Selasa, 2 Mei 2017 | 12:08am
KANAN, pelakon, Adam Corrie dan isteri Fazima Mohamad Fuad. - Foto Rohanis Abdul Shukri
KANAN, pelakon, Adam Corrie dan isteri Fazima Mohamad Fuad. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Adam Corrie tak peduli sindiran

KUALA LUMPUR: Pelakon, Adam Corrie, 48, mendedahkan beliau pernah diperlekehkan gara-gara memakai baju Melayu yang dianggap tidak sesuai dengan seorang mualaf sepertinya.

Adam atau nama penuhnya Adam Corrie Lee Abdullah berkata, beliau pelik dengan pandangan seperti itu sedangkan baju Melayu ialah pakaian kebangsaan yang boleh dipakai oleh sesiapa sahaja.

"Pada 2008, ketika itu saya menuju ke sebuah masjid berbaju Melayu untuk menunaikan solat Jumaat. Ada seorang rakan menegur pemakaian saya.

"Katanya, saya tidak perlu memakai baju Melayu, tak penting pun kerana saya seorang mualaf. Saya tertanya-tanya, kenapa pula begitu? Tak boleh ke orang mualaf macam saya pakai baju Melayu?" katanya kepada BH Plus.

Adam ditemui pada majlis pelantikan beliau sebagai duta Projek Raya Elle Zada 2017 bersama pelakon Yatt Hamzah di sebuah hotel terkemuka di sini, baru-baru ini.

Berikutan teguran itu, Adam tidak lagi memakai baju Melayu dan mengubah imej dengan berjubah pula.

Sangka Adam, pemakaian itu juga sudah boleh diterima umum, namun beliau masih diperlekehkan, kononnya mualaf tidak sesuai berjubah, yang dianggap terlalu mengikut budaya Arab.

ADAM Corrie, pernah diperlekehkan gara-gara memakai baju Melayu. - Foto Saifullizan Tamadi
ADAM Corrie, pernah diperlekehkan gara-gara memakai baju Melayu. - Foto Saifullizan Tamadi

"Nampaknya, berjubah pun orang mengata. Saya fikir, memandangkan pemakaian jubah ialah sunnah Nabi, terutama pada Jumaat, saya pun pakai.

"Tetapi orang kata saya ikut budaya Arab pula. Lama-lama saya sudah tak peduli. Saya pakai saja apa yang dirasakan sesuai, asalkan menutup aurat," katanya.

Mengenai pelantikannya sebagai duta Projek Raya Elle Zada 2017, pelakon filem KL Gangster itu mengakui agak keberatan sebelum menerima tawaran berkenaan.

Apatah lagi dirinya perlu mempromosikan baju Melayu butik terbabit, membuatkan beliau risau jika masih ada pihak mempertikaikan kelayakannya sebagai seorang mualaf untuk melakukannya.

"Saya siap bertanya kepada Ketua Pegawai Eksekutif Elle Zada iaitu Elliyin, adakah saya layak menjadi duta baju Melayu?

"Dia pula bersikap terbuka dan menganggap baju Melayu boleh dipakai oleh sesiapa sahaja. Alhamdulillah, saya terima dengan hati terbuka. Saya anggap ini juga rezeki buat saya dan keluarga," katanya.

Adam memeluk Islam pada 13 Julai 2007 dan berkahwin dengan wanita Melayu, Fazema Mohd Fuad, 35, pada 2008.

Sementara itu, bercerita mengenai kehidupan sebagai 'saudara baharu', Adam berkata, ia menjadi sukar apabila individu yang kurang memahami Islam menilai golongan mualaf sepertinya.

PELAKON, Adam Corrie. - Foto Rohanis Abdul Shukri
PELAKON, Adam Corrie. - Foto Rohanis Abdul Shukri

"Nabi sudah mengajar kita, Islam itu indah dan mudah. Tetapi sayangnya manusia sendiri yang membuatkan Islam dilihat sebagai agama yang susah.

"Mereka tidak benar-benar faham mengenai Islam sehingga membuatkan agama suci ini begitu renyah. Dan seperti biasa, pandangan segelintir masyarakat terhadap golongan mualaf seperti saya adalah kami serba tidak tahu," katanya.

Adam turut berkongsi pengalamannya dikritik gara-gara menyampaikan informasi mengenai ilmu agama di laman sosial.

"Mereka kata, 'kau pun baru ucap dua kalimah syahadah, dah nak ajar orang pula'. Sedangkan, saya hanya berkongsi maklumat yang biasa mengenai Islam. Mereka kata saya tunjuk pandai. Apa-apapun, saya anggap perkara ini sesuatu yang normal. Maklumlah, sebagai manusia, kita tidak sempurna," katanya.

ADAM Corrie duta Projek Raya Elle Zada 2017. - Foto Saifullizan Tamadi
ADAM Corrie duta Projek Raya Elle Zada 2017. - Foto Saifullizan Tamadi

INFO

  • Adam memeluk Islam pada 13 Julai 2007.
  • Berkahwin dengan wanita Melayu, Fazema Mohd Fuad, 35, pada 2008.
  • Dilantik sebagai duta Projek Raya Elle Zada 2017 bersama pelakon Yatt Hamzah.
  • - Pernah berlakon filem KL Gangster.
Berita Harian X