Ahad, 26 March 2017 | 12:03am
TREK laluan masuk di Gunung Bintang. - Foto Azahar Hashim
TREK laluan masuk di Gunung Bintang. - Foto Azahar Hashim

Menggapai kabus di Gunung Bintang

GUNUNG Bintang.
GUNUNG Bintang.

GUNUNG Bintang disenaraikan puncak tertinggi di Kedah atau di utara Semenanjung Malaysia.

Satu pengalaman menyeronokkan apabila menyertai aktiviti mendaki Gunung Bintang yang bermula di Hutan Lipur Sungai Sedim terletak kira-kira 30 km dari bandar Kulim perkampungan yang damai.

Aktiviti ekopelancongan di sini mewujudkan inap desa yang diusahakan oleh penduduk kampung.

Sedim juga lokasi pelancongan tempatan agak popular terutama kepada penggemar aktiviti lasak. Paling popular adalah water rafting sejauh 8 km menyusuri jeram deras Sungai Sedim.

Di sini juga terdapat Kulim Canopy Walk yang disenaraikan antara tertinggi, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di dunia.

Rehat di pinggir air terjun

Pendakian Gunung Bintang yang dianjurkan oleh Thrill Adventure disertai 22 peserta dan seorang jurupandu yang dikenali sebagai Yus Sedim atau Yusri, iaitu penduduk tempatan yang memang sentiasa membawa pendaki ke gunung ini.

Pendakian bermula sekitar jam 10 pagi, merentasi hutan tebal dengan pokok berdaun hijau pekat. Sesekali kami melalui kawasan lapang, belukar dan semak samun, hutan buluh.

Hampir tiga jam berjalan, kami tiba di Air Terjun Lata Irau untuk berehat, makan tengah hari dan bersolat. Satu jam berehat, perjalanan diteruskan menuju ke Kem Langsuir yang mengambil masa hampir lima jam pendakian.

Kabus, awan halang pemandangan

Namanya menyeramkan tetapi tiada siapa berani bertanya kenapa tempat kami berkhemah dan bermalam dinamakan Kem Langsuir. Tambahan pula sudah masing-masing penat selepas hampir enam jam mendaki dari Air Terjun Lata Irau.

Selepas makan malam, masing-masing tidur nyenyak kerana keesokannya perlu bergerak 'menawan' puncak Gunung Bintang seawal jam 4 pagi.

Jarak dari Kem Langsuir ke puncak kira-kira dua kilometer tetapi mengambil masa sekitar tiga jam untuk tiba. Trek ke puncak tidak sukar. Cuma kami kena berhati-hati disebabkan bergerak dalam suasana gelap, hanya diterangi lampu suluh.

Kami tiba di puncak ketika matahari sudah terbit. Kabus dan awan menghalang pemandangan.

Cuaca redup dengan tiupan angin yang agak kuat membuatkan puncak Gunung Bintang menjadi sangat sejuk. Kru Thrill Adventures menyediakan minuman panas dan beberapa makanan untuk kami bersarapan di puncak gunung.

Suasananya meriah kerana terdapat sekumpulan pendaki lain turut sama berada di puncak.

Hampir satu jam di puncak, selepas puas bergambar selain tidak tahan dengan tiupan angin yang sejuk, membuatkan kami mula bergegas untuk turun pula.

INFO: Gunung Bintang

* Gunung ini terletak dalam Hutan Lipur Sungai Sedim di Kulim, Kedah

* Gunung Bintang menjadi titik sempadan antara Kedah dan Perak.

* Bagaimanapun, puncaknya terletak dalam sempadan Kedan.

* Tinggi Gunung Bintang 1,862 meter

* Menjadi sebahagian gunung dalam deretan Banjaran Bintang yang menganjur dari Selatan Thailand.

* Selain Gunung Bintang, puncak lain dalam jajaran Banjaran Bintang ialah Bukit Bokbak setinggi 1,199 m, Gunung Inas (1,801 m) dan Gunung Ulu Jernih (1,577 m).

Berita Harian X