Ahad, 11 Jun 2017 | 9:40pm

TERKINI: 8 maut, 1 parah nahas 4 kenderaan

KEADAAN kemalangan yang membabitkan 4 kenderaan.
KEADAAN kemalangan yang membabitkan 4 kenderaan.

BANDAR SERI JEMPOL: Lapan maut, manakala seorang budak lelaki berusia tiga tahun cedera parah dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Kilometer 25, Jalan Bahau-Keratong dekat sini, petang tadi.

Nahas kira-kira jam 2.20 petang itu, membabitkan tiga kereta iaitu Perodua Myvi; Proton Exora, Toyota Vios serta sebuah treler.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila treler dipandu seorang lelaki berusia 44, dari arah Keratong, cuba memotong sebuah motosikal tetapi gagal, sebelum terbabas ke lorong bertentangan.

"Pada masa sama, Perodua Myvi dinaiki Osman Mohd Taip, 31, bersama isteri, Rosniza Othman, 32, serta anak mereka, Muhammad Alifthaqif Osman, 3, dari arah bertentangan cuba mengelak treler yang terbabas itu.

"Bagaimanapun, Perodua Myvi itu berlanggar dengan Toyota Vios dipandu Mohd Radzi Rahman, 34, yang sebelum itu mengekori belakang treler terbabit.

"Pasangan suami isteri itu meninggal dunia di lokasi, manakala anak mereka cedera parah.

"Sebuah Proton Exora yang dinaiki enam individu yang mengekori Perodua Myvi, gagal mengelak menyebabkan ia bertembung dengan treler yang terbabas itu.

"Pertembungan menyebabkan treler menghempap Proton Exora berkenaan di parit kecil bersebelahan sebelum kebakaran tercetus menyebabkan enam sekeluarga rentung di lokasi kejadian," katanya di sini, malam tadi.

Norzainy berkata, anak pasangan suami isteri yang menaiki Perodua Myvi mengalami kecederaan parah dan dikejarkan untuk rawatan kecemasan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Katanya, identiti pemandu dan semua penumpang Proton Exora yang rentung dalam nahas itu sedang dikenal pasti.

"Pemandu treler dan Toyota Vios tidak mengalami sebarang kecederaan. Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis, berkata tiga pasukan masing-masing dari Jempol, Bahau dan Simpang Pertang, dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan jam 2.20 petang.

Beliau berkata, anggota pasukan itu terpaksa berusaha memadam kebakaran yang berlaku pada kenderaan terbabit terlebih dahulu sebelum mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

"Operasi mengeluarkan mangsa yang rentung dalam remukan Proton Exora itu berdepan kesukaran dan mengambil masa kira-kira lima jam kerana dihempap treler," katanya.

 

Berita Harian X