Khamis, 18 Mei 2017 | 2:05pm

Anak tikam, tetak bapa hingga mati

ALI Nordin, 56, maut ditikam dan ditetak anak sendiri.
ALI Nordin, 56, maut ditikam dan ditetak anak sendiri.

TAWAU: Akibat perselisihan faham, seorang lelaki tergamak menikam serta menetak bapanya sendiri hingga mati dalam kejadian di Kampung Sungai Gading 1 Wakuba, Batu 15, Jalan Apas, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Ali Nordin, 56, meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditikam dengan pisau pada bahagian leher serta kepalanya ditetak dengan parang.

Anak mangsa berusia 27 tahun kemudian menikam perutnya sendiri sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 3.09 pagi daripada orang awam yang memaklumkan kes berkenaan.

"Berdasarkan siasatan, berlaku pertengkaran antara mangsa dan anaknya sebelum suspek menikam leher bapanya menggunakan pisau dan menetak kepala mangsa dengan parang.

"Saspek yang cedera selepas menikam perut sendiri kini ditahan di wad kecemasan kerana mengalami pendarahan teruk.

"Motif kejadian adalah akibat perselisihan faham dan suspek juga disyaki berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian," katanya di sini.

Fadil berkata, susulan penahanan suspek, polis merampas parang panjang berukuran 70 sentimeter, pisau panjang berukuran 25 sentimeter, sebuah telefon bimbit dan satu botol minuman berkabonat.

Katanya, suspek yang bekerja kontrak mengutip sampah akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X