Khamis, 25 Mei 2017 | 12:07am

'Susah cari hero tampan berlakon' - Michael Ang

PENGARAH sensasi, Michael Ang, menasihatkan pelakon yang mempunyai wajah menarik tetapi kurang berbakat supaya sentiasa menggunakan peluang diberikan untuk meningkatkan kemampuan.

Beliau yang banyak menghasilkan drama popular termasuk Suri Hati Mr Pilot berkata, pelakon tidak boleh mengabaikan mutu lakonan hanya kerana ghairah mengejar glamor.

"Ambillah watak kecil sekalipun jika mahu belajar. Bagi mereka yang tidak pandai berlakon, lagi banyak anda berada di depan kamera, lagi bagus bakat anda berkembang.

"Janganlah masuk ke industri seni hanya untuk mengejar glamor kerana ia tidak membawa ke mana-mana pun. Semua itu hanya bersifat sementara dan silap hari bulan, pelakon sebegini akan berlalu pergi begitu saja. Tidak ubah seperti 'one hit wonder'.

"Lebih baik seseorang itu fikir banyak kali sebelum menjadi artis jika sekadar nak keluar gosip dan kontroversi, mahu rampas suami orang atau nak menyelit pada acara hiburan," katanya kepada BH Plus.

Ang berkata, mungkin masih ada yang memikirkan glamor semata-mata apabila bercakap mengenai dunia lakonan.

MICHAEL Ang pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
MICHAEL Ang pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Hakikatnya, ia sama saja seperti orang yang bekerja di pejabat. Mereka masuk ke pejabat untuk bekerja, begitu juga dengan pelakon yang ke lokasi penggambaran untuk berlakon. Glamornya mungkin selepas drama dan filem keluar di TV atau pawagam," katanya.

Bagaimanapun, pengarah ini sedar, bukan mudah untuk mendidik masyarakat menerima bakat seseorang tanpa melihat kepada rupa paras.

"Kita sering disogokkan dengan wajah komersial, cantik dan tampan. Perkara sama berlaku di mana-mana industri lakonan, seperti Korea, Jepun, dan Amerika Syarikat. Kalau Brad Pitt berwajah buruk, belum tentu dia akan jadi hero.

"Tidak saya nafikan seorang hero kena berwajah kacak dan ada aura. Begitupun, di luar negara, bakat mereka terus diasah. Namun di negara kita, janganlah fikir untuk ambil pelakon sekadar untuk mengejar rating dan glamor. Rating lima juta itu tidak ke mana pun sebenarnya.

"Pelakon yang mempunyai rupa kena diasah bakat lakonan mereka dan janganlah bersandarkan wajah semata-mata. Usaha daripada pelakon itu sendiri adalah wajib supaya mereka boleh mempertajamkan skil lakonan," tegasnya.

PENGARAH sensasi, Michael Ang. - Foto Munira Abdul Ghani
PENGARAH sensasi, Michael Ang. - Foto Munira Abdul Ghani

Ang percaya, dengan usaha berterusan, seseorang pelakon yang dilihat kurang berbakat juga mampu melangkah lebih jauh dalam dunia berkenaan, asalkan masing-masing rajin belajar untuk mengatasi kekurangan yang ada.

Dalam pada itu, beliau yang muncul dengan karya baharu, Hero Seorang Cinderella, bermula 22 Mei lalu di Astro, menyifatkan negara ini memiliki ramai pelakon wanita yang pandai berlakon dan cantik.

"Cuma, kita kekurangan hero yang pandai berlakon. Ia hakikat yang perlu diterima. Penonton di Malaysia pula memang hendak melihat watak utama yang ada rupa. Tetapi sebenarnya susah nak cari pelakon lelaki yang ada rupa dan boleh berlakon. Kebanyakannya memang ada rupa, tetapi tak boleh berlakon," katanya.

INFO

  • Pelakon tidak boleh mengabaikan mutu lakonan hanya kerana ghairah mengejar glamor.
  • Pelakon yang ada rupa kena asah bakat lakonan.
  • Bukan mudah mendidik masyarakat menerima bakat seseorang tanpa melihat kepada rupa paras.

PEMENANG Drama Meletop, Suri Hati Mr Pilot yang dibintangi oleh Neelofa (kanan) serta Fattah Amin dan Pengarahnya, Michael Ang (tengah) pada Anugerah Meletop Era 2017. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
PEMENANG Drama Meletop, Suri Hati Mr Pilot yang dibintangi oleh Neelofa (kanan) serta Fattah Amin dan Pengarahnya, Michael Ang (tengah) pada Anugerah Meletop Era 2017. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Berita Harian X