Jumaat, 7 April 2017 | 12:11am
ERIC Lai (kanan) dan isterinya, Apple Yip Foong Peng bergambar bersama hasil seni lukisan muralnya di Jalan Mesjid, Ipoh. - Foto L Manimaran
ERIC Lai (kanan) dan isterinya, Apple Yip Foong Peng bergambar bersama hasil seni lukisan muralnya di Jalan Mesjid, Ipoh. - Foto L Manimaran
GELAGAT orang awam ketika bergambar bersama lukisan mural di Jalan Mesjid, Ipoh. - Foto L Manimaran
GELAGAT orang awam ketika bergambar bersama lukisan mural di Jalan Mesjid, Ipoh. - Foto L Manimaran
PELANCONG dari China melihat lukisan mural di Jalan Mesjid, Ipoh. - Foto L Manimaran
PELANCONG dari China melihat lukisan mural di Jalan Mesjid, Ipoh. - Foto L Manimaran

Mural lukisan 3D gamit pelancong asing

IPOH: Jika 10 tahun lalu, berkunjung ke Bandaraya Ipoh, khususnya kawasan Pekan Lama seakan sepi atau dianggap kawasan 'mati', tetapi kini suasana sudah berubah.

Malah, tidak lengkap kunjungan anda ke bandaraya berkenaan, jika tidak mengunjungi Pekan Lama untuk melihat puluhan, malah ratusan lukisan mural 3D yang menarik.

Pelbagai mural yang dihasilkan pada dinding sama ada bahagian depan, tepi atau belakang bangunan menjadi fenomena baru serta tumpuan orang ramai mengambil gambar.

Bukan saja pelancong tempatan teruja dengan pengalaman baru ini, malah pelancong asing juga tidak mahu ketinggalan melihat lukisan paling menonjol karya pelukis terkemuka, Ernest Zacharevic.

Tujuh lukisan mural beraspirasikan kopi pelukis berasal dari Lithuania itu dipaparkan di lokasi berbeza iaitu di Jalan Dato Maharajalela dengan karya 'pakcik tua bersama secawan kopi', Jalan Sheikh Adam (kapal terbang kertas) dan Jalan Tun Sambathan (bungkusan kopi 'O').

Manakala mural di Jalan Panglima memaparkan burung kelicap, Jalan Bijeh Timah (evolusi bandar perlombongan bijih timah dan beca) dan Jalan Bandar Timah (kanak-kanak perempuan memanjat kerusi).

Tinjauan wartawan BH Plus ke lokasi berkenaan mendapati Pekan Lama menjadi tumpuan setiap hari dianggarkan hampir 15 hingga 20 buah bas dipenuhi pelancong datang ke situ. Malah, jumlahnya akan bertambah melebihi 100 buah bas pada hujung minggu dan cuti umum.

ANTARA lukisan mural di bangunan yang menjadi fenomena baru serta tumpuan orang ramai mengambil gambar. - Foto L Manimaran
ANTARA lukisan mural di bangunan yang menjadi fenomena baru serta tumpuan orang ramai mengambil gambar. - Foto L Manimaran

LUKISAN yang dihasilkan oleh pelukis terkemuka, Ernest Zacharevic di Jalan Dato' Maharajalela, Ipoh. - Foto L Manimaran
LUKISAN yang dihasilkan oleh pelukis terkemuka, Ernest Zacharevic di Jalan Dato' Maharajalela, Ipoh. - Foto L Manimaran

Tidak cukup dengan itu, hasil seni lukisan 3D di Funtasy House Trick Art , turut menjadi tarikan baharu pengunjung. Funtasy House Trick Art yang mempunyai 26 jenis lukisan tangan mampu menghasilkan gambar seakan-akan objek hidup.

Mempunyai empat bahagian, ia menawarkan pelbagai sudut bertema termasuk rumah terbalik, dunia fantasi dan hukuman.

Selain memuji keindahannya, mereka sempat mengabadikan kenang-kenangan dengan mengambil foto berlatarbelakangkan lukisan mural yang terdapat di situ.

Jurucakap Tourism Perak memberitahu, pihaknya menerima ribuan pengunjung dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, India, China, Singapura, Jepun, Korea dan Thailand yang datang ke situ.

Sementara itu, pelancong dari China, Lin Pan Xian berkata, beliau yang baru tiba di Ipoh berasa teruja dengan hasil seni mural yang terdapat di bandar raya itu.

"Mural di sini lebih banyak, setiap lukisan mementingkan pelbagai kebudayaan dan ia sangat indah dan saya amat menyukainya," katanya ketika ditemui BH Plus.

Pengunjung tempatan, Mohd Azmer Azami, 21, berkata hasil mural menarik di sini perlu diketengahkan bagi menaikkan hasil seni karya negara.

LUKISAN mural yang terdapat di Jalan Mesjid, Ipoh. - Foto L Manimaran
LUKISAN mural yang terdapat di Jalan Mesjid, Ipoh. - Foto L Manimaran

ERIC Lai melukis seni mural di Jalan Mesjid, Ipoh. - Foto L Manimaran
ERIC Lai melukis seni mural di Jalan Mesjid, Ipoh. - Foto L Manimaran

"Bagi saya mural ini dapat menenangkan fikiran dan membuatkan kita menjadi kreatif, jadi saya memilih tempat ini (Ipoh) untuk bergambar," katanya yang ditemui di salah satu lokasi mural di bandar raya ini.

Rakannya, Zulhairie Mahmud, 21, yang berasal dari Sabah berkata, beliau yang sudah mengunjungi beberapa lokasi mural di bandar raya di sini tertarik dengan keunikan dan kelainan konsep lukisan mural yang berserta 'aksi' di sini.

"Selain dipenuhi dengan pelbagai lukisan mural yang dilengkapi aksi, lukisan di sini membuatkan saya mengimbau kenangan ketika kanak-kanak," katanya. 

 

Kelahiran lukisan unik itu berjaya mencetuskan fenomena dan aktiviti itu kini menjadi kegilaan pelukis tempatan untuk turut sama berkarya di beberapa lokasi lain di Jalan Concubine Lane dan Jalan Padang.

Antaranya pelukis tempatan, Eric Lai dan Kareem Kai, sekali gus menjadikan Ipoh kini semakin dikenali terutama pelancong dan pencinta seni.

Lukisan mural berkenaan menaikkan kembali wajah beberapa kawasan yang kian mati selain menceriakan nilai estetika bangunan lama.

Lebih unik, mural dihasilkan menceritakan kepelbagaian seni dan budaya masyarakat lama dan baharu yang dipraktikkan masyarakat pelbagai kaum di negara ini, khususnya warisan dan budaya Ipoh.

ANTARA hasil seni mural yang terdapat di bandar raya Ipoh. - Foto L Manimaran
ANTARA hasil seni mural yang terdapat di bandar raya Ipoh. - Foto L Manimaran

LUKISAN mural yang terdapat di Jalan Mesjid, Ipoh. - Foto L Manimaran
LUKISAN mural yang terdapat di Jalan Mesjid, Ipoh. - Foto L Manimaran

Antara mural unik yang cuba dipamerkan termasuk permainan kanak-kanak 'police and thief', lompat tali dan tarik tali. Selain itu, lukisan bangunan lama dan warisan sejarah, alam semulajadi dan tumbuhan turut menghiasi setiap sudut dan dinding lorong lama.

Eric Lai, yang aktif melukis mural sejak empat tahun lalu, sudah menghasilkan kira-kira 70 karya di lokasi sekitar bandar raya terutama di Jalan Mesjid, Pulau Pangkor, Cameron Highlands, taman tema air Lost World of Tambun dan negeri lain.

Katanya, sejak kecil beliau melihat ibunya melukis pada dinding kayu rumah dan menjadikan ia sebagai sumber inspirasi bagi menghasilkan lukisan mural di permukaan dinding.

"Saya tidak terlalu memilih jenis dinding, namun kita sengaja mencari lorong lama yang sudah usang untuk memberi nilai tambah terhadap tempat itu.

"Bersesuaian dengan negara yang mempunyai pelbagai budaya, kaum dan bangsa, saya tidak akan hanya menumpukan pada satu elemen sahaja pada setiap karya dihasilkan dan setiap karya mempunyai jalan cerita berbeza dan unik," katanya.

Lai berkata, sebagai artis beliau berusaha menghasilkan sesuatu yang indah dan berbeza untuk dihayati pelancong dan meredakan ketegangan fikiran kerana kesibukan bekerja di pejabat.

Berita Harian X