Ahad, 4 Jun 2017 | 12:14am
ANTARA kuda yang terdapat di Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC). - Foto Shazreen Zamzuri
SEBAHAGIAN pengunjung melakukan aktiviti memanah yang diadakan secara percuma di Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC). - Foto Shazreen Zamzuri
SEBAHAGIAN pengunjung melakukan aktiviti memanah yang diadakan secara percuma di Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC). - Foto Shazreen Zamzuri

Memanah, berkuda selepas berbuka puasa

SHAH ALAM: Aktiviti berkuda dan memanah terus menjadi daya tarikan pengunjung untuk berbuka puasa di Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC), di sini.

Pendekatan berbeza oleh pengasas DARC, Terry Teo sejak lima tahun lalu itu menjadi popular dalam kalangan pengunjung pelbagai peringkat umur dan bangsa.

"Lima tahun lalu, saya hanya menawarkan pakej berbuka puasa RM21.90 dengan sambutan 2,000 pengunjung. Tetapi Ramadan sunyi tanpa sebarang aktiviti. Jadi, saya cuba cari sesuatu untuk menghidupkan DARC pada Ramadan.

PENGUNJUNG, Nor Syarifah Abd Rahmin (kanan) bersama anaknya Mohd Ariff (kiri) melakukan aktiviti menunggang kuda yang diadakan secara percuma di Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC). - Foto Shazreen Zamzuri

"Idea tercetus apabila melihat kuda yang saya pelihara, peralatan memanah dan kolam renang di sini. Ramai kawan beragama Islam berkunjung ke sini beritahu yang DARC ini bagus sebab ada kegiatan memanah, berkuda dan berenang," katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya, selepas majlis berbuka puasa baik di hotel, restoran atau mana-mana tempat yang menawarkan bufet berbuka puasa agak hambar dengan kebanyakan mereka pulang selepas menunaikan solat Maghrib.

"Biasa kita lihat selepas buka puasa, baik yang datang dengan keluarga, rakan-rakan atau kakitangan sepejabat terus balik rumah. Makan dan balik, itu sahaja.

"Tetapi DARC berbeza kerana selepas berbuka dan solat, pengunjung boleh menunggang kuda, beri makan kuda, arnab, memanah dan berenang," katanya.

Terry berkata, aktiviti di DARC berjaya mewujudkan masa berkualiti bersama keluarga, malah ibu bapa dengan anak-anak dapat bertukar pandangan mengenai aktiviti yang disertai selain kemahiran dan pendedahan baharu.

PENGASAS DARC, Terry Teo melihat keadaan kuda yang terdapat di Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC). - Foto Shazreen Zamzuri

"Ada interaksi di antara satu sama lain, ibu bapa dengan anak, anak-anak dengan haiwan. Apabila ibu bapa dedahkan anak-anak dengan aktiviti riadah yang menyihatkan, anak lebih tahan lasak dan cergas. Secara tidak langsung aktiviti riadah luar seperti ini banyak memberi impak positif untuk anak-anak," katanya.

Beliau berkata, suasana di DARC sangat berbeza sebelum dan selepas beliau memasukkan aktiviti berkenaan dalam pakej berbuka puasa.

"Banyak maklum balas positif diterima daripada pengunjung termasuk di Facebook DARC. Ahli kelab dan pengunjung DARC memberi respon bahawa tempat ini membentuk keluarga bahagia.

PENGUNJUNG melakukan aktiviti menunggang kuda yang diadakan secara percuma di Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC). - Foto Shazreen Zamzuri

"Kebanyakannya yang berkunjung ke sini bukan sahaja datang sekali tetapi berulang kali. Ada yang dibawa oleh rakan dan dicadangkan oleh rakan. Kemudian mereka pula membawa keluarga, bawa adik beradik dan bawa rakan pejabat.

"Kalau suasana persekitaran, tempat dan tiada pengisian menarik, sudah tentu tiada pengunjung akan datang berulang kali dan membawa insan tersayang ke sini," katanya.

Terry berkata, DARC turut menyediakan surau selesa yang dilengkapi alat pendingin hawa dan boleh memuatkan 50 jemaah pada satu-satu masa.

"Pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, solat Tarawih diadakan di surau. Seorang rakan baik saya secara sukarela menyumbangkan surau ini untuk pengunjung menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Islam," katanya.

SEBAHAGIAN pengunjung melakukan aktiviti yang diadakan secara percuma di Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC). - Foto Shazreen Zamzuri

Tinjauan BH mendapati sebahagian pengunjung adalah ahli berdaftar DARC dengan pakej keluarga iaitu RM290 setahun.

Malah, tempat ini dianggap sebagai tempat riadah yang membentuk keluarga bahagia kerana ia menjadi rumah kedua pengunjung.

Seorang remaja yang kerap datang bersama keluarga, Muhammad Shahid Mohd Zamani, 18, berkata DARC dijadikan tempat riadah wajib datang setiap bulan oleh keluarganya.

"Kami sudah lebih 20 kali datang ke sini dan hampir setiap minggu datang bersama keluarga. Saya selalu sertai aktiviti memanah sebab sangat minat walaupun pada awalnya penat dan kekok.

"Saya dapat melegakan tekanan setiap kali melepaskan anak panah ke arah sasaran. Selain kepuasan, ia memberikan latihan fizikal dan stamina pada badan saya. Saya harap lebih ramai keluarga membawa anak-anak sebaya saya untuk cuba aktiviti memanah ini," katanya.

SEBAHAGIAN pengunjung tidak melepaskan peluang melihat kuda yang dipamerkan secara percuma di Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC). - Foto Shazreen Zamzuri

Sementara itu, Nafiza Mahayuddin, 37, pula bertuah kerana berpeluang datang bila-bila masa sahaja kerana suaminya ahli berdaftar dengan DARC.

"Biasanya saya datang dengan keluarga tetapi kali ini bawa anak-anak saudara untuk berbuka puasa bersama. Jadi, saya fikir, bagus juga kalau bawa mereka berbuka sambil beriadah kerana secara kebetulan kebetulan suami saya memang ahli DARC.

"Harga yang dikenakan murah. Kalau ada rezeki kami akan datang lagi. Mereka seronok dapat buat semua aktiviti yang ditawarkan. Saya dapat lihat keakraban dan silaturahim saya dan keluarga semakin erat," katanya.

INFO

  • Sepanjang Ramadan, DARC menawarkan pakej Berbuka Puasa bermula 1 Jun hingga 22 Jun ini.
  • Dengan harga patut, RM39.90 bagi dewasa dan RM19.90 bagi kanak-kanak, pengunjung dapat menikmati lebih 100 juadah, melakukan aktiviti memanah dan berkuda.
  • Aktiviti bermula selepas solat Maghrib iaitu antara jam 8.15 malam hingga 10 malam setiap hari sepanjang 22 hari yang ditetapkan.
  • 10 jurulatih disediakan untuk aktiviti berkuda pada hari biasa dan 14 jurulatih pada hari minggu.

  • 4 jurulatih khas bagi aktiviti memanah.
  • Istimewa pada Ramadan, aktiviti memanah dan berkuda diadakan setiap hari.
  • Selain bulan puasa, aktiviti memanah diadakan pada Sabtu dan Ahad manakala berkuda pada setiap hari kecuali Isnin.
Berita Harian X