Isnin, 3 Julai 2017 | 2:08pm

Polis siasat kebakaran kilang simpan mercun

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha memadamkan api yang memusnahkan sebuah kilang barangan lusuh yang juga dipercayai menyimpan mercun di Kawasan Perindustrian Saleng dekat Senai, Johor. - Foto BERNAMA
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha memadamkan api yang memusnahkan sebuah kilang barangan lusuh yang juga dipercayai menyimpan mercun di Kawasan Perindustrian Saleng dekat Senai, Johor. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Polis akan membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian kebakaran sebuah kilang menyimpan barangan lusuh yang dipercayai turut menyimpan mercun di Kawasan Perindustrian Saleng dekat Senai, Johor, yang terbakar petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said, berkata kertas siasatan itu membabitkan akta mengikut Seksyen 10 Akta Bahan Letupan 1957 kerana menyimpan dan menguruskan bahan letupan yang boleh membahayakan tanpa kebenaran, selain kertas siasatan mengikut laporan kebakaran.

"Melihat kepada keadaan kebakaran itu, kita percaya bahan yang meletup adalah mercun. Bagaimanapun siasatan pihak Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat akan diadakan pada hari ini, selari dengan siasatan polis bagi mengetahui punca sebenar kebakaran," katanya.

Razak berkata, kawasan sekitar lokasi kejadian itu akan ditutup bagi menjalankan siasatan lanjut dan pihaknya akan menunggu maklumat lanjut Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) bagi mengenal pasti status tanah dan bangunan kilang itu.

Sementara itu, pihak bomba berjaya mengawal kebakaran kilang itu daripada merebak ke tujuh blok kilang berhampiran biarpun berhadapan kesukaran kerana premis yang dipercayai berstatus haram itu tidak mempunyai pili bomba.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor, Mohd Rizal Buang, berkata kebakaran itu berjaya dikawal selepas lima jam operasi dijalankan.

"Di kawasan ini terdapat lapan blok kilang termasuk kilang sarang burung, bahan plastik, barang terpakai serta perabot, namun kita berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke tujuh blok yang lain.

"Memandangkan kebakaran membabitkan bahan plastik dan mercun, bomba menggunakan buih (foam) bagi tujuan pemadaman, selain terpaksa menggunakan air sungai berhampiran," katanya.

Mohd Rizal berkata, operasi yang dijalankan itu membabitkan 92 anggota termasuk 30 bomba dari BBP Bandar Baru Kulai, Skudai, Pasir Gudang dan Tebrau, selain 30 polis, 16 Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 14 sukarela dari Kulai dan Senai, serta dua kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diarahkan untuk membuat kerja pemotongan bekalan elektrik.

Katanya, dua tangki air berkapasiti 20,000 liter dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau serta Bandar Baru Kulai turut dikerah ke lokasi kejadian.

Berita Harian X