Selasa, 9 Mei 2017 | 1:01pm

3 direman kes rasuah tenaga kerja asing

ALOR SETAR: Dua pegawai kerajaan dan seorang kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan proses mendapatkan tenaga kerja asing.

Kedua-dua pegawai berusia 35 dan 37 tahun yang masing-masing bertugas di Padang Besar, Perlis itu ditahan di kawasan kompleks Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, dekat sini.

Kontraktor berusia 48 tahun itu ditahan pegawai SPRM di Jalan Langgar, dekat sini dengan ketiga-tiganya ditahan hampir serentak antara jam 10 hingga 11 pagi semalam.

Sumber berkata, kontraktor terbabit dikatakan mendapatkan bantuan dua pegawai berkenaan bagi proses urusan memperoleh pegawai dagang iaitu tenaga kerja mahir asing untuk berkhidmat dengannya.

Satu sidang media dijangka diadakan Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, di sini, petang ini.

Sementara itu, ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, pagi ini sebelum perintah reman tujuh hari dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana meminta atau menerima rasuah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada nilai suapan.

Berita Harian X