Sabtu, 3 Jun 2017 | 12:01am
ARTIS Baharu Wanita Popular, Sweet Qismina atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi. - Foto Aziah Azmee
ARTIS Baharu Wanita Popular, Sweet Qismina atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi. - Foto Aziah Azmee

Sweet Qismina tolak watak isteri, ibu

KUALA LUMPUR: Diangkat peminat sebagai Artis Baharu Wanita Popular pada kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, bulan lalu, Sweet Qismina masih menganggap dirinya sama seperti bakat baharu lain yang tercari-cari ruang untuk bertapak kukuh dalam industri hiburan.

Bagi Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi, 19, kemenangan itu juga secara tidak langsung memperlihatkan kesediaannya untuk melangkah ke alam matang dengan mencuba pelbagai watak mencabar, selepas dikenali ramai sebagai pelakon kanak-kanak.

Beliau yang kini sibuk dengan penggambaran drama 50 episod, Cinta Koko Coklat mengakui, kebelakangan ini, sering ditawarkan watak matang berbanding usia termasuk menggalas peranan sebagai ibu.

"Mungkin kerana saya bertubuh kecil dan berwajah keanak-anakan, sukar untuk saya mengikis imej yang sudah sebati di mata penonton. Itu antara cabaran yang harus saya terima. Perkara yang sama turut dilalui pelakon lain yang mula berlakon sejak usia kanak-kanak.

"Pada masa sama, saya tidak boleh menerima watak terlalu matang. Saya terpaksa menolak apabila ditawarkan watak sebagai isteri dan ibu. Bukan menafikan rezeki, tetapi saya tidak mahu tua sebelum waktunya.

"Rasanya masih belum sesuai untuk saya melakonkan watak ibu. Saya terpaksa memilih watak yang seiring dengan usia," katanya.

Sweet Qismina tidak mahu watak terlalu matang. - Foto Aziah
Sweet Qismina tidak mahu watak terlalu matang. - Foto Aziah

Usah pertikai rezeki

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu mula diperkenalkan menerusi pementasan teater Ali Baba Dan 40 Penyamun di Istana Budaya ketika berusia sembilan tahun. Tidak hanya aktif di pentas teater, drama dan filem, Sweet juga dikenali sebagai pengacara program kanak-kanak.

Namanya menyerlah selepas membintangi drama bersiri kanak-kanak, Hikayat Putera Shazlan. Perjalanan seni Sweet bagaimanapun, turut menelusuri episod turun naik apabila terikat dengan pengajian.

Terlebih dulu dikenali dengan nama Sweet Farhana, ramai yang keliru apabila penuntut jurusan Komunikasi Massa di SEGi University, Kota Damansara menukar namanya kepada Sweet Qismina, hingga ada pihak menganggap kedua-duanya adalah pelakon berbeza.

"Saya anggap kemenangan pada kemuncak ABPBH 3.0 sebagai rezeki yang tertulis. Tidak perlu kita mempertikai rezeki yang diberikan Allah itu. Saya tahu, ramai yang menyangka Sweet Qismina adalah pelakon baharu yang tidak dikenali.

"Mungkin mereka masih belum jelas dengan identiti sebenar saya. Secara jujur, saya rasa seperti masih bermimpi kerana tidak percaya akan beroleh kemenangan ini," katanya yang kembali diperkatakan menerusi drama Misteri Wan Peah.

PELAKON, Sweet Qismina atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi. - Foto Aziah
PELAKON, Sweet Qismina atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi. - Foto Aziah

Rindu arwah kakak

Di sebalik kegembiraan menggenggam itu, hatinya diselubungi sayu mengenangkan arwah kakaknya, Farhanna Qistina yang menghembuskan nafas terakhir akibat kemalangan jalan raya, dua tahun lalu.

Mengimbas tragedi menyayat hati yang berlaku pada pagi 1 Syawal itu, Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi, 19, berkata kereta dipandu ibunya yang dinaiki bersama empat adik-beradiknya terbabit dengan kemalangan ngeri di Jalan Kuching.

Ketika itu, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang selepas mengambil baju untuk meraikan Hari Raya.

"Sudah dua tahun kakak meninggalkan kami, tetapi tidak pernah sesaat saya melupakannya. Setiap kali Ramadan menjelang, ingatan terhadapnya semakin kuat. Sejak episod duka itu juga, kami sekeluarga tidak lagi ke mana-mana pada pagi 1 Syawal.

"Awal pagi raya, kami akan menziarahi pusara arwah kakak dan bapa yang meninggal dunia ketika saya berusia 11 tahun. Hanya selepas raya pertama, baru kami sekeluarga akan pulang ke kampung menziarahi sanak saudara," katanya.

Sweet Qismina terkenal dalam program kanak-kanak. - Foto Aziah
Sweet Qismina terkenal dalam program kanak-kanak. - Foto Aziah

INFO: Sweet Qismina

  • Menggondol trofi Artis Baharu Wanita Popular pada kemuncak ABPBH 3.0.

  • Drama: Manjalara, Kasih Suci, Cinta Batu Belah, Rebab Tidak Bertali, Cinta Hati Abah, Cinta Masam Manis, Misteri Wan Peah, Sayang Papa Saya Tak dan banyak lagi.

  • Pengacara: Cutipedia, Whazzup Ceria, 4 Teman, Ceria Superstar, ChiChi & ChaCha With Harris Alif, Kids On 2, TVIQ dan Planet Bola.

  • Filem: Sepi, Damping Malam, Sesuatu Yang Tertinggal, Chantek, Tanda Putera, Juvana 2, Juvana 3 dan Aku Haus Darahmu.
Berita Harian X