Sabtu, 13 Mei 2017 | 12:06am
AWANG Fadilah dan isterinya, Kalmah menunjukkan sebahagian lukisan yang sudah disiapkan. - Foto Mohd Nazllie Zainul
AWANG Fadilah sentiasa ditemani isterinya Kalmah ketika berkarya. - Foto Mohd Nazllie Zainul
AWANG Fadilah (tengah) bersama ahli keluarga yang banyak memberikan sokongan sepanjang berkecimpung sebagai pelukis. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Insan kurang upaya cekal berkarya

KOTA KINABALU: Tidak mahu bergantung ihsan orang sekeliling, pelukis dan ilustrator buku kanak-kanak, Awang Fadilah Ali Hussein terus berkarya untuk menampung sebahagian kos perubatan susulan masalah buah pinggang dialaminya.

Walau berkerusi roda, ia bukan penghalang buat Awang Fadilah menghasilkan pelbagai karya lukisan kerana bagi seniman berusia 45 tahun itu, selagi mampu dan diberikan kekuatan, beliau bertekad untuk terus melukis demi menampung keperluan harian diri dan isterinya, Kalmah Abdullah, 45.

Beliau yang semakin kurang memasarkan hasil lukisan di beberapa lokasi sekitar bandar raya Kota Kinabalu seperti sebelum ini disebabkan faktor kesihatan, beralih kepada cara mengambil tempahan secara atas talian atau berjumpa terus dengan pelanggan.

"Bagaimanapun, saya tetap menjual lukisan dan barangan cenderamata di pasar mingguan Jalan Gaya di Kota Kinabalu pada setiap Ahad.

"Dulu saya boleh menghasilkan 10 lukisan bersaiz A4 sehari, malah lebih sekiranya mempunyai banyak idea untuk berkarya.

"Kini saya hanya mampu menghasilkan dua lukisan sehari kerana halangan kesihatan yang tidak menentu," katanya kepada Sastera&Budaya di sini.

Awang Fadilah sering menghasilkan lukisan bercirikan budaya masyarakat tempatan kerana dianggap unik sehingga menarik perhatian peminat seni lukis luar negara.

AWANG Fadilah menghasilkan pelbagai karya lukisan menggunakan teknik Naive Art. - Foto Mohd Nazllie Zainul

PELUKIS dan ilustrator buku kanak-kanak, Awang Fadilah Ali Hussein. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Lukisan budaya

"Orang luar biasanya tertarik dengan lukisan mengenai budaya masyarakat kita dan ia memberi peluang kepada pelukis tempatan untuk mengetengahkan idea melakar karya lukisan untuk dijual atau menyertai pameran serta pertandingan peringkat antarabangsa," katanya.

Insan kurang upaya berasal dari Menumbok, Sabah ini menjadikan seni lukis sebagai kerjaya sejak hampir 20 tahun lalu dengan lebih 1,000 lukisan dihasilkan sehingga kini.

Beliau pernah meraih pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi tempat kedua ACCU Noma Concours di Tokyo, Jepun pada tahun 2006 dan Pemenang Purple Island, Nami Concours, Korea, dua tahun lalu.

Antara buku hasil karya beliau yang diterbitkan ialah Puteri Gambus (2013), Kucing Borneo (2011) dan Land Below the Wind (2006). 

ANTARA hasil karya Awang Fadilah . - Foto Mohd Nazllie Zainul

ANTARA sentuhan unik Awang Fadilah . - Foto Mohd Nazllie Zainul

Terap motif Borneo

Selain lukisan menggunakan teknik catan naif, beliau menghasilkan penanda buka dengan motif Borneo, khususnya berkaitan budaya masyarakat Sabah dan khazanah alam semula jadi Negeri di Bawah Bayu yang banyak dijual di kedai cenderamata atau dijualnya di Tamu Jalan Gaya.

Bercerita mengenai keadaan kesihatannya, katanya, ketika awal dikesan mengalami penyakit buah pinggang sekitar 1990, beliau masih boleh berjalan seperti biasa dan aktif menjual lukisan serta mengikuti pelbagai pameran.

"Selepas dua kali kecederaan patah tulang pinggul kiri dan kanan pada akhir tahun 2010 dan awal tahun 2011, besi sokongan terpaksa diletakkan pada tulang, namun beberapa bulan kemudian saya boleh berjalan menggunakan tongkat.

"Bagaimanapun, tidak lama selepas itu saya terjatuh ke dalam lubang berhampiran sebuah restoran di Tanjung Aru mengakibatkan patah tulang tangan dan paha, sekali gus sehingga kini terpaksa menggunakan kerusi roda," katanya.

Berkongsi aktiviti terbaharunya, Awang Fadilah berkata, beliau akan menyertai pameran 300 di Balai Seni Lukis Sabah yang dijangka berlangsung pada Ogos nanti, iaitu pameran membabitkan 300 lukisan dihasilkan oleh 30 pelukis seluruh negeri dan setiap satu lukisan dijual pada harga RM300.

AWANG Fadilah sering menghasilkan lukisan bertemakan budaya masyarakat tempatan. - Foto Mohd Nazllie Zainul

AWANG Fadilah (tengah) dan isterinya, Kalmah menemani anak saudara mereka membaca buku cerita yang dihasilkan menggunakan lukisan Naive Art. - Foto Mohd Nazllie Zainul

"Bagi menyertai pameran itu, setiap pelukis diwajibkan menghasilkan 10 lukisan dan apabila siap, ia dipamerkan di Balai Seni Lukis negeri untuk pameran masyarakat.

"Saya belum melakukan persiapan namun yakin semua lukisan baharu itu nanti boleh disiapkan mengikut waktu ditetapkan," katanya.

Awang Fadilah turut mencadangkan kerajaan supaya memberi pertimbangan untuk menyediakan elaun bulanan kepada pelukis di Sabah menerusi pihak berkenaan yang dapat meringankan beban pelukis khususnya mereka yang berdepan masalah kesihatan.

"Saya juga berharap kerajaan menyediakan lokasi khas bagi pelukis di Sabah untuk berkarya dan memasarkan hasil kerja kreatif masing-masing. Ini membolehkan pelukis tidak perlu lagi bersusah payah mencari tempat khas menjual lukisan mereka.

"Selain itu, lokasi itu juga boleh dijadikan tarikan pelancong ke bandar raya Kota Kinabalu," katanya.

INFO
Awang Fadilah Ali Hussein:

  • Menjadikan seni lukis sebagai kerjaya sejak hampir 20 tahun lalu.
  • Menghasilkan lebih 1,000 lukisan sehingga kini.
  • Pernah meraih pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi tempat kedua ACCU Noma Concours di Tokyo, Jepun pada 2006 dan Pemenang Purple Island, Nami Concours, Korea, dua tahun lalu.
  • Antara buku hasil karya beliau, Puteri Gambus (2013), Kucing Borneo (2011) dan Land Below the Wind (2006).

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X