Sabtu, 13 Mei 2017 | 12:05am
BUNGA Raya antara yang mempunyai khasiat dalam kajian Dr. Mohd Firdaus Ismail. - Foto Zunnur Al Shafiq

Bunga melur boleh tingkatkan imun tubuh

KUALA LUMPUR: Bunga melur lazimnya dijadikan satu bentuk kalungan dan tanaman hiasan yang menarik di laman rumah, tetapi tahukah anda yang tumbuhan berbau wangi ini juga mempunyai banyak khasiat.

Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Firdaus Ismail, berkata bunga melur boleh dijadikan teh yang direndam atau direbus bersama teh hijau dan dicampurkan madu.

"Bunga melur juga mempunyai khasiat melegakan gejala seperti demam dan meningkatkan tahap imun tubuh. Ia turut melegakan tekanan dan kebimbangan serta digunakan untuk merawat luka pada kulit," katanya.

Beliau berkata, beberapa bunga seperti kekwa atau Chrysanthemum dan Chamomile juga sering dijadikan teh untuk merawat masalah kesihatan.

PENSYARAH Kanan Jabatan Sains Tanaman Fakulti Pertanian UPM, Dr. Mohd Firdaus Ismail. - Foto Zunnur Al Shafiq

Katanya, sebahagian akar pokok bunga juga mengandungi mineral, vitamin dan hormon yang berfaedah untuk kesihatan.

"Hormon, mineral, vitamin dalam bunga dan akarnya membantu penyerapan nutrien dalam tubuh serta melancarkan aliran darah. Bunganya yang berwarna jingga kaya dengan keratinoid baik untuk mata," katanya.

Tingkat daya tahan tubuh

Bagaimanapun, Dr Mohd Firdaus menasihatkan supaya berhati-hati mengambil bunga sebagai makanan secara langsung kerana proses penanaman berkemungkinan membabitkan racun serangga.

Bunga yang ditanam sendiri dan bebas daripada racun serangga lebih selamat untuk dimakan terus.

Beliau berkata, bunga kantan yang biasanya digunakan dalam masakan seperti asam pedas dan laksa mampu melancarkan perjalanan darah.

Di Taiwan, katanya, makan kelopak bunga mawar yang dicelup dengan madu sudah menjadi amalan kerana kandungan fenolat yang bersifat anti radang selain kaya dengan vitamin bagi mengurangkan risiko barah, kencing manis dan sakit jantung.

DR. Mohd Firdaus Ismail menunjukan antara bunga yg boleh dimakan. - Foto Zunnur Al Shafiq

INFO

Antara khasiat bunga yang boleh dimakan:

Bunga raya

* mengandungi anthosianin dan anti oksidan.

* mengawal tekanan darah dan tahap kolesterol.

* air rebusan boleh melegakan asma, batuk, bengkak kelenjar paratoid, selsema dan bronkitis.

Chamomile

* Kesan menenangkan.

* Anti radang, anti karsinogenik dan merawat luka.

* Merawat kejang perut, migrain, insomnia, masalah usus, alahan dan ruam.

* Radang kulit.

* Mengurangkan bengkak.

* Meningkatkan sistem imun.

* Membantu mengawal diabetes.

Kantan

* Membantu merawat luka.

* Membantu melegakan diabetes dan tekanan darah tinggi.

* Anti oksidan dan anti penuaan.

* Membantu melegakan anaemia, cacar, sakit telinga, dehidrasi dan demam.

Bunga kekwa (Chrysanthemum)

* Mengandungi anti oksidan dan mineral.

* Kaya dengan beta kerotin.

* Baik untuk kulit dan kesihatan mata.

* Anti virus dan anti bakteria.

* Membantu melegakan rasa panas.

* Menyahtoksid hati dan mengurangkan tahap kolesterol.

Berita Harian X