Isnin, 8 Mei 2017 | 6:54pm

Sorok pistol di sangkar ikan

Ketua Polis Daerah Kerian,Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob (tiga dari kiri) bersama anggotanya menunjukkan senjata api jenis Revolver yang ditemui disembunyikan diatas siling sangkar ikan dan dadah di lantai sangkar ikan ketika mengadakan Ops Sangkar di Perairan Sungai Gula,Kuala Gula dekat Kuala Kurau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

BAGAN SERAI: Serbuan polis di sebuah sangkar pemeliharaan ikan di Kuala Gula, Kuala Kurau, dekat sini, membawa kepada penahanan tiga lelaki yang masing-masing ada rekod jenayah lampau selain menemui sejumlah dadah dan sepucuk pistol.

Sepucuk pistol jenis Revolver .38 itu ditemui di atas siling pondok sangkar ikan itu dalam bungkusan bersama tiga butir peluru.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata serbuan khas itu dilakukan sekitar jam 10 pagi Sabtu lalu membabitkan penahanan tiga lelaki yang berusia antara 32 hingga 36 tahun di kawasan berkenaan.

"Polis juga menemui sebungkus plastik dipercayai mengandungi dadah jenis heroin seberat 106 gram di lantai kawasan sangkar ikan itu serta sebungkus plastik lut sinar dipercayai dadah jenis syabu seberat satu gram dalam poket seluar salah seorang suspek," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, semua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah berkaitan dadah dan jenayah.

Berikutan itu, katanya, polis turut menyita beberapa barangan milik suspek iaitu dua buah bot gentian kaca lengkap dengan enjin sangkut jenis Mercury 60 kuasa kuda (hp) dan Yamaha 60hp, sebuah kereta jenis Mazda serta wang tunai RM 3,000.

Beliau berkata, semua suspek direman selama tujuh hari bermula tarikh tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B,12(2),15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan mengenai tujuan senjata api terbabit disimpan di situ dan memburu pemilik sangkar ikan berkenaan.

Berita Harian X