Isnin, 15 Mei 2017 | 12:07am
REDZA Rosli bersama Ayda Jebat. - Foto Zunnur Al Shafiq
REDZA Rosli bersama Ayda Jebat. - Foto Zunnur Al Shafiq

Redza sedia terima Ayda sebagai kekasih

KUALA LUMPUR: Pelakon, Redza Rosli, menegaskan tiada salahnya andai beliau benar-benar bercinta dengan artis muda sensasi, Ayda Jebat.

"Kalau bercinta pun, apa salahnya," seloroh pemuda berusia 25 tahun ini ketika ditemui pada sebuah acara, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status sebenar antara dirinya dengan penyanyi yang turut dikenali sebagai pelakon itu apabila masing-masing dilihat semakin akrab selepas berlakon bersama dalam drama Ku Kirim Cinta, arahan Raja Ahmad Alauddin.

REDZA dilantik menjadi duta Tonton bersama Ayda Jebat. - Foto Zunnur Al Shafiq
REDZA dilantik menjadi duta Tonton bersama Ayda Jebat. - Foto Zunnur Al Shafiq

Apabila kedua-duanya dilihat sering memuat naik gambar 'romantis' bersama bagi mempromosikan naskhah terbabit, ada yang mengandaikan mereka terjebak cinta lokasi, dengan sebahagiannya berasakan ia sekadar gimik.

Kata Redza, beliau cukup menyenangi wanita itu sebagai rakan kerja profesional, malah menganggap Ayda sebagai teman akrabnya ketika ini.

"Saya senang bekerja dengannya. Begitupun, saya tidaklah mengatakan rakan gandingan sebelum ini tak bagus. Lain orang, lain cara mereka.

"Ayda banyak membantu memudahkan kerja lakonan saya. Malah, dia juga sebenarnya banyak mengubah pergaulan saya. Memang dialah pelakon wanita yang rapat dengan saya saat ini," katanya.

Mengenai tanggapan dirinya cuba menumpang populariti Ayda, kata Redza, orang ramai cepat membuat andaian bukan-bukan terhadap beliau dan penyanyi Pencuri Hati itu.

REDZA Rosli bersama Ayda Jebat dilihat semakin akrab selepas berlakon bersama dalam drama Ku Kirim Cinta, arahan Raja Ahmad Alauddin. - Foto Zunnur Al Shafiq
REDZA Rosli bersama Ayda Jebat dilihat semakin akrab selepas berlakon bersama dalam drama Ku Kirim Cinta, arahan Raja Ahmad Alauddin. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Begitupun saya anggap perkara sedemikian adalah biasa saja. Saya pun tidak kisah apa orang nak cakap. Orang yang lebih tahu dalam hal ini hanyalah saya sendiri kerana sayalah yang melalui semua itu dan berada dalam situasi terbabit. Jadi, orang boleh cakap dan mencetuskan spekulasi kerana mereka tidak kenal saya. Ringkasnya, apa yang orang cakap itu tidak memberikan kudis pun pada saya," katanya.

Redza mula mengenali Ayda kira-kira lima tahun lalu. Bagaimanapun, hanya menerusi drama terbabit mereka julung kali bergandingan sebagai teraju utama. Karya berkenaan dijadualkan mengisi slot Akasia TV3 mulai 22 Mei ini.

"Saya sebenarnya jarang memuat naik gambar bersama perempuan di laman sosial. Saya lebih banyak berkongsi gambar sendiri dan bersama kawan.

"Jadi, apabila tiba-tiba saya kerap berkongsi gambar dengan Ayda, sudah ada yang mengandaikan kami bercinta. Cuma, kalau ditanya soal sama ada saya bercinta dengannya atau sebaliknya, biarlah saya simpan saja perasaan itu. Saya hanya mengikut aliran dan biarlah masa yang menentukannya.

"Lima tahun lagi saya akan genap 30 tahun dan saya pun tak tahu dengan siapa jodoh diri ini. Jodoh itu biarlah menjadi rahsia alam," katanya.

Ditanya sama ada Ayda memenuhi kriteria wanita idamannya, Redza tidak menolak teman gandingannya itu menepati apa yang dicari.

"Dia memang seorang peramah. Saya pula jenis pemalu dan susah hendak serasi dengan orang lain. Bukan saya memilih kawan, tetapi saya lebih suka memerhati daripada terus rapat dengan orang lain. Dia sebaliknya mengubah pendekatan saya sebelum ini.

"Dulu, habis belajar saja, saya banyak terperuk di rumah. Pendek kata, dia banyak mengajar saya mengenai erti hidup dan memberikan nasihat, untuk bercampur dengan kru serta pelakon lain," katanya.

Redza menambah, masih terlalu awal untuk beliau meramal kesudahan hubungan baik antara mereka.

"Selalunya sebelum bermula sesuatu percintaan, kita kenal dan menjalinkan persahabatan dulu. Ia menjadi ruang untuk saling mengenali. Saya dengan Ayda juga masih dalam proses terbabit. Nak terus bercinta tak mungkin.

"Saya pun selalu dengar, wujudnya cinta selepas kahwin. Tetapi saya tidak percayakan cara sebegitu. Cinta sebaliknya akan wujud secara automatik apabila sudah kenal dan berkawan. Selepas itu, nak tahu sama ada ia akan pergi jauh dan lebih atau kekal kawan, ia berbalik kepada pilihan, keserasian dan jodoh," katanya.

Info

  • Dilantik menjadi duta Tonton bersama Ayda Jebat menggantikan Saharul Ridzwan dan Mia Ahmad.
  • Redza dilahirkan di Subang Jaya, Selangor.
  • Tarikh lahirnya dan Ayda berselang sehari. Redza dilahirkan pada 18 Mac, manakala Ayda pada 17 Mac 1992.
  • Drama Ku Kirim Cinta sebanyak 28 episod lakonannya akan menghiasi slot Akasia TV3 bermula 22 Mei.
Berita Harian X