Isnin, 26 Jun 2017 | 12:06am

Suka duka bintang drama Opah

TIAP kali tiba Ramadan hingga Syawal, hati pelakon veteran, Razali Buyong, 72, bertukar sayu.

Rindunya pada arwah bonda, Aminah Samad tidak mampu ditahan. Malah, akuinya, rasa itu tidak pernah padam biarpun sudah lebih dua dekad wanita kesayangannya itu pergi buat selama-lamanya.

Bagi pelakon yang popular menerusi drama Opah terbitan RTM pada era 1980-an, kenangan suka duka bersama arwah ibu paling dirasai pada bulan puasa. Mengapa tidak, ibu meninggal dunia dua hari sebelum Ramadan pada 1993.

Sejak itu, kehidupannya sunyi. Malah, Ramadan dan Syawal yang disambut tidak seperti tahun dulu. Dalam sebak, Razali atau nama panggilannya, Zali berkongsi kisah dirinya yang lebih rapat dengan ibu.

Ketika berusia tujuh tahun, Zali mengambil keputusan untuk tinggal bersama ibu selepas ayah, Buyong Katib menceraikan wanita itu.

"Ibu meninggal dunia beberapa hari sebelum Ramadan, sudah tentu saya tidak boleh lupakan saat-saat itu. Jika diimbas kenangan lalu, banyak kenangan bersama ibu. Apatah lagi pengorbanannya sebagai ibu tunggal membesarkan kami adik-beradik.

"Saya sentiasa bersama ibu dalam susah dan senangnya. Pada era 1950-an, saya sering menemani ibu berniaga pisang goreng di hadapan panggung wayang Odeon di Kuala Lumpur.

"Disebabkan kami berniaga setiap petang hingga tengah malam, jadi terpaksalah kami menumpang lampu papan tanda pawagam itu sehingga jam 12 tengah malam.

"Keadaan di ibu kota ketika itu gelap gelita. Kami pulang ke rumah setinggan di Jalan Stor (sekarang Jalan Kuching) hanya berjalan kaki dua beranak," katanya sambil bergenang air mata mengingatkan memori indah bersama ibunya.

RAZALI Buyong.
RAZALI Buyong.

Rumah diserbu 21 cucu

Kini, kehidupan Zali jauh berubah selepas menikahi isterinya [email protected] Mahabot. Mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu empat lelaki dan dua perempuan serta 21 orang cucu.

Pada usia yang bakal mencecah 73 tahun pada Oktober depan, Zali bahagia apabila setiap kali menjelang Syawal, rumahnya di Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur menjadi lokasi anak, menantu dan cucu berhimpun.

"Alhamdulillah, rumah saya sudah seperti pusat jagaan kanak-kanak menjelang penghujung Ramadan hingga Syawal. Ada yang memasak, mengemas, berkaraoke dan bermain bunga api.

"Sebagai orang tua kita harus faham, ada kalanya anak-anak terpaksa beraya di rumah mentua. Itu perkara biasa yang terpaksa kita fahami," katanya.

Pada pertemuan itu, usahawan, Zaharuddin Wahab atau lebih dikenali sebagai Den Wahab turut hadir. Den menyerahkan sumbangan sepasang baju Melayu dari butiknya, Den Wahab Industries Sdn Bhd termasuk duit raya.

RAZALI Buyong (kiri) bersama gandinganya dalam drama Opah di RTM.
RAZALI Buyong (kiri) bersama gandinganya dalam drama Opah di RTM.

Tinggalkan dunia lakonan

Bercerita mengenai kerjaya seni, Zali sedia meletakkan noktah dalam dunia lakonan apabila kesihatannya mula terganggu sejak dua tahun lalu.

"Diam tak diam, sudah 40 tahun saya menceburi dunia lakonan. Biarpun legasi saya tidak disambung anak, namun saya puas dapat menjadi insan seni.

"Sekarang sudah dua tahun saya tidak berlakon. Faktor utamanya adalah kerana saya mengalami masalah kelenjar air di bahagian pipi kiri sejak dua tahun lalu.

"Bengkak di bahagian itu semakin hari semakin besar walaupun sebelum ini pernah dimasukkan ke hospital untuk menyedutnya keluar.

"Saya masih mendapatkan rawatan di hospital untuk mengetahui puncanya penyakit ini yang membataskan pergerakan dan pandangan saya," katanya.

Tambah Zali, keadaan itu menyebabkan dia tidak selesa berada di lokasi.

"Biarpun tidak merasa sakit, keadaan ini membuatkan saya tidak selesa apatah lagi jika berada di lokasi penggambaran.

"Untuk memandang ke kiri, kanan atau belakang, saya terpaksa memusingkan sekali badan. Atas sebab itu saya tidak lagi mahu menerima tawaran berlakon.

"Jika diikutkan, dalam usia hampir memasuki 73 tahun ini, saya sudah bersedia untuk berhenti berlakon. Namun, perasaan itu datang ketika berdepan penyakit ini.

"Tetapi tidak tahulah jika kesihatan saya pulih seperti biasa, mungkin keinginan untuk berlakon masih ada atau tidak, saya tidak pasti lagi," katanya.

ANTARA barisan pelakon drama Opah.
ANTARA barisan pelakon drama Opah.

Opah beri pendapatan tetap

Berkongsi pengalaman membintangi drama bersiri Opah, Zali memberitahu, jika bukan atas nasihat pengarah, dia mungkin menolak tawaran berlakon drama bertemakan kekeluargaan yang cukup popular pada era 1980-an itu.

Ini kerana ketika itu, Zali mengaku dirinya cukup memilih dan hanya menerima watak berkarakter.

"Ketika RTM mahu menjadikan Opah sebagai drama bersiri, pengarah Allahyarham Rosli Jalil memujuk saya agar menerima tawaran itu.

"Arwah menyebut jika mahu menunggu drama yang berkarakter saja mungkin ada atau tidak," katanya.

Akhirnya, Zali menerima pelawaan Rosli dan melakonkan watak Osman.

"Saya ambil nasihat itu biarpun bagi saya, watak Osman tidaklah mencabar kerana berkisar kisah keluarga. Namun, ketika itu, saya memikirkan pendapatan lebih terjamin. Dalam setahun, setidak-tidaknya saya dapat berlakon 13 episod dan drama itu berlanjutan sehingga 15 tahun," katanya.

Selain Zali, drama Opah dibintangi Allahyarham Zaitun Hussin yang melakonkan watak Opah; Khatijah Abu Hassan, Norlia Ghani; Yasmin Yusof, Khaty Azian dan Normala Omar.

Zali berkata, pada mulanya, bidang lakonan memberinya pendapatan sampingan kerana bekerja sebagai pembantu hospital sepenuh masa.

"Saya gemar melakonkan watak berkarakter iaitu ada aksi dengan penghayatan bukan sekadar pada muka dan tubuh, sebaliknya dalaman.

"Tetapi hendak mendapatkan watak seumpama itu bukan mudah, dalam setahun adalah beberapa kali saja dipanggil," katanya.

INFO

  • Bakal menyambut hari jadi ke-73 tahun, Oktober depan.
  • Nama Razali Buyong mula dikenali sejak membintangi drama bersiri popular Opah yang pernah disiarkan RTM sejak 1982 dengan membawa watak sebagai Osman.
  • Razali bekerja tetap sebagai pembantu hospital di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak remaja.
  • Berkahwin dengan [email protected] Mahabot serta memiliki enam anak dan 21 cucu.
Berita Harian X