Selasa, 18 April 2017 | 12:04am

Tampil bergaya sepanjang masa

DEBORAH (tiga dari kiri) dan Vivy pada pelancaran koleksi usaha samanya dengan Fashionvalet. - Foto Luqman Hakim Zubir

KEINGINAN mencetuskan fenomena aliran terbaharu menjadikan pereka fesyen menjadi cukup berpengaruh dalam menentukan rekaan fesyen mengikut musim.

Sejajar dengan itu, portal fesyen e-dagang terkemuka Asia Tenggara, Fashionvalet, melancarkan koleksi usaha sama eksklusif bersama bekas Miss Universe Malaysia 2007, Deborah Henry untuk menampilkan rekaan penuh dengan keceriaan dan unik.

Menggunakan inspirasi dari pengembaraan, koleksi terbaharu Deborah Henry x FashionValet: Laidback Luxe mengetengahkan sentuhan koleksi bersifat santai canggih, menambahkan keselesaan sepanjang perjalanan bebas.

PORTAL fesyen e-dagang terkemuka Asia Tenggara, Fashionvalet, melancarkan koleksi usaha sama eksklusif bersama bekas Miss Universe Malaysia 2007, Deborah Henry. - Foto Luqman Hakim Zubir

Gabungan inspirasi

Deborah berkata, koleksi itu ditampilkan dek kesungguhan minatnya terhadap peredaran fesyen semasa.

Katanya, koleksi itu turut menggabungkan inspirasi dari cara dirinya menyuai padankan setiap persalinan dimilikinya sepanjang penggembaraan.

"Bergaya adalah teras koleksi ini, bersama rekaan yang boleh di suai padan untuk membuatkan setiap padanan tampak berbeza ketika bercuti tanpa membazir ruang di dalam bagasi.

"Anda juga sebenarnya tidak perlu membuat pengorbanan untuk tampil bergaya sepanjang masa sekiranya bijak padankan persalinan," katanya pada majlis perasmian koleksi itu di butik Fashionvalet, di ibu negara, baru-baru ini.

ANTARA koleksi Deborah Henry. - Foto Luqman Hakim Zubir

Tampil bebas

Menyuntik inspirasi daripada pengalaman pengembaraan Deborah sendiri, koleksi ini merangkumi 13 rekaan dan semuanya membawa keunikan terhadap pemakaian wanita berjiwa bebas.

Koleksi merangkumi, baju off-shoulder, kamisol dan kemeja, masing-masing dikepilkan dengan perincian dan kemasan ropol, sekali gus membuatkan penampilan ringkas kekal anggun penuh gaya dipadankan bersama gaun mahupun skirt.

Selain itu, padanan seluar palazo dan seluar berpotongan lurus mengikut kaki juga membolehkan wanita tampil bebas dalam setiap langkah diatur sepanjang mengembara.

Penampilan koleksi tidak akan lengkap tanpa pemilihan rona fabrik bersesuaian dengan rekaan diketengahkan buat wanita mengikut musim ini.

Oleh itu, bagi menambahkan keceriaan sepanjang pengembaraan, rona pastel dipilih sebagai warna utama menyerikan setiap rekaan dari koleksi terbaharu ini.

Rona pilihan

Membolehkan sesi pemakaian lebih mudah untuk disuai padan, rona biru asap, merah jambu lembut, hijau pudina dan jingga membentuk seluruh koleksi ini.

Rona asas seperti putih, biru gelap dan hitam masih menjadi pilihan utama bagi menambahkan lagi sentuhan eksklusif buat rekaan kasual.

Koleksi itu dilancarkan bersama Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Kreatif FashionValet, Vivy Yusof selain dilancarkan secara serentak di laman web dan butik fizikal di Bangsar Village 2 dan juga di Singapura.

Koleksi Deborah Henry x FashionValet : Laidback Luxe merangkumi rekaan bersaiz antara UK6 hingga UK16, dengan harga antara RM119 hingga RM299.

Info;

Tip mengemas pakaian;

  • Asingkan baju yang ingin dibawa.
  • Pilih baju berdasarkan jumlah hari percutian.
  • Tentukan kesesuaian baju mengikut tempat bakal dikunjungi.
  • Lipat atau gulung baju dengan kemas.
  • Padankan aksesori.
  • Manfaatkan ruang kosong untuk menyimpan kasut.
Berita Harian X