Jumaat, 26 Mei 2017 | 4:14pm

Sindiket Macau Scam tumpas

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor Asisten Komissioner Wan Rukman Wan Hassan (tiga kanan) bersama pegawai siasatan menunjukkan barang yang dirampas dalam Tangkapan Kes Penipuan Macau Scam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor. - Foto Roslin Mat Tahir
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor Asisten Komissioner Wan Rukman Wan Hassan (tiga kanan) bersama pegawai siasatan menunjukkan barang yang dirampas dalam Tangkapan Kes Penipuan Macau Scam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor. - Foto Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Polis menumpaskan sindiket Macau Scam atau penipuan menerusi telefon dalam serbuan di sebuah banglo mewah di Taman Subang Mewah, Subang Jaya di sini, semalam.

Dalam serbuan pada jam 11.30 malam oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor itu, seramai 14 lelaki dan lima wanita China berumur lingkungan antara 17 hingga 40 tahun ditahan.

Ketua JSJK negeri, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan, berkata sindiket itu dipercayai mula beroperasi sejak tahun lalu dan sehingga kini jumlah keseluruhan kerugian membabitkan RM17 juta ringgit.

"Banglo mewah ini dijadikan markas bagi kegiatan suspek sejak tiga bulan lalu. Turut dirampas dalam serbuan ialah sebuah kenderaan jenis Honda CRV, pelbagai jenama komputer dan telefon bimbit, sembilan kad Union Pay pelbagai bank, satu unit router serta modem," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Wan Rukman berkata, semua suspek direman selama empat hari sehingga Ahad ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Wan Rukman berkata, sebanyak 158 kertas siasatan membabitkan penipuan Macau Scam dibuka sejak Januari hingga Mei tahun ini.

"Polis menerima banyak laporan daripada mangsa yang membabitkan jumlah kerugian jutaan ringgit. Orang ramai dinasihat sentiasa berwaspada supaya tidak menjadi mangsa sindiket terbabit," katanya.

Berita Harian X