Isnin, 12 Jun 2017 | 1:58am

Anak terkilan tidak ikut sama

AHLI keluarga, Wan Mohd Hazim Wan Mohd Fauzi, 19 (dua dari kiri) ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Jempol susulan enam ahli keluarga termasuk kedua ibu bapanya meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM 25 Jalan Bahau-Keratong berhampiran Ladang Risda, Palong, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

BANDAR SERI JEMPOL: "Dua kali ayah ajak ikut ke Kuantan untuk menghantar adik tetapi saya tidak mahu," kata Wan Mohd Hazim Wan Mohd Fauzi, 19.

Wan Mohd Hazim adalah anak kepada mangsa kemalangan yang rentung di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong di sini, petang semalam.

Dalam kejadian itu, semua enam ahli keluarganya maut akibat rentung iaitu bapanya Wan Mohd Fauzi Wan Ibrahim, 51; ibunya Mas Noraida M Yusoff, 45; abangnya Wan Mohd Muhaimin, 22, dan tiga adiknya Wan Nor Athirah, 18; Wan Mohd Amar Haziq, 13, dan Wan Nor Alisha, 7.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, dia jarang mengikut keluarganya ke mana-mana kerana baru tamat pengajian dan perlu menguruskan perniagaannya.

"Ayah selalu ajak saya jika mahu ke mana-mana dan pagi tadi (semalam) dia beria-ria mahu saya ikut tetapi saya yang tidak mahu. Saya agak terkilan kerana tidak mengikut mereka bersama," katanya ketika ditemui di Hospital Jempol di sini, malam tadi.

Wan Mohd Hazim berkata, dia mengetahui mengenai kemalangan itu daripada polis yang datang ke rumahnya di Putrajaya kira-kira jam 6 petang.

Katanya, pada mulanya dia hanya dimaklumkan hanya ibu bapanya yang meninggal dunia dalam kemalangan.

"Tetapi pada jam 8 malam, saudara memberitahu semua ahli keluarga saya meninggal dunia," katanya yang reda dengan tragedi menjelang Aidilfitri itu.

Berita Harian X