Selasa, 30 Mei 2017 | 12:11am

Tarikan rona pelangi

LIMPAHAN rona pelangi bukan saja menyerlahkan penampilan berbeza, malah menyuntik perasaan gembira buat si pemakainya.

Keindahan spektrum pelangi terdiri daripada rona terang termasuk merah, biru dan kuning setiap satunya mempunyai nilai tarikan tersendiri menambahkan keceriaan.

Maka, tidak hairanlah sekiranya koleksi fesyen berasaskan spektrum pelangi masih menjadi kegilaan, simbolik kepada sentuhan karakter menceriakan dan positif.

Pemakaian rona pelangi juga tidak melihatkan batasannya apabila pelbagai jenama mewah seperti Gucci pernah menggunakan keindahan rona pelangi sebagai penghias kempen rekaan diketengahkan.

Tampil memukau pandangan, koleksi corak rekaan ini tampak bergaya dipadankan dengan busana rona kontra mahupun lembut.

Ia juga kelihatan menarik dipadankan dengan beg tangan dan kasut dalam himpunan yang menyuntik keseronokan kala menggayakannya.

Keindahan spektrum warna

Tema mencerminkan keindahan alam sekitar ini turut memberikan hasil corak rekaan pelbagai mengikut kreativiti peneraju fesyen dan pereka sendiri.

Koleksi bermain elemen pelangi ini banyak mengetengahkan sentuhan corak melintang dan menegak menggunakan keindahan spektrum warna ini.

Selain menghimpunkan ketujuh-tujuh rona dalam satu rekaan, spektrum warna itu turut mencerminkan koleksi lembut dari rona pastel cukup manis dipakai wanita.

Pemakaian spektrum warna juga boleh tampil bergaya sekiranya ia dipadankan dengan gaya dan mainan rona kreatif.

Oleh itu, untuk penampilan lebih menyerlah cuba padankan kumpulan warna sama pada satu persalinan mahupun padanan aksesori dipakai.

Juga, boleh tambahkan kelainan cita rasa imej menerusi pemilihan skema warna padu dengan warna jalur pelangi.

Raih tumpuan

Menyuntik personaliti pop, pilihan blaus daripada rona biru terang tampak kelihatan hebat jika dipadankan dengan skirt atau seluar berkonsepkan rekaan pelangi berjalur anda.

Raih tumpuan dengan mengenakan padanan jaket pelangi berjalur dengan seluar berpotongan kaki kembang poloh dengan kasut tumit tinggi.

Selain itu, buat penggayaan santai, pemakaian blaus labuh motif pelangi juga nampak anggun dipadankan dengan kardigan berpotongan ringkas.

Anda juga boleh selaraskan himpunan aksesori seperti beg, kasut mahupun aksesori lain yang membuat mereka kelihatan lebih bergaya dan kreatif dengan motif pelangi.

Tidak lengkap menjinjing beg tangan tanpa dipadankan bersama sepatu menarik lagi selesa, tidak kira sama ada ia kasut tumit tinggi bertali mahupun sandal Sekiranya mahukan penampilan kasual, padanan persalinan dari rona semua jadi juga dapat memberikan kesan pemakaian lebih sederhana.

Sehubungan itu, padanan koleksi pelangi tidak hanya nampak ceria tetapi turut menyerlahkan imej di luar dimensi normal.

Di samping itu, gandingan beg tangan kulit dengan perincian rumbai juga tampak feminin sekiranya dipadankan dengan gaun paras lutut lebih bergaya.

INFO
Memilih warna pakaian

  • Kulit putih Warna lembut sangat sesuai untuk kulit ini.
  • Kulit kuning langsat Rona tropika seperti kuning, jingga, ungu tampil menarik.
  • Kulit sawo matang Himpunan rona gelap dan terang kelihatan cantik.
  • Kulit gelap Elak warna terlalu kontra dengan kulit.
Berita Harian X