Sabtu, 29 April 2017 | 12:04am

Tukar berus tiga bulan sekali

BILAKAH kali terakhir anda menukar berus gigi dan adakah masih menggunakan berus gigi yang bulunya sudah melengkung?

Pakar pergigian menasihatkan berus gigi ditukar setiap tiga bulan sekali tetapi keadaan itu bergantung kepada faktor fizikal dan tabiat memberus setiap individu.

Kebanyakan bulu berus diperbuat daripada bahan nilon kerana bersifat ekonomik, mudah dipotong kepada pelbagai bentuk tetapi tidak tahan lama.

Bulu berus nilon mempunyai kadar penyerapan air yang tinggi menjadikannya cepat melengkung, rosak dan mudah tercemar dengan bakteria.

Ketua Pusat Pakar Pergigian/Pemulihan/Perunding Pergigian Prostodontik Kumpulan Perubatan KPJ Tawakkal, Dr Mohamad Muzafar Hamirudin, berkata apabila berus melengkung, bulu berus tidak dapat membersihkan plak.

PILIH bahan nilon lembut, elak kecederaan gusi.
PILIH bahan nilon lembut, elak kecederaan gusi.

Hindari radang gusi

Beliau berkata, plak, tidak dapat dibersihkan menyebabkan individu terdedah kepada risiko masalah kesihatan mulut seperti penyakit radang gusi.

"Berus gigi moden menggunakan teknologi bulu berus tirus atau sangat tirus yang diperbuat daripada Polybutylene Terepththalene (PBT) yang lebih tahan lama dan kalis air," katanya.

Ini membantu membersihkan plak dan sisa makanan di celah gigi yang sukar dicapai.

Teknik memberus gigi yang salah boleh menyebabkan bulu berus menjadi cepat rosak dan menghalang pembersihan plak secara berkesan.

Tabiat memberus secara terburu-buru dan tidak teliti juga menghalang proses pembersihan secara menyeluruh.

Elak berus bulu keras

Kebanyakan individu mempunyai bahagian gigi sensitif, ini disebabkan oleh penggunaan berus gigi berbulu keras atau sederhana untuk jangka masa panjang.

"Bagi menghalang masalah lebih rumit, pakar menasihatkan penggunaan berus gigi berbulu lembut atau ultra lembut.

"Tabiat menggosok dengan kuat menyumbang kepada penipisan lapisan enamel atau juga penguncupan gusi yang akhirnya mendedahkan lapisan sensitif dentin.

"Sekiranya perlu menyimpan berus gigi di dalam beg, pastikan ia kering dan tidak dibebani objek berat bagi mengekalkan bentuk dan keberkesanannya," katanya.

Info
Ciri berus gigi yang baik

Bulu berus tirus dengan diameter 0.02mm mampu:

- Membersihkan 40 peratus lebih plak dalam ruang antara gigi.

- Sembilan kali lebih bersih pada garisan gusi serta permukaan gigi.

- Berupaya membersihkan ruang poket gusi yang dipenuhi plak bakteria. (penyebab utama masalah gusi).

Bulu berus yang lembut atau sangat lembut;

- Mengelakkan kecederaan gusi atau tisu lembut.

Leher berus gigi yang fleksibel:

- Menyerap tekanan berlebihan ketika memberus.

- Menghindar kecederaan kepada gusi dan tisu lembut.

Berus gigi dengan pemegang antigelincir;

- Meningkatkan kawalan dan kelancaran memberus.

- Menghindar kecederaan di bahagian dalam atau luar mulut.

- Membersih dengan lebih berkesan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X