Selasa, 13 Jun 2017 | 3:21pm

PATI menyusup guna bot barangan

KOTA TINGGI: Pendatang asing tanpa izin (PATI) kini dikesan menggunakan bot barangan dan bukan lagi bot nelayan seperti sebelum ini untuk menyusup keluar dari Malaysia.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar, berkata hasil risikan mendapati taktik itu digunakan kumpulan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak dengan diuruskan oleh ejen tempatan yang mengatur perjalanan pulang PATI Indonesia menerusi laluan tidak sah.

"Berdasarkan maklumat risikan, kebanyakan PATI yang menggunakan khidmat ejen terbabit adalah mereka yang bekerja di sekitar Kelantan, Selangor, Perlis dan Negeri Sembilan.

"Siasatan juga mendapati ejen terbabit akan menyediakan kenderaan bagi membolehkan PATI itu di bawa ke Hutan Melintang sebelum menyediakan bot untuk mereka pulang secara haram," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat operasi KM Pekan di perairan Tanjung Sedili, dekat sini, hari ini.

KM Pekan, kapal peronda pesisir pantai (OPV) milik APMM dihadiahkan oleh Kerajaan Jepun pada Mac lalu.

Kapal jenis JCG PL 02 ERIMO itu mampu melakukan rondaan laut selama 30 hari tanpa ulang bekal ditempatkan di Kuantan, Pahang untuk mengawal perairan Laut China Selatan.

Yang turut hadir, Pegawai Pemerintah KM Pekan, Kapten Maritim Robert Teh Geok Chuan; Timbalan Pengarah Operasi Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof dan Pengarah Maritim Daerah Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud.

Zulkifli berkata, APMM akan memperhebatkan Operasi Pagar Laut di perairan negara bagi mengesan PATI yang cuba mengambil kesempatan keluar dari Malaysia secara haram menjelang Aidilfitri.

Katanya, operasi itu bukan sahaja bertujuan mengekang keluar masuk PATI, malah turut membanteras pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing serta aktiviti penyeludupan.

"Operasi juga dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan lain khususnya di kawasan tumpuan atau 'hot spot' PATI, termasuk di Pengerang, Batu Pahat, Linggi (Melaka) dan Selangor.

Berita Harian X