Ahad, 21 Mei 2017 | 12:04am

Mencari kepuasan, keseronokan berbasikal

(Dari kiri) Zulhilmi Sirah, Mohd Nukman dan Nur Asyiqin meluangkan masa untuk bersantai dan berkumpul untuk melakukan aktiviti berbasikal.
(Dari kiri) Zulhilmi Sirah, Mohd Nukman dan Nur Asyiqin meluangkan masa untuk bersantai dan berkumpul untuk melakukan aktiviti berbasikal.

MENJADI orang muda yang berjiwa bebas dan mahu mencuba pelbagai perkara menarik menjadikan mereka ini cenderung meluangkan masa untuk bersantai dan berkumpul sesama mereka untuk melakukan aktiviti.

Dan sudah pastinya anak muda kini mempunyai tempat atau "port" yang menarik dijadikan sebagai ruangan untuk bersama rakan-rakan bagi berkongsi kisah kehidupan seharian mahupun berbual mengenai kejayaan masing-masing.

Begitu juga kepada empat rakan muda ini yang mula aktif dalam aktiviti berbasikal apabila kesemua mereka mempunyai kelapangan dan dihabiskan dengan berkayuh di sekitar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan.

Kebiasaannya Khairul Muna Mohd Jihadi, Nur Asyiqin Tarli, Mohd Nukman Mohd Tahir dan Zulhilmi Sirah meluangkan masa bersama sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi melakukan aktiviti berbasikal ini.

Perlu kemahiran, disiplin

Khairul Muna berkata, beliau mula mengenali rakan-rakan lain selepas mereka menyertai satu kelab berbasikal dan berkongsi minat yang sama.

"Saya memang meminati bidang sukan yang lasak dan kebetulan di USIM terdapat kemudahan basikal dan trek yang santai dan mencabar boleh dicuba bagi sesiapa yang berminat.

"Mungkin segelintir masyarakat berpendapat aktiviti berbasikal ini hanya aktiviti biasa sahaja tetapi jika dipelajari dengan lebih mendalam terdapat teknik yang betul semasa berbasikal," katanya.

Menggunakan satu laluan khas atau laluan hutan antara salah satu aktiviti yang sering dilakukan oleh mereka.

"Dekat sini kalau rasa malas kami akan mengayuh basikal secara santai di sekitar Nilai sahaja dan apabila terasa ingin mencabar diri, kami bergerak melalui kawasan hutan yang terdapat di kawasan berhampiran.

"Apabila memasuki kawasan hutan cabaran begitu mencabar kerana laluan yang bakal dilalui tidak rata, berbukit dan berlecak dengan ini kami memerlukan kemahiran dan disiplin ketika melakukannya," katanya.

Rasa tenang, seronok

AKTIVITI berbasikal di hutan berhampiran USIM.
AKTIVITI berbasikal di hutan berhampiran USIM.

Berlainan dengan Nur Asyiqin yang mula meminati sukan berbasikal ini dengan tujuan untuk menguruskan badan di samping sebagai aktiviti riadah.

"Aktiviti berbasikal memang seronok. Kita boleh rasa tenang tengok alam semula jadi, boleh bertadabur dengan ciptaan Tuhan dan menghilang tekanan seharian.

"Dengan adanya rakan-rakan yang mempunyai minat sama turut mendorong saya melakukan aktiviti ini sepanjang minggu dan merapatkan ukhuwah dalam persahabatan.

"Kami pernah juga menyertai perlumbaan sekadar untuk berseronok dan sebelum tiba hari berkenaan kami akan melakukan latihan bersama dan memperbaiki kemahiran masing-masing.

Sekadar mencari kepuasan

ANTARA aktiviti yang disertai.
ANTARA aktiviti yang disertai.

Nur Asyikin berkata, berbasikal juga bukan untuk memenangi pertandingan, tetapi lebih kepada mencari kepuasan sendiri selain mengumpul pengalaman dalam sukan berkenaan.

"Sukar untuk menggambarkan perasaan apabila berjaya menghabiskan kayuhan di sesuatu trek. Walaupun penat, rasa sangat puas hati memang tidak boleh digambarkan," katanya.

Mohd Nukman pula berkata mereka mempelajari beberapa kemahiran berbasikal seperti  bunny hoop, mendaki bukit, turun bukit.

Imbangan badan serta teknik pernafasan yang betul.

"Banyak teknik berbasikal yang boleh dipelajari antaranya ialah teknik mendaki bukit yang betul supaya menggunakan tenaga dengan berkesan dan dapat menjimatkan tenaga, teknik menuruni bukit betul supaya dapat bergerak dengan lebih pantas dan dalam keadaan yang selamat, teknik brek kecemasan adalah paling penting supaya mengelakkan dari berlaku kemalangan.

"Perasaan ketika berbasikal kadang-kadang sukar nak diungkap dan berbeza dengan setiap individu. Bagi yang berbasikal untuk riadah perasaan ketika berbasikal adalah berbeza dengan yang betul-betul meminati sukan berbasikal.

Tidak boleh tidur malam

ANTARA aktiviti yang disertai.
ANTARA aktiviti yang disertai.

Kata anak muda ini, perasaan ketika berbasikal sangat menyeronokkan dan menenangkan fikiran sehingga kadang-kadang tidak boleh tidur malam kalau tidak berkayuh pada hari tersebut.

Katanya, beliau memiliki sebuah basikal yang sering digunakan untuk menyertai aktiviti jamboree yang diadakan.

"Tetapi sedang dalam proses untuk membeli basikal baru kerana basikal yang sedia ada sudah tidak sesuai dengan saiz saya dan supaya lebih ringan dan tahan lasak untuk mencapai hasrat saya mewakili universiti dalam acara berbasikal," katanya. 

INFO

* Khairul Muna binti Mohd Jihadi

Umur: 21 tahun

Asal: Kedah menetap di gombak

Pengajian: Fakulti Pengajian Quran Dan Sunnah dengan kepujian, USIM

* Nur Asyiqin bt Tarli

Umur: 21

Asal: Sungai Besar,Selangor

Pengajian: Sarjana Muda Pengajian Sunnah dengan Pengurusan Maklumat USIM

* Mohd Nukman Bin Mohd Tahir

Umur: 20 tahun

Asal: Langkawi, menetap di Gerik, Perak

Pengajian: Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM

Berita Harian X