Khamis, 22 Jun 2017 | 12:03am
SHAHIR mengakui Erra sangat menyokong usahanya untuk merancakkan industri hiburan semula. - Foto Rohanis Shukri
SHAHIR mengakui Erra sangat menyokong usahanya untuk merancakkan industri hiburan semula. - Foto Rohanis Shukri

Shahir perjelas misteri 'kehilangan' di arena seni

SELEPAS sekian lama berteka-teki mengenai 'misteri kehilangannya', juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Shahir Zawawi, 28, akhirnya bersuara.

Dilihat acap kali tenggelam timbul sebelum ini, mula ada yang mengandaikan lelaki istimewa di hati Erra Fazira itu bersikap acuh tak acuh dalam dunia seni.

Malah, rencana seninya juga dilihat tidak konsisten ketika bakat besarnya itu diharap peminat terus dikembangkan.

Penyanyi Aku Yang Berdosa itu juga memilih bergerak sendiri buat sementara waktu selepas kira-kira lima tahun bersama pengurusan Astro.

"Semua itu memang ada kaitan dengan perniagaan yang saya usahakan di Kampar, Perak. Namun, selepas tiga tahun memberikan perhatian kepada perniagaan yang mulai stabil, saya berasakan inilah masa terbaik untuk melepaskannya seketika kepada rakan kongsi.

"Sebelum ini, saya terikat bersama Astro. Pihak mereka memang ada menghubungi saya untuk menjayakan acara hiburan di ibu kota. Disebabkan perniagaan saya dijalankan di kampung, saya memang terpaksa berkejar-kejar ke Kuala Lumpur bagi memenuhi undangan yang diatur.

PENYANYI, Shahir pada majlis Himpunan artis sayang Al Quran 2.0 di Pusat Dagangan Dunia Putra. - Foto Rohanis Shukri
PENYANYI, Shahir pada majlis Himpunan artis sayang Al Quran 2.0 di Pusat Dagangan Dunia Putra. - Foto Rohanis Shukri

gn4id:21262072

"Kalau perniagaan dan seni diadakan di lokasi sama, memang ia memudahkan saya. Bagaimanapun ia selalunya berlaku di sebaliknya. Jadi, pada satu tahap saya meminta untuk memberikan lebih perhatian dan keutamaan kepada perniagaan.

"Sesekali apabila saya muncul pada acara hiburan dan keluar di TV contohnya, ramai pula yang beranggapan saya mahu buat 'come back'. Kemudian apabila saya pulang ke kampung untuk menguruskan perniagaan, saya dianggap pula hilang semula. Begitulah putaran yang terjadi selalunya," katanya kepada BH.

Menurut Shahir, ada kalanya permintaan pengurusan Astro cuba ditolak sebaik mungkin kerana komitmen tinggi masih diperlukan untuk perniagaannya itu.

"Namun begitu ada juga permintaan yang saya terpaksa penuhi kerana saya berasa bersalah untuk menghampakan orang lain. Ia termasuklah permintaan meminta saya mengadakan persembahan duet di TV dan muncul dengan program raya. Namun, kalau bertindan dengan kerja perniagaan, saya terpaksa melepaskan tawaran hiburan," katanya.

Pertemuan dengannya di butik Ezuwan Ismail di Ampang baru-baru ini juga tidak dibiarkan begitu saja tanpa ditanya soal hubungannya dengan Erra yang sudah tiga tahun terjalin.

Pendek kata, selagi mereka tidak berkahwin, topik membabitkan hubungan itu terus dibangkitkan.

ADA kala permintaan pengurusan Astro cuba ditolak sebaik mungkin oleh Shahir kerana komitmen tinggi masih diperlukan untuk perniagaannya itu. - Foto Rohanis Shukri
ADA kala permintaan pengurusan Astro cuba ditolak sebaik mungkin oleh Shahir kerana komitmen tinggi masih diperlukan untuk perniagaannya itu. - Foto Rohanis Shukri

"Kalau boleh saya mahu jelaskan hal ini dengan baik. Kadang-kadang, apabila terlampau kerap keluar cerita kami, jadi tak seronok pula. Baru-baru ini pada sebuah acara, beberapa rakan media datang berjumpa saya dan saya pula tiada masalah untuk ditemubual. Namun, apabila terus diasak dan didesak dengan persoalan bila nak kahwin, saya menjawab 'insya-Allah'.

"Jawapan saya itu dilihat seperti saya tidak serius. Masalahnya, hendak diberi tarikh kahwin pun belum ada lagi. Hakikatnya saya memang serius dengan Erra. Kami bukan budak-budak lagi.

"Saya tahu memang ramai yang mendoakan hubungan kami ke arah seterusnya. Namun saya mohon juga pengertian ramai. Saya tak mahu terus dilihat seperti menjaja hal peribadi terus terusan.

"Sedangkan, saya kini juga hadir dengan misi untuk membuat kemunculan semula mewarnai persada seni. Persepsi masyarakat jadi lain, apabila kisah peribadi saya lebih diperkatakan, termasuk tajuk berita yang kerap memperkatakan saya akan mempercepatkan hal baik ini dengannya.

"Jujurnya saya juga mengharapkan penamat yang indah bersama Erra," kata Shahir yang mengakui Erra sangat menyokong usahanya untuk merancakkan industri hiburan semula.

Sepanjang Ramadan ini, Shahir yang sudah menetap di Subang Jaya bersama adik lelakinya juga berpeluang memenuhi sesi fotografi bersama rakan media.

Dia juga merangka untuk muncul dengan single baharu selepas musim raya nanti, selain bakal membintangi drama My Darling Inspektor Daniel yang turut dibintangi Siti Elizad, Aaron Aziz, Elizabeth Tan dan Erra.

Mengenai sambutan rayanya pula, kata Shahir, ia tiada beza dengan tahun sebelumnya. Shahir seperti biasa akan beraya di Kampar bermula 22 Jun. Ada rezeki, Shahir juga tidak menolak untuk mengeratkan silaturahim beraya di rumah keluarga Erra.

Info

  • Nama penuhnya Ahmad Shahir Zawawi.

  • Pernah popular dengan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan dan Aku Yang Berdosa.

  • Pernah membintangi filem Karak bersama Kilafairy dan Shera Aiyob pada 2011.

  • Dinobatkan sebagai Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2010.
Berita Harian X