Sabtu, 27 Mei 2017 | 12:12am
A'ISHAH Zafirah menunjukkan sukatan yang betul bagi pengambilan makanan seimbang. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
A'ISHAH Zafirah menunjukkan sukatan yang betul bagi pengambilan makanan seimbang. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Tips cara makan pada Ramadan

KUALA LUMPUR: Kombinasi suku pinggan karbohidrat dan suku pinggan protein memberi tenaga berpanjangan ketika berpuasa, membantu diri berasa kenyang lebih lama sementara menunggu waktu berbuka.

Pegawai Dietetik, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, A'ishah Zafirah Abdul A'zim, berkata pengambilan serat daripada separuh pinggan sayur-sayuran dan buah-buahan membantu melambatkan penghadaman makanan seterusnya mengurangkan rasa lapar.

Katanya, makanan yang tidak disarankan ketika bersahur adalah daripada jenis makanan tidak memberikan cukup tenaga dan zat lengkap.

Minuman manis, katanya, adalah tidak berzat dan memberikan lebihan tenaga tidak perlu untuk badan ketika berpuasa.

"Pada Ramadan, sahur menjadi waktu makanan pertama dan utama untuk memberi tenaga sepanjang hari.

"Justeru, pemilihan makanan yang seimbang, lengkap dan bersederhana ketika bersahur penting untuk memulakan hari dengan penuh bertenaga. Makanan yang sebaiknya dimakan mengandungi semua zat iaitu karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral.

A'ISHAH Zafirah Abdul A'zim menunjukkan piramid makanan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
A'ISHAH Zafirah Abdul A'zim menunjukkan piramid makanan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Keseluruhan zat ini boleh didapati dengan mengamalkan konsep Pinggan Sihat Malaysia, Suku Suku Separuh yang disarankan Kementerian Kesihatan," katanya.

A'ishah berkata, pengambilan garam berlebihan tidak disarankan ketika bersahur bagi mengurangkan rasa haus dan menghindari berlakunya dehidrasi ketika berpuasa.

Selain itu, tidur sejurus selepas bersahur tidak digalakkan kerana boleh meningkatkan risiko ketidakhadaman makanan.

"Ini kerana tubuh memerlukan lebih kurang tiga jam untuk memproses penghadaman makanan. Tidur selepas makan menyebabkan makanan tidak hadam dengan baik di dalam perut dan mendorong kepada risiko pedih hulu hati serta refluk asid (injap antara perut dan esofagus tidak tertutup hingga menolak makanan ke luar badan)," katanya.

PENGAMBILAN serat separuh pinggan sayur-sayuran dan buah-buahan membantu melambatkan penghadaman seterusnya mengurangkan rasa lapar, ...A'ishah Zafirah. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PENGAMBILAN serat separuh pinggan sayur-sayuran dan buah-buahan membantu melambatkan penghadaman seterusnya mengurangkan rasa lapar, ...A'ishah Zafirah. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

INFO

Kebaikan bersahur:

  • Mengurangkan rasa lapar dan dahaga sepanjang tempoh berpuasa.
  • Memberikan tenaga untuk digunakan sepanjang hari sebelum berbuka.

Kesan tidak bersahur:

  • Mudah penat.
  • Badan mengalami kekurangan air dan boleh meningkatkan risiko dehidrasi.
  • Cenderung makan berlebihan ketika berbuka puasa.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X