Jumaat, 21 April 2017 | 12:12am

Datuk Seri Vida tak layan usikan lelaki

KUALA LUMPUR: Sah bercerai talak satu dengan bekas suami pada 7 April lalu, pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Vida, 46, mengaku dirinya mula dihimpit jejaka yang cuba mengisi kekosongan hati.

Kisahnya, pelbagai cara dilakukan untuk memikat Vida termasuk mengirim mesej melalui aplikasi WhatsApp dan laman sosial milik jutawan kosmetik itu. Malah, ada individu kreatif mencipta mesej mempromosikan produk Pamoga dan pada masa sama, 'mengusik' Vida.

Baru-baru ini, tersebar iklan berbunyi: "Siapa nak jadi kaya, banyak duit, jadi jutawan, saya ada tip mudah dan cepat. Ia bukan skim cepat kaya dan bukan perniagaan multi level marketing (MLM).

"Tak perlu jual produk dan mencari 'downline'. Siapa berminat. ikutilah cara ini... Hanya perlu bersabar dan tunggu tiga bulan saja. Lepas tiga bulan habis edah, cepat cepat pinang Datuk Seri Vida... Alhamdulillah, mujur ada Pamoga!"

Bertemu Vida, BH Plus bertanya mengenai iklan yang menjadi viral di laman sosial itu.

"Lucu apabila membaca 'iklan' itu. Tapi, saya lihat ia daripada sudut positif. Ini kerana ia menjadi viral sambil mempromosikan produk keluaran syarikat saya," katanya.

RAMAI yang memikat saya dengan menghantar mesej menerusi WhatsApp. - Foto Effendy Rashid
RAMAI yang memikat saya dengan menghantar mesej menerusi WhatsApp. - Foto Effendy Rashid

Hakikatnya, Vida berkata, dirinya tidak terfikir mencari pengganti bekas suami.

"Saya belum bayangkan soal pengganti. Saya tak layanpun mesej yang dihantar lelaki. Saya tak mahu terus larut dengan hal begini kerana apa yang paling utama sekarang adalah keluarga tersayang dan perniagaan yang ingin dimajukan.

"Apa yang berlalu biarlah terus berlalu. Saya kena pandang ke hadapan. Saya kena ceria walaupun pada hakikatnya. bukan senang untuk 'move on' (teruskan hidup)," katanya.

VIDA mengaku dirinya mula dihimpit jejaka yang cuba mengisi kekosongan hati. - Foto Effendy Rashid
VIDA mengaku dirinya mula dihimpit jejaka yang cuba mengisi kekosongan hati. - Foto Effendy Rashid

Dilantik Ratu Tonton

Selepas berpisah dengan suami ketiga, Fairuz Ahmad Zainuddin di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada 7 April lalu, Vida muncul pada majlis ulang tahun pertama servis penstriman Tonton di Petaling Jaya, Selasa lalu.

Pada majlis itu, Vida diumumkan dilantik sebagai Ratu Tonton untuk tempoh setahun. Pemilihan Vida dilihat dapat memberi inspirasi dan menggalakkan lebih ramai pelanggan mendaftar pakej tonton VIP.

"Selepas ribut taufan melanda (merujuk kepada kes cerai), inilah kali pertama saya muncul dalam majlis dihadiri ramai orang.

"Saya lebih banyak berkurung dalam rumah. Ia macam tempoh saya 'berkabung'. Namun, kehidupan kena diteruskan," katanya.

VIDA belum terfikir mencari pengganti bekas suami. - Foto Aziah Azmee
VIDA belum terfikir mencari pengganti bekas suami. - Foto Aziah Azmee

Vida melihat pelantikannya sebagai Ratu Tonton adalah langkah awal sebelum memiliki saluran televisyen (TV) sendiri. Vida turut melabur lebih RM1 juta untuk penambahbaikan servis penstriman terbesar tempatan dan pertama di Malaysia itu.

"Memang saya ada didekati dan ditawarkan pihak yang mahu mewujudkan saluran program TV sendiri untuk saya. Tetapi ia masih terlalu awal untuk saya pertimbangkan. Jadi, biarlah saya lihat pelaburan yang dibuat untuk Tonton ini sebagai ruang awal sebelum ada saluran program TV sendiri," katanya.

Bercerita lanjut, Vida berkata, dengan Tonton, dia berpeluang muncul dalam program sendiri.

"Saya memang suka berkarya. Dalam fikiran ini, saya mahu berkongsi tutorial mekap, jahit tudung, mereka jeans dan macam-macam lagi untuk penonton Tonton.

"Saya tak kisah kalau orang cakap saya 'syok sendiri' atau nak ke hadapan. Saya melabur untuk Tonton, jadi saya berhak ke hadapan. Saya buat semua ini kerana mahu terus menjenama dan mempromosikan produk keluaran syarikat sendiri," katanya.

 REDZA Rosli (kiri), Vida dan Ayda Jebat (kanan) pada majlis ulang tahun Tonton di The Hiill @ The Roof One Frist Avenue. - Foto Zunnur Al Shafiq
REDZA Rosli (kiri), Vida dan Ayda Jebat (kanan) pada majlis ulang tahun Tonton di The Hiill @ The Roof One Frist Avenue. - Foto Zunnur Al Shafiq

INFO

Tonton:

  • Selain Vida dilantik Ratu Tonton, duta baharu turut diperkenalkan iaitu Ayda Jebat dan Redza Rosli. Duo Mandopop ThomasJack pula dilantik duta kandungan berbahasa Cina.
  • Tonton memiliki hampir tujuh juta ahli dengan pertambahan 18,000 ahli baharu setiap minggu. Tonton mencapai 1.5 juta muat turun di iOS dan Android dengan kadar peningkatan 25 peratus setiap bulan.
  • Antara kandungan menarik yang ditawarkan adalah drama Jojie Gigil, Bahagia Kasihmu, Raisha, Misi Laksa dan Laksam, I Am Not A Loser, Meh, Sandar Pada Aku! Raya, Reban Ayam dan i-Pet.
  • Istimewa untuk meraikan pengguna tonton VIP, acara istimewa Jom Tonton akan diadakan di The Curve, Mutiara Damansara, mulai 10 pagi Sabtu ini.
  • Antara barisan artis yang akan membuat persembahan adalah Ayda Jebat, Ning Baizura, Bunkface, Kaka Azraff, Juzzthin, Wani Hasrita, Suffian Suhaimi, Ara AF dan Azlan & The Typewriter.
Berita Harian X