Selasa, 30 Mei 2017 | 12:06am
LAPORAN dalam akhbar BH semalam.
LAPORAN dalam akhbar BH semalam.

Serong 30 darjah arah kiblat hala selatan Benua Afrika

KUALA LUMPUR: Kiblat serong satu darjah di Malaysia tetapi ukurannya dikesan melencong sehingga 122 kilometer (km) dari arah Kaabah di Makkah.

Pakar geodesi, Dr Azhari Mohamed, berkata itu adalah anggaran kecondongan sebenar arah kiblat jika diukur secara tepat apabila kiblat umat Islam di negara ini tidak diletakkan dengan betul.

Katanya, jarak 122 km dari Kaabah itu dikesan tersasar terlalu jauh kerana jarak antara Kuala Lumpur dengan Makkah adalah hampir 7,000 km.

"Sekiranya kiblat (di negara ini) serong sekitar 30 darjah, arah kiblat itu tidak menghala ke Makkah atau mana-mana negara Arab, sebaliknya mengarah ke sebuah negara di selatan benua Afrika.

"Berdasarkan perkiraan tepat, sudut darjah arah kiblat di Malaysia adalah antara 291 ke 293 darjah dan sekiranya kiraan yang diperoleh di luar lingkungan darjah itu, arah kiblat itu adalah salah," katanya kepada BH.

PAKAR geodesi, Dr Azhari Mohamed. - Foto Fariz Iswadi Ismail
PAKAR geodesi, Dr Azhari Mohamed. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Azhari berkata, pelbagai faktor termasuk bentuk muka bumi yang melengkung perlu diambil kira bagi mendapatkan arah kiblat dengan sudut darjah tepat.

"Kita tidak boleh membuat perkiraan berdasarkan garisan lurus di antara Malaysia dan Makkah kerana faktor bentuk muka bumi memainkan peranan besar dan sebab itu jika sudut tersasar satu darjah di Malaysia, ia bersamaan 122 km dari Kaabah.

"Islam itu sebenarnya mudah tetapi kita jangan terlalu mengambil remeh kerana banyak kaedah boleh dilaksanakan untuk mencari arah kiblat, termasuk melalui perkiraan secara matematik atau lintasan matahari yang memberi keputusan dengan lebih jelas," katanya.

Mengulas mengenai aplikasi arah kiblat, Azhari berpendapat teknologi terbabit bertujuan memudahkan umat Islam mengesan arah kiblat tetapi penggunaannya tidak harus dipandang ringan.

Katanya, umat Islam di negara ini bertuah kerana Malaysia berada di kedudukan selari dengan Titik Utara Benar (paksi bumi) dan Titik Utara Magnetik yang hanya berbeza sekitar setengah darjah antara satu sama lain.

"Ramai yang tidak sedar kompas pada telefon pintar merujuk kepada Titik Utara Magnetik dan bukannya Titik Utara Benar. Oleh itu, penggunaan kompas pada telefon pintar boleh dipercayai disebabkan faktor geografi Malaysia.

"Bagaimanapun, masalah akan timbul sekiranya kita berada di negara yang hampir dengan Titik Utara Magnetik kerana kedudukannya yang tidak selari dengan Titik Utara Benar," katanya.

Berdasarkan perkiraan formula matematik, katanya, umat Islam di negara ini boleh menentukan arah kiblat melalui jarum pendek yang menunjukkan waktu jam 9.44 dengan angka 12 diletakkan tepat pada arah Utara.

Sementara itu, hampir semua aplikasi berasaskan kiblat yang boleh dimuat turun pengguna telefon pintar atau diperoleh dari alam siber tidak mendapat pengiktirafan jabatan agama.

Pengarah dan Perunding Teknologi Maklumat Onemyr Awareness Management, Mohd Ridzman Azzahari, berkata kajian syarikatnya mendapati aplikasi terbabit tidak mendapat pengesahan dan kelulusan pihak berkuasa.

Sebaliknya, hanya aplikasi yang dibangunkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu myJAKIM disahkan boleh digunakan untuk menentukan arah kiblat.

"Aplikasi untuk telefon pintar semakin mudah dihasilkan dan disebabkan itu ramai pihak mengambil kesempatan menghasilkan pelbagai aplikasi yang boleh dimuat turun daripada platform pengedaran digital seperti Google Playstore dan Apple App Store.

"Penghasilan aplikasi seperti menentukan arah kiblat tidak perlu mendapatkan kelulusan kerana tiada undang-undang mewajibkan mereka berbuat demikian," katanya ketika dihubungi BH.

PENGARAH dan Perunding Teknologi Maklumat Onemyr Awareness Management, Mohd Ridzman Azzahari. - Foto Mahzir Mat Isa
PENGARAH dan Perunding Teknologi Maklumat Onemyr Awareness Management, Mohd Ridzman Azzahari. - Foto Mahzir Mat Isa

Mohd Ridzman mendakwa, segelintir pihak hanya mahu menjana pendapatan daripada hasil iklan yang dipamerkan di aplikasi mereka berbanding bagi tujuan agama.

Katanya, pembuat aplikasi itu berlumba-lumba mendapatkan kadar muat turun terbanyak sebagai platform mendapatkan pengiklan.

"Kebanyakan aplikasi terbabit dipenuhi ruang iklan kerana itu adalah pendapatan mereka. Sebab itu aplikasi terbabit boleh dimuat turun secara percuma.

"Kebanjiran aplikasi kiblat secara dalam talian yang tidak mendapat pengesahan pihak berkuasa boleh diragukan dan andai terdapat sebarang kesilapan, akan mendatangkan kesan besar kepada pengguna," katanya.

Justeru, beliau berharap pihak berkuasa terutama jabatan agama dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau dan membuat saringan lambakan aplikasi kiblat supaya tidak memesongkan kiblat umat Islam di negara ini.

BH semalam melaporkan lambakan aplikasi penunjuk arah kiblat yang boleh dimuat turun di telefon bimbit secara percuma menimbulkan keraguan apabila kebanyakannya tidak menunjukkan arah kiblat secara tepat.

Hasil ujian rawak terhadap 10 aplikasi terbabit, lapan daripadanya tersasar dari arah kiblat sebenar.

Malah, aplikasi terbabit dikesan mempunyai kelemahan yang tidak mampu dilihat daripada pandangan mata kasar manusia.

Kelemahan paling utama adalah gangguan pada kompas di telefon bimbit akibat tarikan medan magnet, peralatan elektrik di sekeliling dan besi.

Disebabkan kelemahan itu, hasil data digunakan aplikasi terbabit menyebabkan arah kiblat tersasar dan tidak tepat meskipun telefon bimbit yang digunakan canggih serta moden.

Berita Harian X