Rabu, 14 Jun 2017 | 11:54pm

TMP mampu kekang jenayah perairan Laut Sulu

LAKSAMANA Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (kanan) beramah mesra bersama pegawai serta anggota Tentera Laut Diraja Malaysia ketika hadir pada Majlis Berbuka Puasa Panglima Tentera Laut Bersama Warga TLDM di Pusat Hidrografi Nasional, Pengkalan TLDM Pulau Indah, Pelabuhan Klang. - Foto Faiz Anuar
LAKSAMANA Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (kanan) beramah mesra bersama pegawai serta anggota Tentera Laut Diraja Malaysia ketika hadir pada Majlis Berbuka Puasa Panglima Tentera Laut Bersama Warga TLDM di Pusat Hidrografi Nasional, Pengkalan TLDM Pulau Indah, Pelabuhan Klang. - Foto Faiz Anuar

PELABUHAN KLANG: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yakin Rondaan Maritim Tiga Pihak (TMP) dengan Filipina dan Indonesia bermula 19 Jun ini di Tarakan, Indonesia, mampu mengekang kegiatan jenayah di perairan Laut Sulu.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada sejarah dan model rondaan bersama 10 tahun lalu membabitkan Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand di perairan Selat Melaka.

Katanya, model berkenaan dianggap berjaya selepas ia mencatatkan penurunan ketara bagi kes lanun dan rompakan laut di perairan itu.

Beliau berkata, untuk kerjasama TMP, TLDM akan mengerahkan aset kapal KD Todak iaitu kapal peronda laju bersama dua lagi kapal dari Filipina dan Indonesia yang beroperasi di perairan masing-masing.

"Rondaan ini dilakukan secara koordinasi serta serentak dan berterusan.

"Tujuannya untuk memastikan militan tidak menjadikan perairan itu sebagai laluan untuk menceroboh masuk ke Malaysia, Indonesia dan Filipina.

"Ia juga dilaksanakan untuk menangani aktiviti lanun, penculikan dan rompakan bersenjata di perairan Laut Sulu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Raja Mohamed Affandi bersama warga TLDM di Pusat Hidrografi Nasional Pangkalan TLDM Pulau Indah, di sini, malam ini.

Ahmad Kamarulzaman berkata, rondaan TMP akan membabitkan kawasan seluas lebih 1,400 kilometer di perairan Laut Sulu.

Berita Harian X