X
Khamis, 18 Mei 2017 | 12:20am

Ifa menang walaupun kelab peminat salah strategi

KUALA LUMPUR: Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Ifa Raziah mengakui gementar dan kaku selepas diumumkan pemenang, Ahad lalu, kerana tidak menjangka boleh menang untuk tahun kedua berturut-turut.

"Apatah lagi sebelum itu, memang saya tiada 'mood' selepas menemui kelab peminat yang sedih dan menangis kerana mereka menyatakan, masing-masing sudah tersalah strategi ketika mengundi saya.

"Namun bagi menguatkan semangat, saya menasihatkan mereka agar berserah kepada Allah kerana segala usaha sudah kita lakukan. Jika ada rezeki, ia bonus buat kita," katanya ketika ditemui BH di belakang pentas, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Ifa, 41, yang bergelar penyanyi, pelakon dan pengacara itu berterima kasih dengan gabungan kelab peminatnya, Ifaraziahdivas di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei yang menjadi faktor utama dia berjaya mengekalkan gelaran itu.

IFA Raziah pada malam kemuncak tiga dekad Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Aziah Azmee
IFA Raziah pada malam kemuncak tiga dekad Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Aziah Azmee

IFA Raziah (kanan) pada kemuncak tiga dekad Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
IFA Raziah (kanan) pada kemuncak tiga dekad Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Meskipun ada yang cuba mempertikaikan kejayaannya, kekuatan gabungan kelab peminat, yang menjadi tulang belakang kepada kemenangan pengacara program Jom Singgah siaran TV3 itu, membolehkannya mempertahankan trofi dimenanginya pada edisi lalu tanpa sangsi.

Dalam kategori yang mula diperkenalkan pada penganjuran ABPBH ke-29 itu, Ifa menidakkan saingan empat pencabar hebat lain iaitu Alif Satar, Zizan Razak, Didie Alias dan Zulin Aziz.

Buat julung kali, ABPBH memperkenalkan undian secara dalam talian sepanjang tiga dekad penganjurannya. Lebih 1.5 juta undi diterima sepanjang tempoh pengundian dibuka pada 5 hingga 30 April lalu.

"Begitulah, apabila sudah ditakdirkan, kita tidak boleh menolaknya. Apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang, badan saya menggigil kerana terlalu terkejut dan tidak menyangka saya masih memegang gelaran Artis Versatil Popular buat tahun kedua berturut-turut," katanya.

IFA Raziah pada kemuncak tiga dekad Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
IFA Raziah pada kemuncak tiga dekad Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

IFA Raziah (tengah) bergambar bersama peminat pada malam kemuncak tiga dekad Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Mahzir Mat Isa
IFA Raziah (tengah) bergambar bersama peminat pada malam kemuncak tiga dekad Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Mahzir Mat Isa

Bermula saat itu jugalah, Ifa yang popular dengan lagu Terus Terang, bergandingan dengan Lawa Nie Geng, berazam untuk mencatat kemenangan hatrik atau yang ketiga berturut-turut, tahun depan, tanda dedikasi beliau kepada kelab peminatnya.

"Insya-Allah, saya akan melipat gandakan usaha dalam apa saja bidang kerjaya seni, tahun ini, bagi membolehkan saya dicalonkan lagi tahun depan. Kini, saya pula perlu berkorban untuk kelab peminat dengan melakukan yang terbaik untuk mereka.

"Jika diizinkan Tuhan, saya mahu mengekalkan trofi ini untuk tahun depan, bagi melengkapkan hatrik tiga tahun berturut-turut. Namun, saya dan kelab peminat belum tahu apa strateginya kerana kita juga tidak tahu mekanisme yang akan diperkenalkan penganjur ABPBH, tahun depan.

"Begitupun, paling utama ucapan penghargaan yang tidak terhingga ingin saya berikan kepada semua yang menyokong, khususnya kelab peminat Ifaraziahdivas dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei. Mereka inilah yang bersungguh-sungguh merancang pelbagai strategi dan mengundi saya.

"Begitu juga Mood Republik yang banyak membantu Ifaraziahdivas untuk mengundi. Saya juga tidak lupakan program Jom Singgah, yang terus mengekalkan saya sebagai pengacaranya, yang meninggalkan impak besar, selain syarikat rakaman Sony Music dan suami tercinta," katanya yang berasakan Alif sebagai pencabar paling kuatnya kali ini.

INFO

  • Ifa Raziah atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha mula menceburi bidang hiburan sejak 1996 sebagai penyanyi dangdut.
  • Dilantik sebagai presiden Persatuan Bintang Dangdut Malaysia, tahun lalu.
  • Selain menyanyi, Ifa turut mengacara beberapa program TV seperti Wanita Hari Ini di TV3 (2008-2010); Malar Segar - RTM (2012) dan Terima Kasih Ibu - Astro (2014).
  • Antara drama lakonannya pula termasuk Semarai (1998), Buli (2002), Seputeh Qaseh Ramadan (2004), Diva Popular (2005), Spa Q (2007), Sindarela (2007), Bohsia (2009), Simpang 3 (2012), Seindah Takdir Cinta (2016), Mak Punya Pasal (2016) dan banyak lagi.
  • Muncul dengan single Terus Terang pada tahun lalu.
Berita Harian X