Selasa, 25 April 2017 | 12:06am

Berlian penambah seri

REKAAN baharu dan segar jadi tarikan penggemar aksesori berlian.
REKAAN baharu dan segar jadi tarikan penggemar aksesori berlian.

BARANGAN kemas seperti emas, permata dan berlian boleh diumpamakan sebagai `teman karib' kepada wanita.

Kilauan sinaran itu boleh membuatkan wanita tidak tidur lena dan berusaha ingin memilikinya.

Lalu, tidak hairanlah berapa nilainya sama ada mahal atau murah sekalipun, ia tetap menjadi kegilaan dan pujaan setiap wanita di dunia ini.

Ini kerana mereka percaya, apabila menggayakannya, secara tidak langsung, seri kecantikan dalaman dan keyakinan diri akan terpancar, lalu menjadikan penampilan mereka lebih terserlah.

Berlian antara koleksi yang mempunyai nilai paling berharga dan setiap satunya unik serta mempunyai ciri-ciri istimewa. Personaliti wanita yang memakai berlian juga dapat dilihat menerusi potongan berlian yang dipakainya.

Justeru, sempena April iaitu bulan kelahiran berlian, jenama barangan kemas tempatan, Habib menganjurkan pesta berlian besar-besaran.

Kilauan ibarat bintang

Pengarah Urusan Habib, Datuk Sri Meer Habib, berkata tema pada tahun ini adalah `Unik Ibarat Bintang' memandangkan setiap orang berbeza dan unik.

Katanya, keunikan itu membuatkan setiap koleksi berlian yang dihasilkan dipotong dengan tepat dan terperinci untuk memberikan kilauan ibarat bintang kepada pemakainya.

"Kemudian, potongan berlian itu dizahirkan pada beberapa jenis rekaan sangat menarik yang memaparkan elemen gaya hidup masa kini.

"Kita sentiasa berusaha menampilkan rekaan baharu dan segar menerusi ilham tersendiri. Kebanyakan rekaan diilhamkan daripada persekitaran kita yang sangat unik dengan kepelbagaian budaya," katanya ketika melancarkan Pesta Berlian Habib 2017, di KLCC, baru-baru ini.

SENTUHAN unik, potongan tepat beri kilauan ibarat bintang kepada pemakai.
SENTUHAN unik, potongan tepat beri kilauan ibarat bintang kepada pemakai.

Emas ros bertatahkan berlian

Meer berkata, bukan sekadar meraikan saja, tetapi pelanggan yang membeli turut diberikan pengetahuan mengenai berlian dan setiap elemen yang terdapat pada rekaan berkenaan.

"Kita sebagai sebuah negara penuh dengan budaya, justeru, saya mahu menerapkan ia di dalam setiap koleksi agar keunikannya dapat dilihat berbeza dari negara lain.

"Selain itu, ramai yang menganggap harga berlian terlalu mahal, tetapi disebabkan kami adalah pengeluar, jadi kami dapat mengawal harganya," katanya.

Katanya, suatu ketika dulu, emas putih menjadi pilihan, tetapi kali ini Habib mengikuti peredaran terkini dengan menawarkan emas ros.

"Warnanya yang kaya dan memikat, halus, lembut dan matang dilihat sesuai digayakan setiap peringkat usia. Ditambah pula dengan hiasan berlian, menjadikan ia kelihatan begitu mewah dan elegan apabila memakainya.

"Kami menawarkan koleksi favourable iaitu berlian direka khas untuk barangan kemas emas ros yang ringkas dengan harga berpatutan," katanya.

Inspirasi sisik ikan

Memilih rekaan unik, Habib juga tampil dengan koleksi Arowana diinspirasi daripada sisik ikan berkilauan yang amat tinggi nilainya. Ia boleh didapati dalam emas putih, merah dan kuning bertatahkan berlian.

Di samping itu, koleksi Evo terdiri daripada cincin dan gelang bertatahkan berlian dengan bentuk unik, moden dan futuristik, cincin berlian lelaki dalam sarung perak palladium serta jenama antarabangsa Hearts On Fire.

Info

Jenis emas

  • Putih
  • Merah
  • Kuning

Emas Ros

  • Disebut dulu sebagai emas Russia
  • Terdapat tiga warna

Bentuk berlian

  • Marquise
  • Cushion
  • Oval
  • Emerald
  • Pear
  • Heart
Berita Harian X