Jumaat, 2 Jun 2017 | 11:37pm

Dua lelaki menyamar polis, peras wang

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias. - Foto NSTP/Salhani Ibrahim
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias. - Foto NSTP/Salhani Ibrahim

AMPANG JAYA: Dua lelaki yang menyamar polis dan memeras wang daripada warga asing ditahan tidak sampai sejam selepas melakukan jenayah itu.

Dua lelaki terbabit yang berusia 50 dan 28 tahun itu memeras RM1,000 daripada dua lelaki warga asing dalam satu kejadian berhampiran sebuah restoran 24 jam di Taman Cempaka di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, dua mangsa bersama seorang lagi rakan berada di tepi restoran ketika didatangi dua lelaki terbabit mengaku sebagai polis dan menunjukkan satu kad kononnya kad kuasa.

Suspek kemudian meminta semua mangsa menunjukkan pasport masing-masing sebelum salah seorang daripada mangsa berasa curiga dan terus ke kaunter restoran terbabit meminta bantuan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata apabila mangsa kembali bersama bantuan ke lokasi terbabit, kedua-dua suspek sudah beredar dengan menaiki sebuah kereta PERODUA Kelisa berwarna kelabu.

"Dua rakan mangsa memberitahu suspek mengambil wang mereka sebanyak RM1,000 sebelum beredar.

"Kesemua mangsa kemudian melaporkan perkara itu kepada polis sebelum sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah dari Balai Polis Pandan Indah berjaya mengesan suspek dan menahan mereka di sebuah lokasi di Pandan Indah, kira-kira jam 3.30 pagi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan mencederakan orang dan satu kes dadah.

"Semakan mendapati kenderaan yang digunakan suspek adalah kereta curi dan siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dilakukan.

"Kedua-dua suspek direman selama tiga hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan," katanya lagi.

Beliau berkata, tindakan suspek menyamar sebagai polis untuk melakukan peras ugut sedikit sebanyak menjejaskan imej polis dan mengelirukan orang ramai.

Berita Harian X