Sabtu, 27 Mei 2017 | 12:08am
KEHIDUPAN Nana berubah sepenuhnya selepas beliau menjuarai program Gegar Vaganza (GV) musim kedua. - Foto Nurul Shafina Jemenon
KEHIDUPAN Nana berubah sepenuhnya selepas beliau menjuarai program Gegar Vaganza (GV) musim kedua. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Siti Nordiana 'lewat' 18 tahun

BANYAK cabaran yang dilalui penyanyi, Siti Nordiana Alias atau Nana, 33, sepanjang hampir dua dekad dirinya bergelar anak seni.

Pernah digelar 'penyanyi kampung', malah 'pembawa sial', semua itu bagaimanapun tidak pernah mematikan semangat wanita berkenaan. Malah, membuatkan beliau semakin tabah dan terus berusaha mencipta nama di arena hiburan tanah air.

Bergelar penyanyi sejak berusia 15 tahun, segala bentuk hinaan dan cercaan pernah diterima Nana. Malah, ibu kepada Mohamad Rayyan Nakhaie, 9 tahun, pernah diherdik dan dipandang sepi sebagai penyanyi.

Kini, selepas beberapa kejayaan mampu digenggam berkat kesabaran diri, termasuk sebagai Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, baru-baru ini, beliau tidak mahu mempersia-siakan peluang keemasan yang diperoleh. Malah, kejayaan yang diraih juga bagai memadamkan segala label negatif dilemparkan kepadanya sebelum ini.

Segala-galanya berubah selepas beliau menjuarai program Gegar Vaganza (GV) musim kedua, kira-kira dua tahun lalu.

Dengan suara perlahan, Nana mengakui dirinya pernah termenung di kedai kopi memikirkan nasib diri.

"Saya tiada kerja, undangan persembahan pun tiada. Saya bercerai dan terpaksa berhenti kerja sebagai kaunselor pendidikan di sebuah kolej kerana memilih untuk serius menyanyi.

"Dalam kepayahan menempuh hidup untuk membesarkan anak, saya tidak malu merayu diberikan peluang menyanyi.

"Sana sini saya merayu, tetapi orang tidak pandang saya. Sesetengah pihak tidak mempercayai bakat saya, malah ada yang mengherdik kerana menganggap saya tidak pandai menyanyi.

"Walaupun pulang ke rumah dengan deraian air mata, tetapi saya tidak berdendam. Paling tidak lupa, ada juga yang melabel saya 'pembawa sial' selepas bercerai. Sesiapa yang berkahwin dengan saya akan mendekati kematian. Ya Allah, hancur hati saya.

"Saya masih ingat, ada juga yang mereka-reka cerita saya sudah jatuh miskin dan dibebani masalah kewangan. Memang saya susah, tetapi tidaklah sampai meminta-minta dan berlapar tidak makan.

"Segala-galanya saya telan dengan satu prinsip iaitu sabar. Saya malu dengan hinaan orang tetapi saya sentiasa menyemat perasaan hormat dengan harapan dapat bertahan lama dalam industri muzik tanah air." luahnya.

PENYANYI, Siti Nordiana Alias atau lebih dikenali Nana. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PENYANYI, Siti Nordiana Alias atau lebih dikenali Nana. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Pernah rendah diri

Berkat kesabarannya, Nana berkata, dia bersyukur akhirnya berjaya membuka mata ramai, termasuk mereka yang pernah menghinanya dulu.

"Saya menikmati kejayaan selepas hampir dua dekad bergelar penyanyi. Bukan jalan pintas, tetapi saya percaya satu perkara, mendung tidak sentiasa berarak kelabu.

"Saya pernah dipijak kepala dan diperlekehkan. Walaupun sedetik pun saya tidak lupa hinaan yang dilemparkan, tetapi saya maafkan mereka. Dulu, saya takut mahu membalas setiap cercaan, tetapi sekarang saya tidak mahu maruah terus dipijak-pijak lagi.

"Saya mahu jadi seorang pejuang untuk menebus maruah yang pernah dicarik-carik," katanya.

Anak kelahiran Felda Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan itu mengakui label 'penyanyi kampung' dulu menyebabkan kerjaya nyanyiannya sukar berkembang.

"Saya menyanyi sejak berusia 15 tahun, jadi apa boleh diharapkan dengan budak sekolah? Fikiran pun tidak matang lagi. Saya suka menyanyi tetapi tidak terfikir bergelar artis semuda itu. Saya tidak bersedia ketika itu, tetapi rezeki hadir depan mata.

"Saya tidak sangka lagu Cinta Hanya Sandaran boleh meletup. Dulu, bukan ada penata gaya seperti hari ini. Hadir sesi fotografi dan undangan persembahan pun bersolek sendiri. Saya pula budak sekolah dari Felda, manalah tahu bergaya?

"Bagaimanapun, semua itu menjadi titik permulaan untuk saya berubah penampilan diri dan cara nyanyian. Saya mahu buang pemikiran yang melabelkan saya sebagai penyanyi kampung selama ini.

"Dulu, saya mahu bergaul dengan penyanyi popular lain pun malu. Saya rasa rendah diri kerana saya fikir siapa mahu berkawan dengan artis kampung seperti saya," katanya.

NANA bersyukur akhirnya berjaya membuka mata ramai, termasuk mereka yang pernah menghinanya dulu. . - Foto Nurul Shafina Jemenon
NANA bersyukur akhirnya berjaya membuka mata ramai, termasuk mereka yang pernah menghinanya dulu. . - Foto Nurul Shafina Jemenon

Enggan melatah dengan gosip

Nana berkata, dia pernah menukar imej seksi ketika kemunculan single terbarunya, Tak Tahan, berkonsepkan alternatif rock pada 2010.

Bagaimanapun, ia umpama memakan diri apabila dikritik teruk selepas peminat tidak dapat menerima pembaharuan cuba dilakukan.

"Teruk saya kena hentam, tetapi ia hanyalah percubaan. Saya terpaksa berpakaian seksi, demi melakukan perubahan. Bagaimanapun, saya insaf selepas dihentam teruk. Peminat tetap suka dengan penampilan sederhana dan kekampungan saya.

"Jadi, tidak guna saya berubah imej yang bukan-bukan. Hari ini, walaupun saya bersederhana seperti dulu, peminat tetap menerima saya seadanya," katanya ketawa.

Nana yang kini keluar dengan single terbaharu berjudul Terus Mencintai berkata, dia terpaksa berdepan serangan kontroversi apabila namanya mengharum semula.

Satu persatu kontroversi mula menghimpitnya apabila dirinya didakwa mula berlagak diva, letak harga dan buat hal di lokasi penggambaran, baru-baru ini.

"Saya antara artis yang bersih daripada kontroversi sebelum ini. Apabila nama saya mula mewangi semula, ada saja cerita yang tidak betul mula disebarkan.

"Ada yang mula mencari kesalahan dan kesilapan saya. Walaupun mula menerima serangan peribadi, tetapi saya bertenang dan tidak mahu melatah.

"Saya selalunya tidak suka membesar-besarkan cerita. Bukan saya tidak tahu ada sesetengah netizen yang suka membuat serangan peribadi pada saya, tetapi biarlah. Tiada guna meroyan dan membebankan fikiran.

"Bagaimanapun, saya harus bersedia dengan serangan mereka. Saya tidak takut kerana saya tahu, ada manusia yang tidak boleh melihat orang lain berjaya," katanya yang bakal bergandingan semula dengan Alif Satar menerusi drama Pengantin Musim Salju arahan Michael Ang, tidak lama lagi.

 NANA, pernah digelar 'penyanyi kampung', malah 'pembawa sial'.- Foto Rosli Mansor Ahmad Razali
NANA, pernah digelar 'penyanyi kampung', malah 'pembawa sial'.- Foto Rosli Mansor Ahmad Razali

Menang trofi ABPBH 3.0 suatu tanggungjawab

Mengulas kemenangannya diangkat sebagai Penyanyi Wanita Popular, ABPBH 3.0, Nana berkata, dia memikul tanggungjawab yang lebih berat selepas kemenangan itu.

"Bayangkan selepas 18 tahun, saya baru merasai menggenggam trofi Penyanyi Wanita Popular. Bukan soal saya mengalahkan penyanyi lain yang lebih hebat, tetapi saya rasa lebih bertanggungjawab.

"Saya tidak boleh lagi main-main dalam menyanyi, saya harus membuktikan mampu menjadi lebih baik," katanya.

Info

  • Jika sebelum ini terpaksa berulang alik ke Felda Sendayan kerana anaknya tinggal bersama ibu bapa, tetapi sejak awal tahun ini, mereka sudah berpindah ke Kuala Lumpur.

  • Nana bakal melancarkan gincu bibir jenama SND yang bermaksud Siti Nordiana pada Ramadan ini.

  • Memperlahankan aktiviti nyanyian sepanjang bulan puasa untuk bersama keluarga selepas tidak henti bekerja selama dua tahun.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X