Sabtu, 6 Mei 2017 | 3:55pm

Skuad Muda 1JPJ sertai operasi JPJ

AHLI Skuad Muda 1JPJ Pahang bergambar bersama Pengerusi Skuad Muda 1JPJ Malaysia, Datuk Seri Ismail Ahmad (berdiri di tengah hadapan) ketika program Mesyuarat dan Perjumpaan Ketua-ketua Skuad Muda Parlimen Peringkat Negeri Pahang di Mahkota Golf and Country Club (MGCC) di sini, hari ini. - - Foto Nurul Nadira Shaari
AHLI Skuad Muda 1JPJ Pahang bergambar bersama Pengerusi Skuad Muda 1JPJ Malaysia, Datuk Seri Ismail Ahmad (berdiri di tengah hadapan) ketika program Mesyuarat dan Perjumpaan Ketua-ketua Skuad Muda Parlimen Peringkat Negeri Pahang di Mahkota Golf and Country Club (MGCC) di sini, hari ini. - - Foto Nurul Nadira Shaari

KUANTAN: Skuad Muda 1JPJ akan diberi peluang menyertai operasi jalan raya dijalankan pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagaimanapun, Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Ahmad, menjelaskan pasukan sukarelawan itu tidak diberi kuasa seperti pegawai JPJ yang boleh mengeluarkan saman kepada individu melanggar peraturan jalan raya.

Katanya, penyertaan Skuad Muda 1JPJ itu hanya sebagai pemantau untuk mendedahkan mereka kepada tugas pegawai JPJ dalam menjalankan operasi keselamatan jalan raya terutama pada musim perayaan.

"Skuad Muda 1JPJ ini bukan sahaja mengajak masyarakat mematuhi peraturan jalan raya malah pada masa sama mereka diberi pendedahan untuk memikul tanggungjawab bersama menjaga keselamatan.

"Selain itu, mereka juga turut diberi penekanan dalam empat aspek utama skuad iaitu sentiasa menitik beratkan soal keselamatan dan peraturan di jalan raya, isu kesukarelawan, perpaduan dan semangat patriotisme yang tinggi," katanya ketika ditemui pada mesyuarat dan perjumpaan dengan Ketua-Ketua Skuad Muda 1JPJ peringkat negeri di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Skuad Muda 1JPJ Pahang, Datuk Yusri Mohd Nor.

Ismail berkata, pihaknya akan terus giat melaksanakan aktiviti bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai peranan Skuad Muda 1JPJ di samping meningkatkan kesedaran mematuhi peraturan dan keselamatan di jalan raya.

Katanya, aktiviti seperti Kembara Kenyir di Terengganu pada 28 hingga 30 Julai depan bakal memberi impak positif di kalangan skuad, sekali gus menjadikan organisasi terbabit sebagai antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mantap.

"Kita juga akan turut melaksanakan Kembara Kasih Merdeka sempena Hari Kebangsaan yang dianggarkan disertai lebih 20,000 ahli skuad yang berhimpun di Putrajaya," katanya.

Berita Harian X