X
Selasa, 11 Julai 2017 | 3:45pm

Pasangan kekasih dipercayai edar dadah ditahan

FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

JERANTUT: Sepasang kekasih dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah ditahan dalam serbuan dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut di sebuah hotel dekat bandar ini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Azid Ismail, berkata suspek lelaki berusia 42 tahun dan pasangannya, wanita berusia 24 tahun, ditahan hasil pemeriksaan dilakukan di hotel itu selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

"Kita menemui sejumlah dadah iaitu 5.31 gram dadah jenis methamphitamine dan 1.97 gram dadah jenis heroin hasil pemeriksaan di dalam bilik hotel didiami pasangan itu.

"Pasangan itu dipercayai menjadikan hotel dan inap desa sekitar daerah ini sebagai tempat bersembunyi daripada dikesan pihak berkuasa.

"Kita percaya pasangan ini terbabit dalam kegiatan mengedar dadah di sekitar bandar Jerantut serta FELDA Kota Gelanggi 1 dan 3, di sini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Azid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, mereka kini ditahan selama 60 hari mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1983 untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X