Jumaat, 9 Jun 2017 | 12:00am

Khasiat awet muda pegaga

Model bersama jus pegaga. - Foto NSTP/Mahzir Mat Isa

Pegaga atau centella asiatica, sejenis tumbuhan daripada keluarga daun pasli dan tumbuh melata bersama rumput.

Di Asia dan Barat, ia dikenali sebagai ‚hero hutan tropika' berdasarkan kebaikan terdapat pada tumbuhan renek ini.

Kemasyhuran rahsia alam ini sudah diketahui ramai sejak ratusan tahun dulu, berikutan digunakan dalam perubatan purba dan Melayu dulu kala.

Herba daun hijau berbentuk kipas itu turut biasa digunakan di Jepun, India, China dan Indonesia. Di India misalnya, pegaga sering digunakan dalam perubatan ayurveda untuk merawat penyakit saraf, membantu merangsang otak kanak-kanak dan dewasa selain dijadikan ubat untuk masalah mata.

Di China, ia turut dipanggil gotu kola dan dijadikan ekstrak serbuk untuk perubatan dan rawatan kecantikan di negara itu.

Jus Pegaga. - Foto NSTP/Mahzir Mat Isa

Jus Pegaga. - Foto NSTP/Mahzir Mat Isa

Masyarakat Melayu pula, lebih gemar menjadikan pegaga sebagai ulam atau masakan kerabu.

Sementara itu, di Barat pegaga semakin mendapat perhatian dan dijadikan makanan tambahan atau produk kecantikan seperti syampu dan produk penjagaan wajah.

Fungsi pegaga turut diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO ) sebagai herba yang diklasifikasikan sebagai satu spesies tumbuhan paling penting di dunia.

Kaedah makan herba ini pula terdiri daripada pelbagai gaya, antaranya boleh dimakan begitu saja, direbus atau dikisar lumat menjadi jus.

Kecantikan luaran dalaman

Pengasas Wawa Nature Herbs, Lizawati Raflis 31, berkata pegaga, sejenis herba hijau yang mampu merawat kerosakan kulit secara tradisional selain meningkatkan peredaran darah untuk menaikkan seri wajah.

Lizawati berkata, istimewanya, tumbuhan ini turut dijadikan antara ramuan penting bagi merawat masalah kulit seperti parut dan kulit selulit yang sering dialami wanita.

Jus Pegaga. - Foto NSTP/Mahzir Mat Isa

Katanya, bagi individu yang mengamalkan makan daun pegaga ini atau minum air rebusan pegaga, ia membantu kulit halus dan berseri.

Apabila disapukan pada kulit, sifat-anti bakteria, anti-kuman dan anti-radang yang ada pada pegaga dilihat dapat mempercepatkan pemulihan luka dengan merawat tisu yang rosak dan mengurangkan parut.

Bahan aktif terdapat pada pegaga bertindak merangsang peredaran darah mempercepatkan proses pemulihan di bahagian luka atau terbakar.

Amalan minum jus pegaga dikatakan mampu menjadikan wajah tampil awet muda kerana kandungan khasiat dalam herba itu membantu menyuburkan kulit, rambut dan kuku. Ia menyokong pembentukan kolagen, seterusnya mengurangkan penuaan kulit dan melembapkan kulit secara semula jadi," katanya.

Lizawati berkata, selain diminum, pegaga yang ditumbuk lumat turut boleh dijadikan pupur pada bahagian kulit bermasalah kerana sebaik disapu, ia menghasilkan rasa sejuk pada kulit.

"Pegaga boleh dijadikan alternatif rawatan wajah memandangkan ia memiliki sifat yang mampu menegangkan kulit apabila disapu dan dibiarkan beberapa minit

"Bagi mereka yang mengalami masalah selulit di bahagian pinggul, paha dan betis, pegaga mampu menangani masalah ini berikutan sifatnya yang diuretik dan meningkat peredaran darah ," katanya.

Herba ini turut dikatakan, memiliki pelbagai nutrien seperti asid asiatik, kalsium, potasium, fosforus, beta karotin, vitamin C, tiamin, niasin dan riboflavin.

Beliau berkata, kini beliau masih dalam penyelidikan untuk menjadikan pegaga sebagai bahan utama dalam produk kecantikannya, selain menjadi pegaga sebagai produk makanan tambahan.

Resipi jus pegaga

Bahan
Air suam
Pegaga
Limau nipis.

Cara-caranya

1. Basuh pegaga dengan bersih.

2. Kisar pegaga bersama air suam sehingga lumat

3. Tuang ke dalam gelas dan perahkan sedikit limau nipis.

4. Jus sedia diminum. Amalkan seminggu sekali.

Info: Khasiat pegaga

  • Kaya dengan vitamin A dan C serta zat besi.

  • Sering dijadikan hidangan sayur-sayuran untuk wanita berpantang.

  • Membantu membangkitkan selera makan.

  • Meredakan masalah penghadaman seperti buasir dan menyejukkan badan.

  • Membantu mempercepatkan proses penyembuhan luka dan melancarkan aliran darah, terutama wanita bermaasa- lah haid serta keputihan.

  • Seluruh bahagian pegaga iaitu daun, tangkai daun, batang, bunga, buah, dan akarnya mempunyai banyak kegunaan serta khasiat yang tinggi.

  • Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengiktiraf pegaga sebagai herba menjana kecerdasan berfikir terutama kanak-kanak.
  • Berita Harian X