Rabu, 14 Jun 2017 | 12:11am

Malaysia belum miliki 'iklim' penerbitan e-buku

INDUSTRI e-buku di negara ini berpotensi besar untuk terus berkembang. - Foto hiasan
INDUSTRI e-buku di negara ini berpotensi besar untuk terus berkembang. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Di sebalik e-buku dilihat gaya terkini industri penerbitan, laporan akhbar The Independent yang beribu pejabat di United Kingdom (UK) menyebut, jualan buku fizikal meningkat lapan peratus bersamaan RM16.4 bilion tahun lalu.

Angka itu dilihat kadar paling tinggi sejak 2012 mengikut data yang dikeluarkan oleh Persatuan Penerbit Britain.

Lebih menarik, buku fizikal yang menunjukkan peningkatan ialah buku bukan fiksyen yang meningkat kepada STG884 juta (RM4.8 bilion).

Angka itu dijana oleh peningkatan jualan buku kanak-kanak, iaitu sebanyak STG365 juta (RM2 bilion) sementara jumlah keseluruhan buku genre itu yang dieksport bernilai STG2.6 bilion (RM14.2 bilion).

Iklim buku Britain semakin matang

Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif E-Sentral, Faiz Al-Shahab menyifatkan perkembangan di Britain itu adalah merujuk kepada iklim buku di Britain yang e-buku sudah matang sedangkan di negara ini, ia boleh disifatkan sebagai belum wujud.

"Sejak 2011, jualan e-buku di sana asyik turun naik dan jika kita lihat polanya tidak banyak beza, mungkin jatuh dalam lapan peratus.

"Ia berbeza dengan suasana kali pertama e-buku diperkenalkan sekitar 2011 apabila kejatuhan buku fizikal mencecah 32 peratus," katanya kepada BH di sini.

Jualan buku fizikal di Malaysia jatuh

Faiz berkata, pada masa ini jualan buku e-buku di Britain mendatar dan buku fizikalnya meningkat naik tetapi keadaan sebaliknya pula berlaku di Malaysia apabila ada peningkatan dicatatkan pada jualan e-buku meskipun jumlah kecil manakala jualan buku fizikal jatuh teruk.

"Meskipun di Britain, kejatuhan penjualan buku fizikalnya boleh dikaitkan dengan peningkatan e-buku tetapi tidak berlaku di negara ini.

"Jualan buku fizikal di negara ini merosot disebabkan banyak perkara seperti kos sara hidup meningkat," katanya.

Tambah Faiz, e-buku di negara ini berpotensi besar untuk terus berkembang terutama untuk pasaran perpustakaan dan buku teks sekolah, manakala untuk pasaran terbuka juga sudah ada tanda positif yang menyokong perkembangan e-buku.

Berita Harian X