Selasa, 16 Mei 2017 | 12:08am
KEINDAHAN fabrik kimono diolah menjadi koleksi moden menarik.
KEINDAHAN fabrik kimono diolah menjadi koleksi moden menarik.

Kreativiti teknik celup

THOI bersama rekaan sempena pertunjukan Minggu Fesyen Starhill Gallery musim bunga/panas 2017.
THOI bersama rekaan sempena pertunjukan Minggu Fesyen Starhill Gallery musim bunga/panas 2017.

TEKNIK celup pada fabrik secara umum adalah bagi mendapatkan warna menerusi celup atau tuang pada fabrik itu.

Sehubungan itu, dalam usaha mengetengahkan kembali keunikan teknik celup yang banyak digunakan dalam penghasilan kimono, pereka fesyen tempatan, Celest Thoi menyahut cabaran dengan menampilkan 12 rekaan unik menggunakan fabrik tradisional Tokyo, Jepun.

Menerusi koleksi rekaan, New Frangled diketengahkan pada pertunjukan Minggu Fesyen Starhill Gallery musim bunga/panas 2017 di pusat belibelah Starhill Gallery, baru-baru ini, koleksi kerjasama Celest Thoi dan Sarakichi, ternyata memikat cita rasa penggemar fesyen tempatan.

Selain penggunaan material tradisional, Thoi bijak menggabungkan elemen rekaan sedia pakai ringkas dan ceria sekali gus menyerlahkan lagi identiti wanita moden.

Serlah rona lembut

Thoi berkata, koleksi New Frangled disuntik daripada inspirasi keseronokan usia kanakkanaknya bersama karakter feminin ada dalam diri setiap wanita.

Katanya, selain potongan dan rekaan, pemilihan rona lembut seperti merah jambu, kuning lemon dan ungu menyerlahkan lagi karakter feminin bagi setiap helaian diketengahkan.

"Saya ingin mengetengahkan keindahan fabrik Kimono yang menggunakan teknik celup secara tradisional yang kini kian dilupakan masyarakat moden.

"Pada masa sama, saya juga mahu memberi nilai tambah pada rekaan menggunakan keindahan fabrik tradisional yang kerap digunakan untuk penghasilan busana tradisional," katanya ketika ditemui di Starhill Gallery di ibu negara, baru-baru ini.

Bermain dengan kreativiti

Dikenali dek sentuhan kreatifnya dalam penghasilan gaun pengantin, katanya gabungan Thoi dan Sarakichi turut membolehkannya mempersembahkan 12 rekaan sedia pakai yang sesuai dipakai untuk pelbagai acara majlis.

"Koleksi ini tidak lari daripada identiti rekaan saya yang sering mengetengahkan elemen feminin dan anggun.

"Sentuhan rekaan ini membolehkan saya bermain dengan kreativiti dari sudut potongan gaun, mainan warna dan padanan perincian," katanya.

Beliau berkata, menariknya koleksi ini turut membawa kembali keseronokan bergaya menerusi rekaan pakaian lebih fleksibel dan boleh disuai padan mengikut kehendak wanita sendiri.

Katanya, setiap rekaan diketengahkan turut membolehkan wanita tampil lebih kreatif sambil menerapkan elemen feminin menerusi potongan dan rekaan.

"Koleksi kali ini mempersembahkan rekaan pada gaun labuh, gaun pendek berseluar, blaus dan skirt tutu dan seluar berpotongan kaki lebar yang boleh dipelbagaikan pemakaiannya. Setiap rekaan juga boleh disuaipadankan mengikut kreativiti tersendiri untuk penampilan lebih kasual ataupun santai," katanya.

Bagi menambahkan keseronokan pemakaian, katanya, perincian bermotifkan bunga turut menyerikan lagi koleksi diketengahkan itu.

"Suntikan elemen menceriakan dapat dilihat pada perincian jahitan ditambahkan pada bahagian leher, dada dan pinggang koleksi ini.

"Selain menggunakan batu permata dan manik, jahitan poket pada skirt juga menambahkan keseronokan pemakaian koleksi ini," katanya.

INFO

Panduan pemakaian untuk wanita rendah

  • Elakkan pemakaian baju terlalu besar.
  • Pilih skirt tidak terlalu labuh.
  • Pakai kardigan rona gelap.
  • Corak lurus adalah sesuai untuk badan.
Berita Harian X