Jumaat, 5 Mei 2017 | 2:15pm

5 kenderaan musnah angkara khianat

ANGGOTA bomba memadam kebakaran yang memusnahkan lima kenderaan di Jalan Permas 14, Taman Permas Jaya, Johor, awal pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memadam kebakaran yang memusnahkan lima kenderaan di Jalan Permas 14, Taman Permas Jaya, Johor, awal pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba

JOHOR BAHRU: Lima kenderaan termasuk tiga kereta yang ditempatkan di perkarangan sebuah rumah di Taman Permas Jaya, dekat sini musnah dalam kebakaran dipercayai perbuatan khianat, awal pagi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Mohamad Anuar Mohamad Amdzah, berkata kenderaan terbabit ialah Perodua Myvi, Mercedes Benz C200, Honda Civic dan dua motosikal.

Sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 1.17 pagi, katanyasebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya bergegas ke lokasi kejadian.

"Empat kenderaan ditempatkan di perkarangan rumah, manakala Perodua Myvi berada di luar pagar.

"Kita mendapati semua kenderaan terbabit musnah dalam kebakaran dipercayai perbuatan khianat.

"Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian manakala bahagian hadapan rumah turut terbakar kira-kira 30 peratus," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Anuar berkata, kejadian tidak menyebabkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Ketika anggota tiba, katanya, penghuni sudah berada di luar rumah dan operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 3.20 pagi.

Berita Harian X