Isnin, 19 Jun 2017 | 12:02am
BERAS pulut yang siap dimasak sebelum dibungkus dengan daun ngirik. - Foto Rafiqah Dahali
BERAS pulut yang siap dimasak sebelum dibungkus dengan daun ngirik. - Foto Rafiqah Dahali
BERAS pulut dimasukkan ke dalam gaulan santan dan dikacau sehingga sebati. - Foto Rafiqah Dahali
BERAS pulut dimasukkan ke dalam gaulan santan dan dikacau sehingga sebati. - Foto Rafiqah Dahali

Kelupis menu raya etnik Brunei

KIMANIS: Jika di Semenanjung, lemang dan ketupat menjadi hidangan wajib pada pagi Syawal, di Sabah pula kelupis, iaitu sejenis makanan tradisional dihasilkan menggunakan beras pulut dan santan amat sinonim sebagai juadah hari raya, khususnya bagi masyarakat etnik Brunei.

Tanpa hidangan istimewa yang biasanya dimakan bersama kuah kacang atau rendang daging dan ayam itu, sambutan Aidilfitri dianggap kurang lengkap.

Berikutan itu, masyarakat etnik Brunei di Sabah menjadikan acara 'mengelupis' atau membuat kelupis sebagai aktiviti menjelang Aidilfitri sama ada dibuat secara sendiri atau berkumpulan, terutama beberapa hari sebelum hari raya.

Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak ada masa membuatnya sendiri apatah lagi proses penghasilannya agak rumit, kelupis ditempah daripada pengusaha makanan tradisi terbabit sama ada secara sejuk beku mahupun sudah siap dimasak.

Pengusaha kelupis dari Kampung Brunei, Kimanis, Nurhaizi Asong Abdullah, 39, berkata menjadi kebiasaan baginya menyediakan kelupis sejuk beku dalam kuantiti yang banyak setiap kali Ramadan dengan jumlah tempahan meningkat beberapa kali ganda menjelang Aidilfitri berbanding pada hari biasa.

PENGUSAHA kelupis dari Kampung Brunei, Kimanis, Nurhaizi Asong Abdullah. - Foto Rafiqah Dahali
PENGUSAHA kelupis dari Kampung Brunei, Kimanis, Nurhaizi Asong Abdullah. - Foto Rafiqah Dahali

"Ada juga pelanggan menempah kelupis sejuk beku lebih awal dan disimpan dalam peti sejuk. Ia mudah kerana boleh dikukus pada bila-bila masa untuk dihidangkan kepada tetamu pada musim perayaan khususnya Aidilfitri," kata suri rumah sepenuh masa itu.

Wanita mualaf itu berkata, beliau membuat makanan tradisi itu sepanjang masa dengan setiap bulan menerima 500 hingga 600 kelupis untuk setiap tempahan.

"Bagaimanapun, sepanjang Ramadan kelupis yang dihasilkannya mencecah beberapa kali ganda, termasuk ada yang menempah sehingga 4,000 kelupis sekali gus. Keadaan itu menyebabkan sesetengah tempahan terpaksa saya tolak kerana tak menang tangan membuatnya," katanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, beliau biasanya menghasilkan kelupis sendirian, namun kadang-kala memanggil ahli keluarga untuk membantunya menyiapkan tempahan yang banyak menjelang Aidilfitri.

Nurhaizi yang belajar membuat kelupis daripada ibu dan bapa mentuanya, memulakan perniagaan kelupis sejak lima tahun lalu dan beliau menggunakan 12 kilogram (kg) beras pulut dan 25 biji kelapa untuk santan bagi menghasilkan 500 hingga 600 kelupis untuk setiap tempahan.

NURHAIZI (kiri) bersama ahli keluarganya sedang membungkus beras pulut yang siap dimasak ke dalam daun ngirik. - Foto Rafiqah Dahali
NURHAIZI (kiri) bersama ahli keluarganya sedang membungkus beras pulut yang siap dimasak ke dalam daun ngirik. - Foto Rafiqah Dahali

"Bagaimanapun, untuk memenuhi permintaan pelanggan menjelang Syawal, setiap bahan yang saya gunakan meningkat berkali ganda. Untuk 4,000 kelupis, saya menggunakan 40 kg beras pulut dan 160 biji kelapa.

"Saya mengenakan harga 60 sen untuk sebiji kelupis. Untuk tempahan 200 ke atas saya memberi kuah kacang percuma," katanya.

Beliau memberitahu, bahan untuk membuat kelupis adalah menggunakan antaranya beras pulut, santan dan daun pandan, namun cara penghasilannya bukan mudah kerana banyak langkah yang harus dilakukan.

"Untuk membuat kelupis, sukatan setiap bahan yang digunakan perlu dijaga, begitu juga api yang digunakan. Proses memasak santan atau disebut 'mendadih' adalah langkah yang perlu diberi perhatian sebelum memasukkan daun pandan dan beras pulut ke dalam kuali.

"Kesemua bahan itu digaulkan sebelum ia dibungkus menggunakan daun ngirik atau silad," katanya sambil memberitahu proses menyiapkan kelupis mengambil masa beberapa jam mengikut jumlah kelupis yang dihasilkan.

HIMPUNAN kelupis yang siap dibungkus sebelum disejuk bekukan. - Foto Rafiqah Dahali
HIMPUNAN kelupis yang siap dibungkus sebelum disejuk bekukan. - Foto Rafiqah Dahali

Selain Aidilfitri, Nurhaizi berkata, beliau turut menerima tempahan untuk perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Krismas yang dipromosikan secara dalam talian.

"Pada mulanya, saya berkecimpung dalam perusahaan biskut raya dan perkhidmatan katering khusus untuk majlis perkahwinan, namun apabila belajar membuat kelupis, saya mengambil keputusan memulakan perusahaan makanan tradisi itu sepenuh masa.

"Saya melakukan pelbagai percubaan sehingga akhirnya menemui cara untuk membuat inovasi kelupis sejuk beku. Ramai pengusaha wanita membuat kelupis sekitar daerah Papar dan Kimanis tetapi setakat ini hanya saya yang menghasilkan kelupis sejuk beku," katanya yang sesekali menjual kelupis di Tamu Papar.

Selain mengusahakan kelupis ini, wanita berasal dari Keningau itu turut mengadakan kelas membuat kelupis selain menerima tempahan biskut raya daripada pelanggan.

KELUPIS yang dihasilkan oleh Nurhaizi. - Foto Rafiqah Dahali
KELUPIS yang dihasilkan oleh Nurhaizi. - Foto Rafiqah Dahali

INFO

Nama: Nurhaizi Asong Abdullah

Umur: 39 tahun

Asal: Keningau (kini menetap di Kimanis)

Laman Facebook: Kelupis dan Katering Bajet Kimanis - https://www.facebook.com/KelupisDanKateringBajetKimanis/

Nombor telefon: 016-8129153

Produk: Kelupis (masak/sejuk beku), kuih tradisional, biskut raya dan kerepek.

Perkhidmatan: Katering bajet sekitar Papar (majlis kahwin)

PROSES membungkus beras pulut yang siap dimasak dengan daun ngirik. - Foto Rafiqah Dahali
PROSES membungkus beras pulut yang siap dimasak dengan daun ngirik. - Foto Rafiqah Dahali

INFO
Kelupis

  • Dihasilkan menggunakan beras pulut dan santan.
  • Dibungkus menggunakan dauh ngirik atau silad.
  • Popular dalam kalangan etnik Brunei di Sabah.
  • Hidangan wajib Aidilfitri dan majlis keramaian.
Berita Harian X