Khamis, 6 Julai 2017 | 9:36pm

Menyamar polis minta warga asing RM100

Antara barangan yang dirampas daripada suspek menyamar anggota polis di Kampung Likas, Kota Kinabalu. - Foto Ihsan IPD Kota Kinabalu
Antara barangan yang dirampas daripada suspek menyamar anggota polis di Kampung Likas, Kota Kinabalu. - Foto Ihsan IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki dan memburu seorang lagi suspek kerana menyamar sebagai anggota polis sebelum meminta RM100 daripada peniaga warga Pakistan di Kampung Likas, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam pada Selasa, warga Pakistan berusia 39 tahun telah ditahan oleh dua lelaki menaiki sebuah kenderaan pikap di hadapan Masjid Jamek Kampung Likas.

Pemandu kenderaan terbabit kemudian memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum memeriksa serta menawarkan mangsa MyKad sambil meminta RM100.

Selepas mengambil wang daripada mangsa, kedua-dua suspek beredar dengan kenderaan mereka sebelum peniaga warga Pakistan itu terus ke Balai Polis Kota Kinabalu untuk membuat laporan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata berdasarkan maklumat, polis menahan seorang suspek warga tempatan berumur 32 tahun kira-kira setengah jam kemudian ketika mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Kampung Likas.

Suspek bernama Isen Bin Hussin yang kini giat dikesan polis.
Suspek bernama Isen Bin Hussin yang kini giat dikesan polis.

Katanya, suspek warga tempatan berumur 32 tahun itu mempunyai beberapa rekod jenayah dan narkotik serta positif dadah.

"Hasil penahanan suspek itu, polis merampas kenderaan serta pelbagai barangan lain termasuk gari, kad pengawal keselamatan serta dua MyKad milik individu lain," katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu, Chandra berkata, polis kini giat mengesan rakan suspek dikenali sebagai Isen Hussin berusia 40 tahun yang juga pemilik kenderaan pikap berkenaan.

Katanya, orang ramai yang mengenali Isen Bin Hussin diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Palani Nathan Pathmanathan di talian 016-4122835 atau balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Berita Harian X