Khamis, 15 Jun 2017 | 4:13pm

Bayi dalam beg pakaian

FAZIANI menunjukkan gambar bayi perempuan di temui adiknya melalui telefon bimbitnya. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
FAZIANI menunjukkan gambar bayi perempuan di temui adiknya melalui telefon bimbitnya. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

TUMPAT: Suara tangisan membawa kepada penemuan seorang bayi perempuan yang lengkap bertali pusat di hadapan rumah kedai di Pasir Pekan, di sini.

Bayi seberat 2.77 kilogram itu dipercayai baharu lahir diletakkan di dalam sebuah beg pakaian yang tidak bertutup, kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Bayi itu ditemui adik lelaki kepada pengasas produk kecantikan Dnars, Faziani Rohban Ahmad, 37, iaitu Mohd Faizan, ketika dia mahu membuang sampah berdekatan lokasi penemuan.

"Tiba-tiba adik terdengar tangisan bayi dan ternampak sebuah beg pakaian tidak jauh dari situ.

"Sebaik menghampiri, dia ternampak seorang bayi dalam beg itu yang dibalut dengan baju orang dewasa dan lengkap memakai sarung tangan dan kaki," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Bayi perempuan itu dibawa pulang ke rumah mereka yang terletak 10 meter dari lokasi penemuan dan ditunjukkan kepada keluarga.

Bayi terbabit dibawa ke Klinik 1Malaysia yang berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk tindakan lanjut.

Faziani bersama adiknya itu terus membuat laporan polis di Balai Polis Wakaf Bharu berhubung penemuan bayi terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharuddin Rasip, mengesahkan penemuan bayi perempuan berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi," katanya.

FAZIANI menunjukkan lokasi bayi perempuan yang baru lahir di temui di hadapan sebuah rumah kedai di Pasir Pekan. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
FAZIANI menunjukkan lokasi bayi perempuan yang baru lahir di temui di hadapan sebuah rumah kedai di Pasir Pekan. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Berita Harian X