Sabtu, 25 March 2017 | 12:09am
DEKAN Fakulti Perubatan dan Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz PPUKM, Zaleha Abdullah Mahdy. - Foto Rosela Ismail
DEKAN Fakulti Perubatan dan Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz PPUKM, Zaleha Abdullah Mahdy. - Foto Rosela Ismail

Implan audio batang otak

KUALA LUMPUR: Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mencatat sejarah apabila menjalankan pembedahan pertama Implan Auditori Batang Otak (ABI) bagi mengatasi masalah hilang pendengaran.

Prosedur pertama seumpamanya itu dilakukan akibat pembedahan membuang ketumbuhan dalam otak.

Pembedahan dijalankan dengan kerjasama Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) dan Pakar Bedah Neuro serta syarikat pengeluar alat berkenaan dari Austria.

ABI antara pilihan terbaik untuk pesakit bermasalah pendengaran dan tidak dapat dibantu dengan alat pendengaran konvensional. Gangguan itu disebabkan oleh masalah ketumbuhan pada bahagian kedua bahagian saraf kranial kelapan.

Pesakit ada pilihan rawatan

IMPLAN Auditori Batang Otak (ABI). - Foto Shiraz Ali
IMPLAN Auditori Batang Otak (ABI). - Foto Shiraz Ali

Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz PPUKM, Zaleha Abdullah Mahdy, berkata pesakit kini mempunyai pilihan mengatasi masalah itu.

Beliau berkata, masalah hilang pendengaran boleh diselesaikan dengan ubat atau intervensi seperti penggunaan alat bantu pendengaran.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya alat bantu pendengaran konvensional tidak dapat membantu, alat implan boleh digunakan seperti implan Baha dan koklea.

Bagaimanapun, ada pesakit mengalami masalah pendengaran yang teruk dan tidak dapat diatasi dengan implan koklea.

Kekal upaya mendengar

PROSES pembedahan Implan Auditori Batang Otak (ABI). - Foto Shiraz Ali
PROSES pembedahan Implan Auditori Batang Otak (ABI). - Foto Shiraz Ali

Masalah pendengaran bertambah teruk juga boleh berlaku akibat serangan meningitis atau ketumbuhan pada telinga.

Terdapat beberapa lagi sebab yang memerlukan ABI sebagai pilihan sama ada untuk meningkatkan atau mengekalkan keupayaan pendengaran dan bahasa.

"Amat penting untuk UKM sentiasa menawarkan teknologi terbaharu yang terdapat di peringkat antarabangsa. Teknologi ini diharapkan dapat memberikan kemudahan kepada pesakit bagi menjalani kehidupan lebih sempurna," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Otorinolaringologi PPUKM, Prof Dr Asma Abdullah, berkata ABI adalah alat kecil yang dimasukkan ke dalam bahagian batang otak pesakit yang mengalami masalah pendengaran akibat kerosakan koklea atau saraf vestibularkoklea (saraf kranial kelapan).

Rangsang koklea nukleus

PROSES pembedahan Implan Auditori Batang Otak (ABI). - Foto Shiraz Ali
PROSES pembedahan Implan Auditori Batang Otak (ABI). - Foto Shiraz Ali

Alat ini akan merangsang secara terus kepada koklea nukleus yang terletak dekat di bahagian ventrikal keempat.

Laluan pendengaran bermula daripada bahagian telinga luar dan tengah dan seterusnya ke organ koklea (telinga dalam).

Di dalam koklea ini terdapat rerambut kecil (organ korti), di mana impuls akan dihantar dari organ korti kepada saraf koklea dan koklea nukleus.

"Sekiranya saraf vestibular koklea atau saraf koklea rosak terutama disebabkan ketumbuhan terutamanya neurofibromatosis jenis 2 (NF2), ia akan menjejaskan fungsi pendengaran.

"Oleh itu, dengan menggunakan ABI, koklea nukleus yang akan dirangsang," katanya.

Melalui ABI ini diharapkan pesakit berupaya mengenal pasti bunyi di persekitaran dan meningkatkan keupayaan berkomunikasi secara berdepan.

INFO

* ABI dibangunkan pertama kali untuk House Ear Institute pada tahun 1979.

*Punca pendengaran rosak dan memerlukan ABI:

- Ketumbuhan pada saraf koklea (kedua belah telinga NF2)

- Satu dalam 40,000 penduduk.

- Kanak-kanak dilahirkan tanpa organ koklea.

- Terbabit dengan kemalangan menyebabkan saraf rosak.

- Kerosakan koklea akibat jangkitan labirinthitis yang teruk (labyrinthitis ossificans)

*Pembedahan ABI:

-Pertama di Semenanjung Malaysia.

-Ketiga di Malaysia secara keseluruhan.

-Dua kes di Hospital Umum Sarawak.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X