Selasa, 11 April 2017 | 12:01am
Erma Fatima (empat kiri) bersama model koleksi daripada Khalif oleh Erma Fatima semasa Minggu Islamic Asia Fashion (AIFW 2017) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto NSTP/ Nurul Shafina Jemenon
MODEL memperagakan koleksi daripada Khalif oleh Erma Fatima semasa Minggu Fesyen Islam Asia (AIFW 2017) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto NSTP/ Nurul Shafina Jemenon
SEORANG model memperagakan koleksi daripada Khalif oleh Erma Fatima semasa Minggu Fesyen Islam Asia (AIFW 2017) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto NSTP/ Nurul Shafina Jemenon

Mak Cun buka kedai serbaneka

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan drama bersiri dan teater muzikal, pelakon yang juga pengarah Mak Cun, Erma Fatima, akan membuka kedai serbaneka dikenali sebagai Mak Cun Mart di Ukay Perdana, Ampang, Selangor, pada 13 April ini.

Berbangga selepas segala kerja keras membina jenama Mak Cun kian membuahkan hasil, Erma berharap pelancaran kedai itu dapat mengukuhkan lagi jenama terbabit.

"Kedai di Ukay Perdana adalah cawangan Mak Cun Mart yang pertama dan saya berkira-kira mahu menjadikannya sebagai francais.

"Saya ingin berbuat demikian sebagai usaha untuk membuka peluang pekerjaan, malah ia juga impian saya untuk membantu masyarakat. Selain itu, kita juga akan membuka laman web yang membolehkan semua barang dibeli secara dalam talian," katanya yang ditemui ketika menyertai pertunjukan fesyen sempena Minggu Fesyen Islam Asia 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Erma berkata, semua barangan yang dijual di kedai berkenaan lebih bersifat barangan keperluan harian dan sehingga kini, sebanyak 25 produk di bawah jenama Mak Cun sudah didaftarkan.

pengarah Mak Cun, Erma Fatima, akan membuka kedai serbaneka dikenali sebagai Mak Cun Mart di Ukay Perdana, Ampang, Selangor, pada 13 April ini. - Foto twitter Erma Fatima

"Pendek kata, segala barangan harian seperti beras organik, kicap, kopi, rempah ratus, sambal segera dan coklat pelbagai perisa dijual di kedai ini. Tak ketinggalan produk bedak sejuk yang mula-mula memperkenalkan karakter Mak Cun di TV.

"Saya usahakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah jenama Mak Cun ketika musim kedua siri Mak Cun masih bersiaran, tahun lalu," katanya.

Bukan sekadar kedai serbaneka, Erma turut melancarkan koleksi pakaian di bawah jenama sama. Ia dipersembahkan serentak dengan koleksi pakaian Khalif by Erma Fatima.

Koleksi pakaian Mak Cun menampilkan kebarung dan kain batik seperti sering dipakai Erma ketika melakonkan karakter berkenaan di TV mahupun di pentas teater.

"Saya bagaimanapun bukanlah hendak menjadi pereka fesyen, malah tidak berminat pun untuk melangkah ke arah itu. Saya hanya mahu martabatkan pakaian yang berteraskan gaya muslimah dan menutup aurat. Ia juga bersifat tradisional dengan gaya wanita Melayu dan klasik. Saya hanya menghasilkan baju yang saya suka pakai dan atas dasar 'seronok-seronok' saja.

"Saya pula menghasilkan rekaan dan meminta bantuan tukang jahit untuk menterjemahkan ke dalam bentuk yang saya inginkan. Pereka fesyen, Ashraf Zainal, turut membantu saya dalam koleksi ini," katanya sambil memaklumkan, Mak Cun musim ketiga bakal menemui penonton TV3 dalam masa terdekat.

PELAKON yang juga pengarah Mak Cun, Erma Fatima semasa Minggu Fesyen Islam Asia (AIFW 2017) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto NSTP/ Nurul Shafina Jemenon

Kata Erma, kedua-dua koleksi fesyennya itu cukup dekat di hati beliau.

"Koleksi Mak Cun lebih kepada apa yang saya paparkan menerusi karakter terbabit dalam lakonan. Khalif pula koleksi sedia pakai yang diilhamkan daripada apa yang saya gemar sarungkan.

"Saya jenis wanita yang suka gaya pelik, tetapi tidak melupakan elemen batik untuk setiap koleksi dihasilkan. Saya tidak menggunakan kain yang mahal pun, sebaliknya pakaian harian yang sangat praktikal.

"Sejujurnya, dua koleksi yang saya hasilkan ini bertujuan mengembalikan gaya tradisi ketika sambutan Hari Raya dan juga pakaian seharian. Saya sebenarnya tidak percaya dengan konsep jubah dan abaya. Ia bukan baju raya kita, sebaliknya lebih kepada orang Arab. Saya mahu kembalikan gaya Melayu yang masih bercirikan ketimuran," katanya.

Erma berkata, usahanya menghasilkan jenama fesyen itu sudah berputik sejak dua tahun lalu. Ketika komitmen seni berkurangan pada bulan puasa, beliau sedikit demi sedikit mula menghasilkan pakaian dan menjualnya di karnival yang disertainya.

Ketika ini, Erma turut mencari ejen untuk menjual pakaian di bawah label berkenaan.

MODEL memperagakan koleksi daripada Khalif oleh Erma Fatima semasa Minggu Fesyen Islam Asia (AIFW 2017) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto NSTP/ Nurul Shafina Jemenon

Info:

  • Erma Fatima mula memperkenalkan siri Mak Cun pada 2015 dan musim keduanya menemui penonton pada tahun lalu.

  • Teater muzikal Mak Cun dipentaskan di Istana Budaya pada November 2015 dan Mak Cun D'Walei pada November 2016.

  • Mak Cun Mart akan dilancarkan di Ukay Perdana, pada 13 April ini.

  • Musim baharu siri Mak Cun akan menemui penonton di TV3, pada bulan ini.

Berita Harian X