Ahad, 25 Jun 2017 | 6:32pm

Suami isteri melecur, tong gas meletup

KEADAAN rumah sepasang suami isteri warga emas selepas tong gas meletup di rumah mereka di Taman Kobena, Senawang, di sini. - Foto Ihsan BOMBA
KEADAAN rumah sepasang suami isteri warga emas selepas tong gas meletup di rumah mereka di Taman Kobena, Senawang, di sini. - Foto Ihsan BOMBA

SEREMBAN: Sepasang suami isteri warga emas cedera apabila tong gas meletup di rumah mereka di Taman Kobena, Senawang, di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu menyebabkan wanita berusia 72 tahun melecur di bahagian muka, kaki dan tangan, manakala suaminya berusia 80 tahun cedera di kaki.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Pegawai Bomba Rudy Hartono Mohd Yassin, berkata kejadian berlaku ketika pasangan itu mahu memasak juadah Aidilfitri.

Bagaimanapun, katanya, anak mangsa hanya memaklumkan kejadian itu kepada pihak bomba pada jam 1.35 tengah hari untuk pemeriksaan lanjut.

"Kejadian dipercayai berpunca daripada akibat paip gas yang bocor. Kedua-dua mangsa kini mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini," katanya.

Berita Harian X