Sabtu, 6 Mei 2017 | 11:59pm

DBN ke arah lahir modal insan TN50

BUDIMAN (dua dari kanan) mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Mengenai Pembaharuan DBN di Wisma ITBM, di Kuala Lumpur. - Foto Saifullizan Tamadi
BUDIMAN (dua dari kanan) mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Mengenai Pembaharuan DBN di Wisma ITBM, di Kuala Lumpur. - Foto Saifullizan Tamadi

PEMBAHARUAN Dasar Buku Negara (DBN) selepas diperkenal hampir tiga dekad lalu, perlu mengambil kira interaksi dengan persekitaran dunia buku hari ini yang sudah semakin berubah.

Pengerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Budiman Mohd Zohdi, berkata DBN yang digunakan sejak 1988 tidak lagi mencerminkan perubahan persekitaran buku mutakhir, termasuk penambahan kepada bahan bacaan digital yang semakin meluas.

Beliau berkata, DBN kini perlu dihalakan kepada pembentukan modal insan bagi kemajuan negara sejajar Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang mengkehendaki sumber manusia yang memiliki kekuatan IQ, emosi dan spiritual.

Katanya, ketika DBN digunakan pada penghujung 1980-an, bahan bacaan yang ada hanya dalam bentuk fizikal, tetapi perkembangan bahan dalam bentuk digital memerlukan DBN untuk turut berinteraksi dengan mengambil kira persekitaran baharu itu.

"Kita mahu pembaharuan DBN memperincikan perkembangan ini dan lompang yang ada dalam dasar itu perlu dijajarkan bersesuaian aspirasi negara kini.

Perkenal indeks perbukuan

"Dari aspek ekonomi buku pula, sudah sampai masanya indeks perbukuan diperkenalkan bukan sahaja bagi mengenal pasti kebolehupayaan penduduk membeli buku, bahkan menilai apakah bahan disediakan itu berkualiti.

"Resolusi yang dicapai pada persidangan ini akan diserahkan kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)," katanya selepas Majlis Perasmian Persidangan Meja Bulat Mengenai Pembaharuan DBN di Wisma ITBM, di sini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd Khair Ngadiron; Pengarah Urus Setia Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Abd Wahab Ibrahim; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Amran Joned; Pengurus Kanan Harta Intelek, Inisiatif Digital, Penyelidikan dan Konsultansi (HIPP) Perbadanan Kota Buku (PKB), Hasri Hasan dan Timbalan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Maizan Ismail.

Persidangan sehari membabitkan pemain industri buku itu berlangsung berikutan usul keperluan DBN diberi perhatian khusus dalam menuju wawasan TN50 oleh Budiman yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar di Dewan Rakyat Parlimen Ke-13.

Mantapkan struktur DBN

Diselaraskan secara bersama oleh MBKM, ITBM, DBP, PKB DAN PNM, perbincangan itu diharap dapat memantapkan semula struktur DBN selaras tahap literasi masyarakat Malaysia.

Budiman berkata, idea mengenai dunia buku adalah perkara yang menjadi kepentingan buat masyarakat dan disebabkan itu dasar ini perlu segera diperbaharui.

"Kita kumpul input hingga DBN diperbaharui. Apa yang penting persidangan ini mencetuskan sesuatu dan kita tidak boleh berhenti di sini saja," katanya.

Berita Harian X