Selasa, 23 Mei 2017 | 12:03am

King Arthur versi baharu temui penonton

ANTARA babak dalam King Arthur: Legend of the Sword.
ANTARA babak dalam King Arthur: Legend of the Sword.

NASKHAH King Arthur sememangnya tidak lagi asing kepada penonton kerana ia sudah kerap kali diangkat ke pelbagai medium termasuk filem, teater dan siri televisyen.

Bagi versi layar lebar, kali akhir cerita berkenaan diputarkan di pawagam adalah menerusi filem Arthur and Merlin pada 2015.

Namun, apabila Guy Ritchie, yang sebelum ini pernah mengarahkan filem Sherlock Holmes pada 2009, diberi tanggungjawab untuk memberikan nafas baharu kepada filem epik ini menerusi King Arthur: Legend of the Sword, projek filem berkenaan tentu saja mendapat perhatian peminat di seluruh dunia.

JUDE Law sebagai King Vertigern.
JUDE Law sebagai King Vertigern.

Di tangan Ritchie, beliau cuba untuk memperlihatkan sudut penceritaan lebih moden, yang menjadikan naskhah terbabit tampak segar.

Namun, ada kalanya penonton mengharapkan gaya tradisional dalam persembahan filem berkenaan, agar 'mood' lebih mendalam dapat diserlahkan menerusinya.

Ia juga bagi membuatkan ceritanya lebih mudah untuk diikuti dan difahami. Maklum saja, Ritchie cukup dikenali dengan gaya pengarahan tersendiri, yang lebih menyerlahkan babak aksi tegar seperti yang dapat disaksikan menerusi beberapa judul arahannya seperti Sherlock Holmes, Lock, Stock and Two Smoking Barrels dan The Man from U.N.C.L.E.

Tidak hanya sarat dengan babak pertarungan dan drama, filem epik ini turut diselitkan dengan sedikit elemen komedi, yang sedikit sebanyak menambah rencahnya. Selain itu, unsur mistik yang selalu melingkari filem bergenre epik dan fantasi juga tidak ditonjolkan secara berlebihan, tetapi sekadar cukup rasa.

Melihat kepada pasukan produksi dan set penggambaran yang gah, malangnya ada beberapa babak membabitkan aksi pertarungan yang disifatkan kurang sempurna. Sepatutnya, bersama bajet sebesar RM755 juta, penonton dapat menikmati detik terbabit dengan lebih baik.

Versi baharu filem epik ini menyaksikan watak King Arthur digalas oleh Charlie Hunnam. Pelakon yang pernah membina nama menerusi filem The Lost City of Z itu dilihat berjaya menepati karakter King Arthur bersama susuk tubuhnya yang tegap, selain lakonan yang cukup meyakinkan untuk watak berkenaan.

PELAKON, Annabelle Wallis dalam King
PELAKON, Annabelle Wallis dalam King

Begitu juga dengan Jude Law sebagai King Vertigern, iaitu watak antagonis dalam filem ini yang nampak selesa dalam karakter terbabit.

Selain itu, King Arthur versi 2017 ini juga menampilkan pelakon seperti Annabelle Wallis, Aidan Gillen, Katie McGrath, Eric Bana dan Djimon Hounsou.

Filem ini turut menyaksikan kemunculan bintang bola sepak terkenal antarabangsa, David Beckham, yang membawakan watak Trigger. Walaupun kemunculan beliau hanya untuk beberapa babak, ia sudah cukup untuk membuatkan penampilannya diperkatakan.

Filem bukanlah medan untuk tokoh sukan ini mencipta nama kerana kehadirannya dilihat tidak memberikan impak besar buat naskhah berkenaan. Malah, lakonannya dikritik hebat oleh penonton dan peminat.

Sinopsis

Apabila bapa Arthur dibunuh ketika dirinya masih kecil, bapa saudaranya, Vortigern, merampas takhta kerajaan. Arthur tidak sedar siapa dirinya yang sebenar dan bagaimana haknya sebagai raja dirampas. Dia harus berusaha dari bawah untuk mendapatkan kembali kedudukannya.

Info

King Arthur: Legend of the Sword

Pengarah: Guy Ritchie

Pelakon: Charlie Hunnam, Annabelle Wallis, Aidan Gillen, Katie McGrath, Eric Bana, Jude Law, Djimon Hounsou

Genre: Aksi / Pengembaraan

Tayangan: Mulai 10 Mei 2017

Berita Harian X