Jumaat, 5 Mei 2017 | 12:06am
PELAKON, Fasha Sandha pada majlis sambutan Hari Jadinya yang ke -33 di Hotel Park Royal. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Fasha nasihat adik jangan hanyut dunia glamor

PERTAMA kali digandingkan dalam sesi fotografi, dua beradik sama cantik, Fasha Sandha, 33, dan Elisya, 18, ada banyak cerita yang mahu dikongsi bersama peminat.

Si kakak memiliki nama besar selepas lebih sedekad bergelar anak seni, Elisya pula masih bertatih dan mencari tapak dalam dunia lakonan.

Melihat Elisya gigih membina nama, Fasha ternampak bayangan dirinya ketika mula terjun dalam dunia seni.

Mengakui adiknya berbakat, Fasha yang terkenal dengan disiplin dan komitmen dalam menggalas watak ditawarkan, menurunkan petua buat Elisya agar tidak tersasar dan hanyut dalam dunia glamor.

ELISYA Sandha. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Tabah mengharungi gelombang dunia seni, Fasha atau nama penuhnya, Nur Fasha Sandha Hassan berharap azimat dikongsi menjadi pegangan Elisya dalam memburu impian menjadi anak wayang.

"Secara jujur, pada mulanya saya tak menggalakkan Elisya berkecimpung dalam bidang seni. Bukan mudah menjadi artis.

"Hanya yang kuat emosi, mental dan fizikal saja boleh menjadi orang seni. Memang saya tak menunjukkan minat dan sokongan jika dia mahu ke arah itu. Tapi sebagai kakak, saya akur dan apa saja minatnya tidak boleh dihalang.

"Selagi dia mampu menjadi kuat seperti saya, insya-Allah saya harap nasib dan rezeki menyebelahinya," katanya kepada BH Plus.

Bintang Anak Mami Nasi Kandaq itu turut menasihat Elisya akan ranjau dunia glamor kerana menjadi anak seni tidak semudah disangka.

"Semestinya disiplin dan komitmen tinggi yang saya praktikkan dapat menjadi azimat untuk dipegang adik sampai bila-bila. Saya selalu pesan dengannya, jangan pada awal saja tunjuk sikap positif.

"Disiplin dan komitmen kena kekal sampai bila-bila. Dua perkara itu perlu ada di tangga pertama selain bakat yang terus digilap. Jangan hangat-hangat tahi ayam saja," katanya.

Fasha memberitahu, dia sering mendapat maklum balas positif mengenai adiknya daripada pengarah dan pasukan produksi.

"Misalnya, pengarah Jamal Khan memuji disiplin dan komitmen adik saya. Dia beritahu ciri-ciri positif yang ditunjukkan saling tak tumpah saya.

FASHA Sandha tidak mahu adiknya hanyut di dalam dunia lakonan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Kebetulan sebelum bekerjasama dengan Jamal, dia mengarahkan Elisya dalam projek lain. Pujian itu membuatkan saya berbangga dan harap adik akan terus berada di landasan betul," katanya.

Akui Fasha, dia tidak mahu Elisya larut dengan populariti dan kemasyhuran yang boleh datang dan pergi pada bila-bila masa.

"Saya selalu ingatkan dia, semakin kita di atas, bererti kena sentiasa pandang ke bawah dan merendah diri.

"Tak lupa berfikiran positif dan terus majukan diri. Jangan sesekali berlagak pandai. Setiap hari itu terus menjadi proses pembelajaran terbaik untuk meningkatkan prestasi diri," katanya.

Mahu terus belajar

Tambah Fasha lagi, selama 12 tahun bergelumang di arena seni, bukan tiket baginya mendabik dada.

"Hari-hari berada di lokasi penggambaran umpama saya menimba ilmu dan menjadi proses pembelajaran terbaik.

"Walaupun sudah berada di tahap sekarang dan pernah diundang menjadi penceramah pada Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL), baru-baru ini, saya tetap melihat ada saja ruang untuk perbaiki kelemahan diri.

"Banyak perkara yang saya kena teroka. Berada di lokasi penggambaran saya lihat seperti membuat latihan amali.

"Saya kena terus merendah diri sekalipun sudah dianggap sebagai senior," katanya.

ADIK Fasha Sandha, Elisya Sandha. - Foto Halimaton Saadiah SUlaiman

Kongsi Fasha lagi, Elisya sering mengadu dirinya sukar menangis ketika menghidupkan watak.

"Itu kekurangannya. Tapi mahu atau tidak, dia kena menjiwai watak itu. Ada serba sedikit saya kongsi tip untuk senang menangis," katanya.

Semakin utuh di liganya sendiri, Fasha memberitahu tiada apa lagi yang mahu dibuktikan dalam dunia lakonan.

"Saya hanya ingin terus berjuang dalam bidang yang diceburi termasuk memenuhi tanggungjawab sebagai duta produk dan memajukan perniagaan.

"Ketika ini saya mempromosikan lima jenama produk iaitu duta minyak wangi D'Haja, minuman kesihatan SOLIFIT Fasha Sandha by Dhaja, ikon Kebaya Malaysia - Rumah Kebaya Bangsar, hijab Fasha Sandha by Milyunir dan gincu bibir.

"Alhamdulillah saya masih diterima. Selain komitmen dan disiplin yang menjadi kunci utama untuk berjaya dan diterima, saya percaya ikhlas dalam apa yang dilakukan turut menjadi nadi untuk kekal hingga sekarang," katanya yang akan muncul dalam projek drama khas, Terima Kasih Ramadan tak lama lagi.

Kakak jadi sifu

Mendekati Elisya, gadis manis ini tidak melihat faktor kakaknya bintang terkenal sebagai tiket untuk mencipta populariti dengan mudah.

"Menjadi adik kepada Fasha, saya anggap sebagai bonus. Selama ini, saya berdiri atas kaki sendiri untuk menghadiri sesi uji bakat.

"Saya juga tak segan bertanya produksi untuk diuji bakat. Jika ada watak yang sesuai untuk saya, pasti ada tawaran yang kunjung tiba. Lumrah juga, jika tak sesuai dengan saya, watak itu akan beralih tangan kepada pelakon lain.

"Saya tak bergantung harap kepada kakak," katanya.

Melihat kejayaan kakaknya, Elisya juga mahu mengikuti jejak sama.

"Kakak Fasha menjadi contoh terbaik dan sifu kepada saya. Siapa yang tak mahu menjadi sepertinya. Kekuatannya menempuhi hidup dengan tabah dengan segala aspek lain menjadi teladan dan pengajaran untuk saya.

"Ini menjadi bekalan untuk saya melalui hidup dengan lebih baik," katanya.

Elisya mengaku dia tidak pernah cemburu dengan apa yang dimiliki Fasha.

"Apa jadi, dia tetap kakak saya. Saya bangga memiliki wanita kuat sepertinya dalam hidup ini. Kakaklah selama ini yang menjaga kami sekeluarga. Kakak seorang yang baik, penyayang, ambil berat dan tegas. Kalau saya buat salah, dia akan tegur.

"Saya bersyukur dikurniakan kakak dan wanita sepertinya," katanya.

Datang awal ke set

Ditanya apa yang sering dikongsi Fasha yang boleh dijadikan azimat, Elisya memberitahu banyak tip positif sering diterapkan.

"Dari kecil, saya selalu ikut kakak ke lokasi penggambaran. Daripada situlah, minat saya nak ikut jejaknya bercambah. Kakak selalu pesan kalau nak jadi pelakon, kena sampai set penggambaran paling tidak setengah jam lebih awal. Tak kira apa jadi, kena datang tepat masa atau lebih awal.

"Selain disiplin dan komitmen tinggi, kakak selalu pesan buat baik dengan semua orang. Jangan segan untuk bersalam dengan orang lain. Itu antara tip yang saya pegang hingga kini," katanya.

Elisya memulakan langkah seninya melalui drama Bila Chacha Masuk Asrama di TV3, beberapa tahun lalu. Elisya baru selesai penggambaran drama Mat Rukun untuk TV9 dan sedang menjalani penggambaran drama Taman Diva untuk siaran RTM.

Berita Harian X