Rabu, 19 April 2017 | 12:10am
SINGLE ketiga Khai Bahar bakal diterbitkan selepas Aidilfitri.SAIFULLIZAN TAMADI
SINGLE ketiga Khai Bahar bakal diterbitkan selepas Aidilfitri.SAIFULLIZAN TAMADI

Khai Bahar mahu bahagiakan ibu bapa sebelum bercinta

KUALA LUMPUR: Jika melihat faktor kematangan, usia 23 tahun sudah memadai untuk anak muda mengenali erti cinta dan kasih sayang.

Namun, bagi bakat baharu, Khai Bahar, dia mempunyai pandangan berbeza apabila berbicara soal hati.

Menganggap diri masih hijau dan banyak lagi yang perlu diteroka, jejaka berasal dari Perlis ini mahu membahagiakan ibu bapa dan keluarga, sebelum memikirkan soal teman hidup.

KHAI Bahar mula meraih perhatian apabila rakaman nyanyian melalui aplikasi Smule bersama Siti Nordiana menjadi viral. - Foto Saifullizan Tamadi
KHAI Bahar mula meraih perhatian apabila rakaman nyanyian melalui aplikasi Smule bersama Siti Nordiana menjadi viral. - Foto Saifullizan Tamadi

"Memang ramai yang bertanya apakah sudah ada kekasih. Buat masa sekarang, jawapan saya berbunyi klise iaitu mahu memberi fokus kepada nyanyian. Jika ada jodoh... insyaAllah saya berkahwin.

"Cuma buat masa sekarang, masih awal untuk saya meramalkan apa yang bakal terjadi.

"Saya cuma fikir nak kumpul duit bawa ibu bapa dan ibu tiri berangkat ke Tanah Suci Makkah. Jika ada rezeki lebih, saya nak turut serta.

"Saya nak membahagiakan mak ayah dulu," katanya kepada BH Plus.

Andai ditakdirkan bercinta, Khai yang tercalon dalam dua kategori iaitu Artis Baharu Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 memberitahu, dia enggan bercinta lama.

"Tak mahulah... Kalau ada kekasih, biar kahwin terus," katanya yang popular dengan lagu Bayang dan Dari Jauh Sahaja.

Mengintai sisi kerjaya yang baru bertapak, Khai memberitahu, single ketiganya bakal diterbitkan selepas Aidilfitri.

Atas inisiatif sendiri dan semangat yang berkobar-kobar, Khai sedang mempelajari ilmu vokal dengan dengan penyanyi Syafinaz Selamat.

"Saya sedar hingga saat ini, ada yang masih ragu ragu dengan bakat dan vokal saya.

"Jadi, saya kena lihat ia sebagai ruang untuk terus memperbaiki kelemahan. Saya dapat rasakan mutu vokal saya sudah mula meningkat," katanya.

Khai juga mengaku dia sebelum ini 'malu-malu kucing' apabila bercakap dengan orang yang tidak dikenali terutama wartawan.

"Tapi sekarang semakin okay. Saya percaya setiap hari menjadi proses pembelajaran dan fasa yang mematangkan diri.

"Alhamdulillah, orang sudah mula kenal saya," katanya.

KHAI Bahar. - Foto Saifullizan Tamadi
KHAI Bahar. - Foto Saifullizan Tamadi

Rakam lagu raya

Dalam usaha mempelbagaikan kebolehan diri, Khai tidak menolak kemungkinan mencuba nasib dalam dunia lakonan.

"Perasaan nak berlakon itu ada... Sesekali rasa teringin, tapi tunggulah dulu. Ada rezeki pasti akan datang semua itu. Tapi buat ketika ini, biarlah saya fokus nyanyian.

"Dunia nyanyian masih umpama bertatih. Masih banyak lagi ruang yang saya perlu teroka dalam nyanyian.

"Cubaan dan dugaan dalam dunia seni itu tak pernah berhenti. Akan datang lagi yang besar dan siapa tahu semua itu. Saya kena kuat dan bersedia dengan segala kemungkinan.

"Pada masa sama, semua itu menjadi pengalaman dan pengajaran berharga," katanya.

Terus bercerita, Khai berkongsi keterujaan merakamkan dua lagu raya.

Khai yang menarik perhatian apabila rakaman nyanyian melalui aplikasi Smule bersama Siti Nordiana dalam lagu Memori Berkasih menjadi viral, akan merakamkan lagu Halaman Asmara yang dipopularkan Ziana Zain dan Awie.

"Saya tak pernah bayangkan menyanyi lagu raya sendiri. Saya memang sukakan lagu Halaman Asmara," katanya.

Khai berkata, dia juga akan merakamkan lagu baharu berentak 1990-an yang dicipta Fedtri Yahya.

Hasilkan minyak wangi

Bagai mengikut aliran semasa, Khai tidak ketinggalan tampil dengan koleksi minyak wangi seperti yang dilakukan beberapa artis.

Minyak wangi edisi terhad Khai Bahar Bayang itu akan dilancarkan, awal bulan depan.

"Saya lihat kuasa membeli minyak wangi masih ada... Permintaannya berterusan.

"Semua orang di dunia ini mahu terasa wangi setiap hari. Kewujudan minyak wangi komersial serta yang dikeluarkan selebriti memberi pilihan. Siapa yang tak nak jadi harum sepanjang hari bukan?" katanya.

Pertama kali cuba berniaga, Khai berharap pelaburannya akan mendatangkan manfaat.

"Saya harap produk minyak wangi ini akan mendapat maklum balas positif," katanya.

INFO:

* Mula meraih perhatian apabila rakaman nyanyian melalui aplikasi Smule bersama Siti Nordiana menjadi viral.

* Pernah menjadi protege kepada Dayang Nurfaizah dalam program Mentor Legend namun menarik diri kerana masalah peribadi.

* Meminati Ziana Zain dan Siti Nordiana.

Berita Harian X