliki imej dan video di dalam telefon bimbit berkaitan kumpulan Daesh, pada 21 Mac lalu. 

Mohd Firdaus Saibi, 24, didakwa memiliki 29 keping imej dan 240 video di dalam telefon bimbit jenis Samsung model SM-J111F/ DS yang ada kaitan dengan Daesh atau unsur perbuatan keganasan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah resort Kampung Sedili Kechil, di sini pada 21 Mac lalu pada kira-kira jam 4.20 petang.

Dia didapati melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak ke atas mana-mana bahan terbabit, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaila Shafi'uddin.

Suhaila bagaimanapun memohon penangguhan kes itu bagi mendapatkan laporan pakar dan izin untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mazana kemudian menetapkan 21 Mei depan bagi sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh melantik peguam.

Berita Harian X