Rabu, 21 Jun 2017 | 12:04am

Pengawal keselamatan cedera ditembak perompak

Sebuah kedai emas dalam pasar raya disamun empat suspek yang belum dikenal pasti dalam kejadian kira-kira 7.50 malam tadi di di sebuah kompleks beli-belah di Tampoi, Johor Bahru. - Foto NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Sebuah kedai emas dalam pasar raya disamun empat suspek yang belum dikenal pasti dalam kejadian kira-kira 7.50 malam tadi di di sebuah kompleks beli-belah di Tampoi, Johor Bahru. - Foto NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan cedera ditembak perompak dalam kejadian rompakan kedai emas di sebuah kompleks beli-belah di Tampoi, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata dalam kejadian jam 7.50 malam sekumpulan empat lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dan tukul besi melarikan barangan kemas dari kedai itu.

Katanya, seorang pengawal keselamatan itu cedera di bahagian peha akibat terkena tembakan.

Katanya, pengawal keselamatan itu dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

"Suspek terdiri daripada empat lelaki yang masih belum dikenal pasti dan bersenjatakan sepucuk pistol serta tukul besi.

"Mereka melarikan sejumlah barangan kemas yang masih belum diketahui jumlah kerugiannya," katanya dalam kenyataan di sini.

Kamarul Zaman berkata, kumpulan penjenayah terbabit turut membawa lari senapang patah milik pengawal keselamatan itu.

"Kejadian berlaku dalam tempoh kurang tiga minit dan polis juga menjalankan siasatan di lokasi kejadian," katanya.

Susulan kejadian itu, polis turut melancarkan Op Tutup dan Op Kesan bagi memburu suspek terbabit.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) dan samun berkawan menggunakan senjata api.

Berita Harian X