Sabtu, 3 Jun 2017 | 12:03am

Bersahur elak gastrik

KUALA LUMPUR: Pengambilan makanan sihat ketika bersahur sepanjang Ramadan berupaya mengelakkan serangan gastrik.

Ketua Pakar Perunding Perubatan Gastroenterologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Raja Affendi Raja Ali, berkata bersahur dituntut dan sebaiknya dibuat pada akhir waktu yang juga menjadi amalan sunnah.

Katanya, pesakit gastrik perlu mengelak pengambilan makanan terlalu berminyak dan pedas, selain mengurangkan makanan tinggi lemak seperti daging bagi menggalakkan pengeluaran asid dalam perut.

"Buah-buahan dan sayuran pula perlu diambil dengan kuantiti lebih banyak. Bagaimanapun, elakkan mengambil buah limau, strawberi, ceri dan tomato kerana mempunyai kandungan asid yang tinggi," katanya kepada BH.

Dr Raja Affendi berkata, cara terbaik pesakit gastrik menjalani ibadat puasa ialah dengan mula berpuasa sunat bagi melatih perut agar bersedia kerana ia akan kosong selama 13 hingga 14 jam setiap hari selama satu bulan.

Katanya, badan memerlukan pemakanan seimbang dan yang penting, kuantiti makanan tidak terlalu banyak.

PAKAR perunding Gastroenterologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Raja Affendi Raja Ali pada temubual di PPUKM, Cheras. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PAKAR perunding Gastroenterologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Raja Affendi Raja Ali pada temubual di PPUKM, Cheras. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Selain nasi, katanya, sumber karbohidrat boleh digantikan dengan roti, bihun atau mi dalam kuantiti sederhana.

Sumber protein daripada ayam, telur, keju serta sumber vitamin daripada sayur-sayuran dan buah-buahan perlu ada.

Badan juga perlu dihidrat dengan minum air secukupnya sebelum berpuasa selama lebih 13 hingga 14 jam.

Kurangkan rembesan asid

Makanan ringan tinggi kandungan garam serta makanan bergoreng dielakkan sepenuhnya. Minuman berkarbonat, air nanas, air limau dan minuman kafein (kopi) juga tidak digalakkan oleh pesakit gastritis.

PAKAR perunding Gastroenterologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Raja Affendi Raja Ali pada temubual di PPUKM, Cheras. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PAKAR perunding Gastroenterologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Raja Affendi Raja Ali pada temubual di PPUKM, Cheras. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Ketika berbuka makanlah bersederhana, elakkan makanan yang banyak tiga hingga empat jam sebelum tidur untuk mengelak serangan gastritis. Jangan merokok ketika berbuka puasa," katanya.

Pesakit yang menjaga pemakanan tetapi masih diserang gastritis, disyorkan mengambil ubat seperti antacid untuk menurunkan kadar rembesan asid di dalam perut ketika bersahur dan berbuka.

Ubat lain seperti antagonis H2 dan perencat pam proton (PPI), berfungsi mengurangkan rembesan asid di dalam perut kita.

INFO
- Gastrik merujuk kepada perkataan 'gaster', berasal dari Greek yang bermaksud 'perut'.
- Gastritis bermaksud keradangan di dalam perut.

Punca gastritis :
- Lapisan di bahagian dalam perut yang menjadi pelindung kepada jus asid menjadi lemah atau rosak.
- Asid jus di dalam perut akan merosakkan dan menghakis dinding perut mengakibatkan proses keradangan berlaku.

Gejala gastritis :
- Rasa pedih di bahagian ulu hati atau dalam bahasa perubatan pada bahagian epigastrik.
- Kembung perut, loya, muntah, rasa makanan tidak hilang hadam atau sebu.
- Hilang selera makan.

Gastritis yang teruk (ulser) :
- Pendarahan di dalam perut.
- Muntah berdarah
- Najis bertukar hitam, kesan pendarahan dalam perut.
- Hilang berat badan dan kurang sel darah merah (anaemia)

Kaedah mengesan gastritis :
- Ujian darah, ujian najis dan pernafasan urea (urea breath test).
- Ujian lebih khusus dengan pemeriksaan endoskopi: mengesan tanda kemerahan, bengkak dan mudah berdarah.
- Pengambilan sampel tisu (biopsi) untuk mengesan bakteria helicobacter pylori yang menyebabkan kanser perut.

Risiko mendapat gastritis:
- Jangkitan bakteria helicobacter pylori' di dalam perut (bukan disebabkan berpuasa).
- Pengambilan ubat tahan sakit berterusan (ibuprofen, naproxen, aspirin dan ponstan).
- Usia lanjut (lebih 60 tahun).
- Merokok (menggalakkan pembiakan bakteria).
- Menghidap penyakit kronik buah pinggang, obesiti.
- Sering tertekan.
- Pengambilan minuman mengandungi alkohol.

Alternatif lain ubat tahan sakit (untuk mengelakkan gastritis) :
- Paracetamol dan tramadol
- Ubat sapu atau secara suntikan.

Berita Harian X